in

Pengalaman Budiey Mengikuti Media Junket LOGAN di Taipei

Peluang bertemu dengan dua pelakon ikonik bergelar Hugh Jackman dan seorang lagi pelakon otai, Sir Patrick Stewart adalah satu peluang yang sangat berharga dan paling Budiey dinantikan sebenarnya. Ianya seolah satu pencapaian rekod peribadi dapat bersemuka dengan kedua-duanya.

Ini kerana, mungkin ini kali pertama atau terakhir untuk Budiey menemubual pembaca watak mutan bernama Logan yang punya cakaran tajam menikam ini dan si pelakon watak Charles Xavier atau lebih dikenali sebagai Professor X yang penuh karismatik ini. Mana ada lagi peluang sebegini di masa akan datang kerana kedua-duanya mengambil keputusan untuk tidak lagi berlakon watak ulung ini di masa akan datang. Bermakna, filem LOGAN adalah filem terakhir Hugh Jackman untuk siri filem X-Men. Sedih kan? Selepas ini, tak tahu siapa yang boleh bawa watak Wolverine ni. Macam rasanya takde sesiapa yang boleh bawa watak ini selain Hugh Jackman.

Tanggal 27 Februari pastinya satu tanggal yang takkan Budiey lupa kerana ia menjadi titik pertemuan dua pelakon utama filem LOGAN yang berada di pawagam mulai 2 Mac. Masih terbayang lagi senyuman ramah tamah dari kedua-dua pelakon ini saat Budiey masuk ke kamar untuk menemubual mereka. Walaupun masa yang diberikan sangat terhad iaitu selama enam minit sahaja, namun dah cukup untuk Budiey menyelongkar rahsia pelakon ini tentang filem LOGAN.

Video temubual bersama Hugh Jackman dan Sir Patrick Stewart boleh ditonton di saluran Youtube Budiey.com. Korang semua jangan lupa SUBCSCRIBE ya: www.youtube.com/budiey27

Logan

Terima kasih kepada FOX Malaysia yang telah memberi peluang dan khabarnya, ‘berhempas pulas’ dan ‘bekerja keras’ untuk menerbangkan Budiey bertemu dengan dua nama ikon yang tak asing ini.

Filem ke-10 dalam rangkuman siri X-Men ini diarahkan oleh James Mangold yang merupakan pengarah yang sudah lama tidak muncul dengan filem yang segah ini.

Bagi Budiey, apa yang menjadikan filem ini istimewa adalah kerana filem LOGAN ini turut menampilkan seorang pelakon kanak-kanak yang cukup hebat yang menjadi tulang belakang kepada filem ini iaitu Dafne Keen yang memegang watak Laura Kinney. Budiey telah pun menonton filem ini sepenuhnya di satu sessi tayangan tertutup dan berpendapat pelakon kanak-kanak ini cukup berbakat. Beliau bukan sahaja dapat membawa karakter mutan yang cukup misteri dengan baik malah Laura juga bijak beraksi di layar.

Logan

Budiey percaya ramai yang berpendapat seperti Budiey. Tidak dinafikan filem ini berpaksikan gerak aksi yang lebih ganas ditonjolkan dengan watak Laura yang punya kuasa lebih kurang sama dengan Logan. Wataknya seorang jiwa kacau, bad mood, fikiran tidak stabil dan yang penting dapat mencuri limelight si hero. Ini kerana Laura dilahirkan dengan benih klon wanita yang dicipta dari benih Logan. Jika korang masih ingat dalam filem X-Men: Apocalypse, di penghujung filem ini, benih Logan telah diambil untuk melahirkan klon sebagai senjata.

James Mangold selaku pengarah juga bersetuju watak Laura yang menyerlah ini sikit sebanyak mencuri tumpuan dan lebih hebat dari gerak tangkas si Logan. Kredit pastinya diberikan untuk Dafne yang cukup berpengalaman dalam seni mempertahankan diri. Aksi stunt untuk watak Laura ini juga digandakan. Semasa berlakon filem ini, Laura Keen masih berusia 11 tahun namun seorang kanak-kanak yang luar biasa. Mungkin kerana bakat yang diwarisi oleh kedua ibu bapanya yang juga menjadi pelakon. Laura bijak menjiwai watak misteri yang penuh dengan dendam, panas baran dan penuh nafsu amarah yang rakus.

Pengarah juga akui pada awalnya, produksi terpaksa menanggung risiko mengambil pelakon yang lebih muda untuk watak yang ganas seperti Dafne. Namun, pencarian pelakon untuk watak Laura serata dunia agak berbaloi kerana menemukan kanak-kanak yang tepat seperti ciri-ciri yang dikehendaki iaitu budak perempuan dalam linkungan umur 10-12 dan berkebolehan bercakap dalam bahasa Latin.

Laura tidak banyak bercakap dalam filem ini tetapi gerak tangkasi dan aksi beliau dalam filem ini memang sangat hebat. Laura adalah hasil eksperimen paling ingin ditangkap Transigen kerana di kalangan kanak-kanak hasik eksperimen genetik mutan Transigen, Laura adalah yang paling ganas dan mempunyai killer instinct. Muka comel tapi ganas teruk.

Kalau anda terlepas tengok siri X-Men yang sebelum-sebelum ini, tak perlu risau kerana Logan adalah filem stand-alone dan tidak berkait dengan siri X-Men yang sebelum ini. Kali ini jalan cerita filem ini berdasarkan siri komik Old Man Logan di mana Wolverine adalah antara mutan terakhir yang masih hidup. Kalau anda tak pernah tengok X-Men sebelum ini pun anda akan faham filem Wolverine ini.

Watak Logan dalam filem ni pula Budiey boleh simpulkan sebagai TUA yang sepi dan tenaganya agak lemah berbanding watak Logan sebelum ini. Kerjanya juga sebagai seorang pemandu kereta Limo. Logan menjaga Charles Xavier bersama dengan seorang lagi mutan bernama Caliban. Faktor usia Logan banyak mempengaruhi kebolehan yang semakin terbatas termasuklah agak lambat untuk sembuh. Kalau sebelum ini kita boleh tengok Logan sembuh dengan cepat selepas kena tembak, tapi dalam filem ini, lukanya agak susah dan lambat untuk sembuh serta masih meninggalkan parut.

Budiey sempat bertanyakan persediaan Hugh Jackman untuk membawa watak Logan versi tua. Ternyata bukan sesuatu yang mudah, selain disolek menjadi lebih tua, Hugh juga terpaksa makan paling kurang 6 hidangan setiap hari dan menjalani latihan jasmani bersama personal trainer Mike Ryan selama tiga jam sehari bermula jam 4 pagi. Ini semua untuk menukar bentuk badan Hugh lebih sasa dan lebih matang.

Beliau tidak mahu peminat bosan dengan beliau sebagai Wolverine dan Logan adalah titik noktah beliau sebagai Wolverine. Beliau juga berkata dalam satu temubual bahawa pelawak Jerry Seinfeld adalah antara penyebab beliau tidak lagi mahu membawa watak Wolverine.

Dalam pertemuan Seinfeld dan Jackman, Seinfeld berkongsi kisah kenapa beliau menamatkan siri popular Seinfeld. Kalau siapa yang biasa tengok TV tahun 90an, mesti tahu siri Seinfeld ini. Bagi Seinfeld, sirinya perlu ditamatkan sebelum penonton bosan dan mengatakan ‘Owh, siri ini lagi’. Setelah mendengar kata-kata Seinfeld itu, Jackman berpendapat Logan adalah masa terbaik untuk beliau melepaskan watak yang sudah dipegangnya selama 16 tahun.

logan

Selain diberi peluang mendepani dan bersua muka dengan wajah garang Wolverine, Budiey rasa sangat teruja bertemu dengan Professor X atau lebih dikenali Charles Xavier. Jika watak Logan masa ni dah tua, apatah lagi dengan watak Charles. Si mutan yang mempunyai kuasa telepati paling berkuasa di dunia ini sangat lemah malah beliau tidak dapat mengenali Logan kerana matanya buta.

Keupayaaan untuk bertelepati juga tidak stabil menjadikan watak Xavier lebih kepada penenang dan pemujuk serta penasihat untuk Logan. Bagi Budiey, Professor X memang cocok dan sesuai dengan Patrick Stewart. Seperti tiada orang lain yang boleh menggantikan beliau kerana memang imej gambaran susuk tubuh serta gerak-geri memang tepat dengan karakter.

Budiey boleh simpulkan karakter Charles seorang yang sangat sweet. Walaupun dalam keadaan yang uzur, sering terlantar di atas katil dan kerusi roda serta fragile rapuh, namun karakter ini menjadikan filem Logan lebih kuat.

Kalau sebelum ini, kita dapat lihat aksi padat dari hero Wolverine dan Prof X tapi dalam LOGAN ia mengundang rasa kesian dengan watak ini. Apa yang boleh kita simpulkan, apa akan berlaku sekiranya watak yang sentiasa perkasa menyelamatkan dunia ini sudah tua dan tenaga kuasa pun dah berkurangan. Ini satu realiti yang dihadapi oleh kita manusia biasa. Yang mudah akan tua dan yang tua akan bertambah tua. Sikit sebanyak ia satu metafore kepada kepupusan kuasa-kuasa kuat dek kerana faktor usia.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Machine Gun Kelly & Camila Cabello Perform at 2017 Kids’ Choice Awards

Cross Hotel Sapporo: Moden & Bergaya