in

MasterChef Selebriti Malaysia Uji Bakat Memasak 16 Selebriti

GILIRAN 16 SELEBRITI POPULAR BERPERANG DI DAPUR

Astro Ria turut umum ujibakat MasterChef Malaysia musim kedua kini bermula!

Seperti yang telah diumumkan tidak lama dahulu, program realiti yang berteraskan bidang masakan iaitu MasterChef Selebriti Malaysia kini bakal bersiaran pada setiap hari Sabtu hingga Selasa jam 9.00 malam bermula 26 Mei ini secara eksklusif di Astro Ria menerusi Saluran 104.

MasterChef Selebriti Malaysia akan ditayangkan selama empat kali seminggu selama 28 episod. Program ini juga bakal memperlihatkan barisan selebriti terlibat yang harus berdepan dengan pelbagai ujian menarik dan kritikan yang pastinya menguji kebolehan memasak, kreativiti serta ketahanan bukan sahaja daripada segi fizikal tetapi juga mental mereka di dapur. Bezanya untuk program ini, setiap selebriti yang terlibat ini akan memasak bagi membantu dana badan-badan kebajikan yang mereka wakili.

Masterchef

Program MasterChef Selebriti Malaysia yang buat julung kali diterbitkan ini bakal menampilkan 16 orang selebriti tanah air yang popular dalam bidang masing-masing iaitu Dato’ Fazley Yaccob, Tomok, Azwan Ali, Karl Shafek, Jehan Miskin, Angah Raja Lawak, Farouk Hussien, Mejar Dr. Faiz, Juliza Adlizan, Thanuja, Siti Sarah Raisuddin, Serina Redzuawan, Raja Azmi, Salamiah Hassan, Louisa Chong dan Soo Wincci.

Menurut Pengurus Kumpulan Saluran Premium Astro; Encik Nizam Sani berkata, “Saya mewakili pihak Astro Ria secara jujurnya berasa teruja dan tidak sabar untuk melihat kesungguhan, kreativiti dan daya saing selebriti-selebriti popular tanah air untuk berperang di dapur MasterChef Selebriti Malaysia.

Menariknya, mereka ini bukan sahaja disatukan di dapur untuk mengejar misi yang sama, tetapi juga berpeluang untuk beramal yang mana setiap selebriti akan menyumbangkan wang yang mereka menangi kepada badan-badan amal yang diwakili. Kami berasa amat gembira dan berterima kasih dengan komitmen dan kerjasama yang diberikan oleh barisan selebriti yang terlibat untuk menjayakan program ini.

Kami percaya dengan adanya program realiti yang berunsurkan hiburan amal seumpama ini dapat menyerlahkan sikap prihatian di kalangan selebriti tanah air yang sudi menghulurkan bantuan dalam usaha untuk meringankan beban badan-badan kebajikan yang memerlukan. Ini adalah di antara inisiatif kami yang ingin menghiburkan dan beramal pada masa yang sama,” jelas Nizam.

Nizam turut menambah, ”Pada tahun ini juga kami amat berterima kasih dengan kehadiran pihak penaja, Panasonic kerana telah membantu merealisasikan penerbitan program MasterChef Selebriti Malaysia. Persetujuan mereka dalam memberi sokongan yang tidak berbelah bagi kepada program ini dilihat dapat menyemarakkan musim ini.

Selain itu, kami juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengumumkan bahawa program MasterChef Malaysia juga bakal kembali untuk musim kedua dan akan memulakan sesi ujibakat di beberapa lokasi terpilih serata Malaysia.

Berikutan kejayaan dan sambutan yang memberangsangkan, kami tidak teragak-agak untuk menyambung program ini ke musim kedua kerana ingin memberi inspirasi dan peluang kepada chef baru mencungkil bakat mereka dalam bidang.

Menerusi program ini, kami percaya ia mampu mengangkat bidang masakan ke satu peringkat yang lebih tinggi lagi dan mahu meneruskan inisiatif ini melalui pencarian bakat-bakat baru di musim kedua pula,” ujar Nizam lagi.

Pihak produksi akan mengunjungi enam buah negeri bagi mengenal pasti calon peserta yang dilihat layak untuk menyertai program ini di lokasi-lokasi berikut:

26 Mei 2012 Sarawak Tourism Complex (Old Courthouse, Kuching)
The Pacific Sutera Hotel, Sutera Harbour Resort, Kota Kinabalu, Sabah
2 Jun 2012 Hyatt Regency Kuantan Resort, Telok Chempedak, Pahang
PERSADA Johor, Johor International Convention Center, Johor Bahru
9 Jun 2012 Akan diberitahu kelak
16 Jun 2012 Taylor’s College, Kuala Lumpur

** Kaunter pendaftaran bagi setiap sesi ujibakat dibuka dari jam 9.00 pagi hingga 2.00 petang dan calon peserta digalakkan untuk hadir awal bagi mengelakkan kesesakkan.

Peserta mestilah seorang lelaki atau perempuan, bujang atau sudah berkahwin dan mestilah seorang warganegara Malaysia atau Singapura berumur 18 tahun ke atas dan boleh bertutur dalam Bahasa Malaysia dan perlu membawa salinan kad pengenalan serta sekeping gambar berukuran 4R (gambar profil dan paras pinggang).

Calon peserta juga tidak boleh mempunyai sebarang pengalaman atau pencapaian profesional dalam bidang kulinari, katering dan penyediaan makanan.
Para peserta juga dikehendaki untuk membawa hidangan menarik (halal) untuk dinilai oleh para juri profesional. Hidangan tersebut haruslah mencerminkan kebolehan mereka dalam bidang memasak. Selain itu, calon peserta juga perlu mempersembahkan hidangan tersebut kepada juri yang menilai sebelum sesi temubual dijalankan.

Jika hidangan tersebut menjadi pilihan dan memenuhi piawaian pihak produksi, calon peserta tersebut akan dipanggil kembali untuk menghadiri sesi ujibakat di peringkat kedua pada hari berikutnya.

SENARAI PENUH BADAN KEBAJIKAN

1. Tomok – Women’s Aid Organization (WAO)
2. Karl Shafek – House Of Joy
3. Jehan Miskin – Pusat Latihan Perindustrian Dan Pemulihan (PLPP)
4. Dato’ Fazley Yaccob – Yayasan Jantung Malaysia
5. Azwan Ali – Taman Sinar Harapan (JKM)
6. Farouk Hussein – Pertubuhan Prihatin Sosial Malaysia (Prihatin Malaysia)
7. Mejar Dr. Faiz – Yayasan Angkasawan Malaysia
8. Angah Raja Lawak – Pertubuhan Kebajikan Orang-Orang Kerdil
9. Raja Azmi – Kompleks Penyayang Baksi Sungai Buloh (JKM)
10. Soo Wincci – Kiwanis Down Syndrome Foundation
11. Juliza Adlizan – Persatuan Kebangsaan Angin Ahmar Malaysia
12. Thanuja – Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia
13. Serina Redzuan – Malaysian Liver Foundation
14. Salamiah Hassan – Pertubuhan Medifun Kuala Lumpur
15. Siti Sarah Raisuddin – Malaysian Association For The Blind (MAB)
16. Louisa Chong – Persatuan Kanak-Kanak Spastik Selangor & Wilayah Persekutuan

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Telemovie Khas Pesta Keamatan Kerana Sogit

Jadual Siaran Perlawanan Bola Sepak Euro 2012