in ,

Mas Muharni & Nazim Othman dalam Fantasi Cinta Teruna

KISAH PEMUDA CINTAI WANITA LEBIH BERUSIA DALAM DRAMA BERSIRI FANTASI CINTA TERUNA DI TV1

Hubungan cinta antara lelaki muda dengan wanita yang lebih berusia kini bukan lagi situasi luar biasa yang berlaku dalam masyarakat kita. Ada pihak yang merestui tak kurang juga yang menghalang. Namun hakikatnya tiada siapa yang dapat menghalang perasaan cinta yang wujud kerna perasaan itu lahir daripada hati yang suci.

Situasi sama ‘dihidupkan’ dalam drama rantaian 26 episod bertajuk Fantasi Cinta Teruna mulai 12 Januari 2011, setiap Isnin hingga Khamis, jam 11.00 malam di TV1 yang menyaksikan lakonan hebat gandingan Aida Khalid di samping Syed Ali sebagai watak utama selain kemunculan Mas Muharni, Nazim Othman, Kazar, Seniwati Mariani, Mubarak Majid dan Aznah Hamid.

Fantasi Cinta Teruna

Kisahnya berlegar sekitar kisah hidup watak juara Tomoi, Umar yang mencintai majikannya, Dania yang lebih berusia. Cinta yang terpendam membuatkannya sanggup berada disamping Dania dikala duka dan suka. Namun Dania telah memilih kekasih lama dan Umar hanya dianggap seperti anaknya.

Episod pengenalannya bermula dengan memperkenalkan watak utama Dania Harun, wanita cantik berusia 40 an berkelulusan diploma pengurusan hotel dan makanan, digilai ramai lelaki tetapi telah memilih Majid sebagai suaminya. Majid, mengusahakan sebuah chalet bajet sejak dari usia mudanya.

Suami pilihannya itu seorang yang kedekut dan berfikiran sempit. Dania terpaksa bekerja tanpa gaji dengannya tetapi juga tidak pernah diberi duit untuk berbelanja. Mereka dikurniakan dua orang anak, Kamal dan Kalsom. Dania juga tidak disukai oleh ibu mertuanya iaitu Mek Yah serta adik iparnya, Muis.

Kamal yang baru sahaja tamat pengajian dalam bidang pengurusan perniagaan tidak mahu bekerja di chalet tersebut dan akhirnya bekerja di Kuala Lumpur. Kalsom pula masih menuntut di institusi pengajian tinggi di Kuala Lumpur. Majid hanya ada seorang pekerja, Umar. Mereka bertiga inilah yang melakukan segala-galanya.

Namun takdir menentukan Majid meninggal dunia disebabkan serangan jantung. Malang bagi Dania semua wang tunai Majid di bank diwasiatkan kepada Mek Yah dan Muis. Dania dan anak-anak hanya menerima rumah dan chalet bajet tersebut.

Kecekalan Dania untuk memajukan chalet tersebut walaupun tanpa modal dibantu oleh teman karibnya Khatijah dan Lim. Umar juga sanggup kekal bekerja di situ tanpa dibayar gaji. Dia mempunyai kemahiran dalam seni mempertahankan diri Muay Thai dan sesekali dia akan pulang ke kampungnya, kampung Siam, untuk menyertai pertandingan Muay Thai.

Setelah ketiadaan Majid dan juga anak-anaknya, Umarlah yang menjadi pelindung Dania. Oleh itu, Muis amat benci kepada Umar sehingga beliau sanggup mengupah samseng memukul curi Umar. Keakraban Dania dan Umar juga telah membuatkan Umar sayang dan cinta pada Dania. Namun, dia merahsiakan perasaannya itu daripada semua orang termasuk rakan karibnya, Chai dan juga Dania sendiri.

Chalet Dania kian maju dan kini Dania telah mempunyai dua orang pekerja baru iaitu Saerah dan Pak Ye. Kehadiran mereka sedikit sebanyak telah meringankan beban tugas Dania dan Umar. Umar tidak menyedari bahawa Saerah dalam diam menyukainya. Namun, Saerah pada Umar tidak lebih seperti adiknya sahaja.

Lima tahun berlalu. Chalet Dania kini sudah berubah wajah kepada Resort Dania. Dania tidak lagi menguruskan Resort itu bersama Umar tetapi Kamal juga telah kembali ke kampung untuk membantu ibunya mengendalikan Resort Dania. Mengenangkan pengorbanan Umar ketika masa susahnya, Dania telah memberikan sedikit saham miliknya dan Kalsom juga menyerahkan sepenuhnya saham miliknya kepada Umar.

Tindakan mereka ini membuatkan Kamal berang dan benci kepada Umar. Pada Kamal, Umar adalah orang luar dan tidak berhak mendapat sebarang saham di Resort Dania. Umar makin hari semakin sayang pada Dania tapi masih memendamkan perasaannya itu.

Kamal pula mewarisi sifat kedekut ayahnya sehingga menyebabkan semua teman wanitanya memutuskan hubungan dengannya. lelaki tersebut. Kamal ingin memusnahkan hidup Umar dan tindakannya mendapat sokongan penuh pak ciknya, Muis yang sememangnya cemburukan kesenangan dikecapi Dania.

Lalu ketika itu timbullah konflik yang tidak terjangka. Pastikan anda mengikuti drama menarik ini, Fantasi Cinta Teruna mulai 12 Januari 2011, setiap Isnin hingga Khamis, jam 11.00 malam di TV1.

Fantasi Cinta Teruna2

Fantasi Cinta Teruna3

Fantasi Cinta Teruna1

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Orkestra RTM dalam Malaysia Book of Records

Ulangtahun 8TV ke 7 Lebih Mantap