Siapa sangka, gadis kecil dari Sabah kini terpacak megah di tengah-tengah kota New York! Marsha Milan, selepas menakluk AJL ke-39 dengan penuh bergaya, kini mengukir nama di pentas antarabangsa apabila wajahnya terpampang gah di Times Square, New York pada 18 April 2025. Bukan sekadar gambar cantik-cantik, Marsha diangkat sebagai duta EQUAL Asia oleh Spotify untuk bulan April 2025, menjadikan dia antara penyanyi wanita Asia yang kini mendunia.
Pencapaian Luar Biasa Di Sebalik Billboard Ikonik
Dengan dilantik sebagai wajah utama untuk playlist EQUAL Singapore & Malaysia, dua lagu hit Marsha, Hening Rindu dan Tangisan Seorang Pendosa, bergema bukan hanya di hati peminat tempatan, tapi juga di telinga pendengar serantau. Jangan silap ya — inisiatif Duta EQUAL bukan calang-calang. Ini adalah usaha global Spotify untuk memartabatkan kesamarataan jantina dalam industri muzik, meraikan bakat, suara dan pencapaian wanita dari seluruh dunia.
Bila ditanya tentang perasaan dilantik, Marsha tanpa berselindung meluahkan, “Over the moon! Ini kali pertama saya, dan saya sangat bersyukur! Dulu saya fikir peluang seperti ini hanya mimpi, tapi alhamdulillah, ia kini menjadi kenyataan. Sejak kecil, saya impikan untuk muncul di billboard, dan akhirnya, gadis dari bandar kecil Sabah ini mendapat peluang itu.”
Harapan Dan Pesanan Marsha Untuk Industri Muzik
Bersikap rendah hati, Marsha mengakui dia tak ada strategi rahsia untuk mencapai semua ini. Katanya, “Saya percaya lagu yang baik memang akan dihargai. Harapan saya, pencapaian ini dapat beri inspirasi kepada lebih ramai komposer berbakat untuk terus menghasilkan lagu-lagu berkualiti.”
Sebagai insan seni yang sudah hampir dua dekad berjuang dalam industri, Marsha berkongsi rahsia bertahan, “Keikhlasan, disiplin, dan keinginan untuk terus belajar. Industri ini memang sentiasa berubah, jadi kita pun kena berkembang, tapi jangan sampai hilang identiti. Hubungan yang baik dengan team dan penyokong sangat penting. Jalan ini memang ada turun naik, tapi kalau kita buat dengan niat yang betul, insya-Allah peluang tu akan datang juga.”
Marsha Gegarkan Festival ROUND Di Zepp KL Jun Ini
Sebagai pelengkap berita gembira, Marsha bakal menggegarkan pentas Festival ROUND (ASEAN-Korea Music Festival) yang berlangsung pada 21 dan 22 Jun di Zepp KL. Festival ini dibawakan dengan sokongan ASEAN-Korea Cooperation Fund, menampilkan barisan artis serantau yang bakal mencipta magis bersama Marsha. Wah, bukan calang-calang pentas ni! Marsha akan berdiri sebaris dengan nama-nama besar ASEAN, meraikan muzik yang menyatukan kita tanpa sempadan.
Bagi peminat setia, ini masanya untuk strim playlist EQUAL Singapore & Malaysia, hayati suara emas Marsha yang penuh magis, dan jangan lupa nantikan info lanjut tentang Festival ROUND. Siapa tahu, mungkin anda berpeluang menyaksikan Marsha beraksi secara langsung — rugi kalau terlepas!
Apa Kata Budiey?
Wah, Marsha Milan ini memang ikon wanita moden yang membuktikan kerja keras, keikhlasan, dan impian boleh membawa kita sejauh langit! Budiey rasa inilah masa yang sesuai untuk Malaysia benar-benar menyokong artis tempatan agar mereka terus mendapat pengiktirafan global. Harap-harap selepas ini lebih banyak nama dari Malaysia akan mendunia — bukan hanya di billboard, tapi juga di hati jutaan peminat di seluruh dunia. Bagi Marsha, jangan berhenti di sini! Teruskan berkarya dan kekalkan jiwa seni yang asli. Kita semua tunggu momen Marsha berdiri atas pentas Zepp KL — dan siapa tahu, selepas ini mungkin Coachella pula?