in , ,

Marsha Milan Lancar Muzik Video Hening Rindu, Lagu Runut Aku Bukan Ustazah

Selepas fenomena drama ‘Lelaki Itu’, lagu nyanyian Marsha Milan, ‘Dulu Kini Dan Akhirnya’ yang menjadi lagu runut bunyi bagi drama tersebut mula trending dan mendapat perhatian ramai.

Kini Marsha Milan sekali lagi memukau peminatnya dengan sumbangan terbaharunya, Hening Rindu yang turut menjadi lagu runut bunyi untuk drama televisyen TV3, Aku Bukan Ustazah yang sedang bersiaran di slot Akasia setiap hari Isnin hingga Jumaat, pukul 7.00 malam dan boleh di strim secara langsung secara HD di Tonton melalui aplikasi atau www.tonton.com.my.

Lagu Hening Rindu, sebuah balada yang menggugat jiwa adalah hasil ciptaan komposer terkenal Ikhwan Fattana dan Wan Salleh, dan liriknya ditulis oleh Wan Salleh sendiri.  Lagu ini merupakan lagu single yang ke-9 Marsha Milan bersama Alternate Records & Talents, dan sebagai usaha bagi mempromosikan lagu ini, Alternate Records & Talents telah mengadakan Sesi Pelancaran Muzik Video Hening Rindu pada hari ini bertempat di Warner Music (Malaysia) Sdn Bhd. 

Marsha Milan Lancar Muzik Video Hening Rindu, Lagu Runut Drama Aku Bukan Ustazah

Menurut Ikhwan Fatanna, “Vokal Marsha yang sangat luar biasa dapat menyampaikan mesej yang meyakinkan dalam Hening Rindu. Ini merupakan kolaborasi saya yang pertama dengan Marsha dan Marsha adalah sangat-sangat hebat!  Sangat teruja untuk melihat kejayaan Marsha untuk Hening Rindu”

Hening Rindu adalah sebuah lagu balada yang penuh dengan emosi dan perasaan rindu yang mendalam.   Melalui melodi yang memukau, liriknya dibuai oleh gambaran perasaan kehilangan, kenangan yang berharga, dan cinta yang abadi walaupun dipisahkan oleh jarak dan waktu. Lagu ini menyentuh hati pendengar dengan tema universal tentang cinta dan rindu yang dialami oleh setiap insan.

Marsha Milan Lancar Muzik Video Hening Rindu, Lagu Runut Drama Aku Bukan Ustazah

Menurut penyanyi terkenal yang telah menempa nama menerusi pelbagai anugerah dan pengiktirafan sepanjang kariernya dan terus mencipta nama dalam industri hiburan, Marsha Milan, ‘’Saya sangat berbesar hati dapat menyumbangkan suara sekali lagi untuk lagu tema drama iaitu kali ini ‘Aku Bukan Ustazah’.  Menyampaikan lagu tema drama memerlukan penghayatan emosi yang mendalam. Bukan sekadar menyampaikan lirik dan melodi, tetapi juga perlu merasai dan memahami emosi yang  disampaikan. Melodinya syahdu, sarat dengan maksud tersirat. Saya berharap ia dapat menyentuh hati penonton seperti mana ia menyentuh hati saya ketika merakamkannya.”

“Mendengar melodi Hening Rindu sangat menangkap hati, saya terus menyukainya dan bersetuju untuk berkolaborasi. Lagu dan video ini sangat istimewa bagi saya, sesuatu yang saya rasa kita semua mungkin pernah rasa.  Ia membawa kembali suasana balada tahun 90-an tetapi dengan sentuhan yang moden.  Saya bangga dapat menjadi sebahagian daripada projek kreatif yang besar ini. Sebagai  seorang penyanyi saya rasa ianya sentiasa menjadi tanggungjawab saya untuk memberikan dinamik rasa dan warna kepada mana-mana kanvas yang diberikan”  tambah beliau.

Marsha Milan Lancar Muzik Video Hening Rindu, Lagu Runut Drama Aku Bukan Ustazah

Muzik video Hening Rindu adalah kesinambungan kepada Dulu, Kini dan Akhirnya. Arahan Izuan Mokhtar,  ia membongkarkan tentang Marsha yang diabaikan sebelum ini oleh suaminya Mirza, kerana Mirza sudah mempunyai perempuan lain iaitu Qaidah. Selepas pergaduhan, Marsha terlibat kemalangan sehingga meninggal dunia termasuk bayi di dalam kandungannya. Penyesalan Mirza di atas segala perbuatannya terhadap isterinya digarap dengan baik dalam setiap babak. Muzik video ini juga menampilkan lokasi-lokasi yang indah dan sinematografi yang mempesonakan disekitar Eco Majestic, Batai, Sepang, UPM Serdang, Subang Bestari dan Tadom Hill, menjadikan ia sebuah karya seni yang lengkap. Penggambaran yang mengambil masa 3 hari ini turut menampilkan penampilan khas Dato’ Adi Putra sebagai Mirza.

Marsha Milan Lancar Muzik Video Hening Rindu, Lagu Runut Drama Aku Bukan Ustazah

Sebelum ini, single Marsha yang berjudul ‘Dulu Kini Dan Akhirnya’ yang merupakan lagu runut bunyi kepada drama ‘Lelaki Itu’ telah mencatat sehingga 191 ribu tontonan di YouTube dan sekaligus menjadikan lagu tersebut trending di YouTube Music di tangga ke-25 dan juga mendapat 70 Juta tontonan di aplikasi Tik Tok sehingga kini. 

Marsha Milan Lancar Muzik Video Hening Rindu, Lagu Runut Drama Aku Bukan Ustazah

Jangan lepaskan peluang untuk mendengar lagu Hening Rindu dan ‘Dulu Kini Dan Akhirnya’ nyanyian Marsha Milan yang telah mula bergema di platform iTunes atau melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Spotify dan YouTube Music.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

TV AlHijrah Sajikan Program Istimewa Haji Dengan Tema Korban Suci Bersih Jiwa

Ciri Baharu Hadir di Servis Apple Pada Musim Luruh Ini Yang Anda Perlu Tahu