in

Mamat Exist Didenda RM1,000 Memasukkan Methamphetamine Dalam Badan

Bekas vokalis kumpulan Exist, Mamat, didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini selepas mengaku bersalah memasukkan methamphetamine ke dalam badan, enam tahun lalu.

Mamat atau nama sebenarnya, Mohd Ali Kamarudin, 39, dijatuhkan hukuman itu oleh Majistret Noor Aisyah Ahmad sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Noor Aisyah turut memerintahkan Mamat menjalani pengawasan polis dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) selama dua tahun, manakala sekiranya gagal membayar denda terbabit, dia boleh dipenjara lima bulan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Mamat didakwa memasukkan dadah berbahaya itu ke dalam badannya di pejabat Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara, pada 3.30 petang, 21 Mac 2011.

Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15 akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, peguam Arwa Abdul Rahman yang mewakili Mamat memohon hukuman ringan buat anak guamnya memandangkan pertuduhan yang dihadapkan adalah kes pada 2011.

“Anak guam saya ditahan pada 2011 untuk kes ini dan kini dia sudah bebas daripada penyalahgunaan dadah. Kini, Mamat bekerja sebagai jurujual jualan langsung dan turut menanggung tiga anak yang masih bersekolah berusia 11 hingga 15 tahun,” katanya.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Syafiq Mohd Ghazali.

Sumber: Harian Metro

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Peraduan Premiere With Budiey – Filem THE CIRCLE

Persembahan SEGALA PERASAAN Dato’ Siti Nurhaliza di ABPBH30 Mendapat Kritikan