Bayangkan sebuah malam di mana tiga jiwa seni dari Indonesia bergabung di atas satu pentas, membawa emosi, cerita, dan muzik yang menyentuh hati. Itulah yang dijanjikan dalam konsert eksklusif ‘Malam 3 Suara’ yang bakal berlangsung pada 14 Disember 2025 di Idea Live Arena, Kuala Lumpur. Tiga nama besar iaitu Rizky Febian, Fabio Asher dan Anggi Marito akan berkongsi pentas, mencipta pengalaman muzik yang dikatakan lebih daripada sekadar hiburan, sebaliknya sebuah perjalanan emosi yang akan tersemat dalam ingatan penonton.
Menurut penganjur, Strategy X Entertainment Sdn. Bhd., konsert ini adalah gabungan suara dan jiwa yang istimewa. “Malam 3 Suara bukan sekadar konsert, tetapi sebuah naratif yang dirangkai melalui muzik. Ia membawa penonton menyelami kisah-kisah cinta, kerinduan, harapan dan kebersamaan seolah-olah menemani perjalanan perasaan setiap insan,” kata wakil penganjur.
Pentas ini bukan sahaja akan menampilkan lebih 20 lagu, tetapi juga segmen istimewa yang merangkumi persembahan solo, duet, dan kolaborasi eksklusif – sesuatu yang hanya boleh dinikmati secara langsung pada malam itu. Persembahan yang dijangka berlangsung lebih daripada dua jam ini akan membolehkan peminat merasai gabungan tiga warna vokal yang berbeza, namun saling melengkapi.
Tiga Suara Dengan Identiti Unik Dan Pesona Tersendiri
Setiap penyanyi membawa keunikan tersendiri yang akan menyemarakkan suasana konsert. Anggi Marito dikenali dengan vokalnya yang lembut namun penuh ketulusan, Fabio Asher membawa balada yang sarat emosi, sementara Rizky Febian tampil dengan pesona dan gaya persembahan yang penuh warna. “Apabila tiga elemen ini digabungkan, lahirlah sebuah harmoni indah yang saling melengkapi,” jelas penganjur lagi.
Rizky sendiri meluahkan rasa teruja untuk kembali ke Malaysia. “Saya amat teruja untuk kembali ke Kuala Lumpur, dan bertemu dengan peminat di Malaysia. Ini adalah sebuah peluang berharga untuk berkongsi muzik saya secara lebih dekat dan mencipta kenangan indah bersama anda semua,” kata penyanyi yang terkenal dengan pesona pentasnya itu.
Rizky Febian – Ikon Generasi Baharu Muzik Pop Indonesia
Tidak lengkap membicarakan ‘Malam 3 Suara’ tanpa menyentuh tentang Rizky Febian, penyanyi muda yang telah membina nama besar di Indonesia dan Asia Tenggara. Dengan lebih 7 juta pendengar bulanan di Spotify, Rizky dikenali dengan lagu-lagu hit seperti Hingga Tua Bersama, Kata, Penantian Berharga, Cuek dan Mantra Cinta.
Kejayaannya bukan hanya pada carta muzik, tetapi juga melalui pengiktirafan dalam bentuk pelbagai anugerah muzik berprestij di Indonesia. Rizky bukan sahaja seorang penyanyi, malah seorang penulis lagu berbakat yang karya-karyanya sering menjadi siulan ramai. Persembahannya sering digambarkan sebagai penuh bertenaga, menyentuh hati dan berjaya menghubungkan emosi penonton dari pelbagai lapisan usia.
Fabio Asher – Balada Penuh Luka Yang Menyentuh Jiwa
Nama Fabio Asher pula melonjak naik melalui lagu Bertahan Terluka dan Rumah Singgah, dua karya yang menjadi fenomena di kalangan peminat muzik Indonesia. Fabio digemari kerana kejujuran dalam menyampaikan lirik serta vokalnya yang penuh perasaan. Tidak hairanlah, generasi muda terutama milenial dan Gen Z begitu dekat dengan karyanya.
Fabio pernah menyertai Starvoices Indonesia dan X Factor Indonesia, dan meskipun perjalanan kompetisinya tidak selalu mudah, dia berjaya membuktikan bahawa keaslian dan emosi yang tulus adalah kekuatan utamanya. Kini, Fabio dianggap sebagai salah seorang penyanyi muda yang membawa nafas baharu dalam industri muzik Indonesia.
Anggi Marito – Suara Segar Dengan Pesona Pentas Tersendiri
Sementara itu, Anggi Marito, finalis Indonesian Idol musim kesebelas yang meraih tempat ketiga, tampil dengan vokal bertenaga dan penuh karakter. Lagu-lagunya seperti Tak Segampang Itu dan Cara Mencintaimu menjadikannya salah satu penyanyi muda yang semakin mencuri perhatian.
Pada usia 23 tahun, Anggi dilihat sebagai bintang muda yang mampu membawa kehangatan dan variasi dalam konsert ini. Dengan pesona pentas yang kuat serta gaya vokal yang menggetarkan hati, Anggi dijangka menambah warna tersendiri dalam gabungan tiga suara hebat ini.
Maklumat Tiket Dan Lokasi Konsert
Konsert ‘Malam 3 Suara’ bakal berlangsung pada 14 Disember 2025 (Ahad), jam 8.00 malam di Idea Live Arena, Kuala Lumpur.
Kategori tiket dibahagikan mengikut segmen dan harga bermula dari RM188 sehingga RM448. Antara kategori yang ditawarkan termasuk:
- Malam Rawan – RM448
- Hingga Tua Bersama – RM388
- Rumah Singgah – RM298
- Cara Mencintaimu – RM228
- Tak Segampang Itu – RM188
- Kesempurnaan Cinta – RM338
- Bertahan Terluka – RM288
- Tanpa Rasa Bersalah – RM268
- Makna Cinta – RM318
Tiket mula dijual pada 12 September 2025 melalui platform rasmi www.ticket2u.com.my/malam3suara.
Dengan kerjasama ERA FM sebagai rakan radio rasmi dan Astro Gempak sebagai rakan media digital rasmi, konsert ini dijangka mendapat liputan luas dan sambutan hangat dari peminat tempatan.
Apa Kata Budiey?
Budiey melihat ‘Malam 3 Suara’ bukan sekadar konsert, tetapi sebuah pertemuan jiwa yang mempertemukan tiga penyanyi dengan gaya dan kisah tersendiri. Ini adalah ruang di mana muzik menjadi bahasa universal, merentas sempadan dan menghubungkan hati-hati yang hadir.
Bagi Budiey, konsert ini bakal menjadi titik pertemuan generasi baharu peminat muzik Indonesia dan Malaysia. Ia bukan hanya tentang mendengar lagu-lagu popular, tetapi tentang merasai cerita, luka, cinta dan harapan yang diterjemahkan melalui suara tiga bintang ini.
Kalau anda benar-benar cintakan muzik yang hidup dari hati, konsert ini adalah malam yang anda tidak boleh lepaskan.