in , ,

Majlis Wedding Pernikahan Rusdi Ramli dan Sharon Paul

Budiey nak ucap tahniah kepada pelakon serba boleh Rusdi Ramli atas perkahwinan dengan buah hati kesayangannya, Sharon Paul. Setahun bercinta dan 15 tahun menduda. Agak-agak berapalah mas kahwin diorang ni… dah lah wang hantaran tak kasi. Mesti banyak kan?

Apa-apa pun tahniah. Semoga bahagia hingga ke akhir hayat.

KUALA LUMPUR: “Saya selalu berfikir akan hidup bujang hingga akhir hayat, tapi ini yang dikatakan takdir dan jodoh,” kata pemenang Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-20, Rusdi Ramli, 37, mengenai keputusannya bernikah dengan komposer terkenal, Sharon Paul Abdullah.

Hampir 15 tahun hidup sendiri, pelakon utama filem Waris Jari Hantu itu bakal menamatkan zaman duda dengan menikahi kekasihnya, Sharon, Ahad ini.

Ketika dihubungi, semalam, anak pelakon veteran Norlia Ghani itu menjelaskan, majlis pernikahan akan diadakan secara ringkas dan hanya membabitkan keluarga kedua-dua belah pihak.

“Tiada wang hantaran diberikan kepada bakal isteri, sebaliknya hanya mas kahwin dan senaskhah al-Quran akan diserahkan. Dulang hantaran pun tiada. Bagi kami lebih penting pada hari itu perkara wajib iaitu akad nikah,” katanya.

Begitupun, bagi menghormati Sharon, resepsi dan persandingan akan diadakan sebaik majlis pernikahan selesai dijalankan.

Bercerita lanjut mengenai percintaan mereka yang sebelum ini tidak pernah disiarkan pihak media, kata Rusdi, dia mahupun Sharon mula serius memikirkan soal berumahtangga selepas setahun menjalinkan hubungan.

“Susah untuk saya jelaskan mengapa saya tiba-tiba bersedia untuk berumahtangga sekali lagi dan memilih Sharon untuk menjadi suri hidup. Ini yang dikatakan jodoh. Apa yang pasti Sharon boleh menerima saya seadanya. Dia bukan saja memahami saya, tetapi kerjaya saya juga. Bagaimanapun, selepas bernikah nanti saya juga perlu faham tugasnya sebagai komposer dan pencipta lagu. Antara kami banyak persamaan. Kalau hendak kata saya sibuk, Sharon juga sibuk apabila sehari suntuk terperap dalam studio. Boleh dikatakan kerjaya kami banyak persamaan dan itu membuatkan kami saling memahami.

“Selepas bernikah saya tidak lagi bimbang kerana bakal isteri akan sentiasa berada di sisi kerana menguruskan syarikat yang kami tubuhkan iaitu Filmwerks Sdn Bhd. Syukur apabila ibu, bapa dan anak tunggal saya boleh menerima Sharon. Apabila sudah mendapat restu keluarga kedua-dua belah pihak, rasanya ini jalan terbaik untuk kami ambil,” katanya lagi.

Rusdi dan Sharon pertama kali bertemu ketika menjayakan filem Pontianak Harum Sundal Malam II (PHSMII).

“Waktu itu saya dan Maya Karin terpaksa ke studio kerana Sharon yang bertindak sebagai pengarah skor muzik filem itu merakamkan suara kami. Selepas itu kami tidak pernah berjumpa sehingga majlis tayangan perdana filem PHSMII. Sejak itu kami saling berhubungan hingga sekarang,” katanya.

– Sumber: Harian Metro

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

The Biggest Game Show DEAL OR NO DEAL ntv7

Profile Amy uk’s