in , ,

Luahan Hati Yuka Kharisma Dalam Single Terbaharu MELIHATMU BAHAGIA

Artis Baharu Rocketfuel Entertainment Asal Indonesia, Yuka Kharisma Lebarkan Sayap Garudanya Dengan Kelahiran Single Sulung MELIHATMU BAHAGIA yang menyematkan luahan hatinya.

Yuka Kharisma, pemenang bagi kategori Artis Baru Wanita Terbaik Anugerah Planet Muzik (APM) ke-15 merupakan penyanyi wanita kelahiran Acheh, Indonesia, kini melebarkan sayap Garudanya ke Malaysia dengan kelahiran single sulung yang berjudul ‘Melihatmu Bahagia.’ Lagu yang bergenre balada sinematik ini adalah nukilan Yuka sendiri bersama pemuzik dan komposer Ahmad Jeffny yang merupakan suaminya.

“Akhirnya impian saya tercapai juga untuk melancarkan single pertama di bawah naungan Rocketfuel Entertainment. Setinggi-tinggi terima kasih di atas kepercayaan yang diberikan oleh pihak label terhadap karya saya,”

– Yuka Kharisma

Peserta separuh akhir Indonesian Idol musim ke-5 ini sebenarnya sudah lama berkelana di Malaysia dan memilih jejaka tempatan sebagai teman hidupnya.

“Perjalanan seni saya agak panjang sebenarnya, ia bermula pada tahun 2008 lagi dengan menyertai pertandingan Indonesian Idol, kemudian menjadi artis di negara asal, Indonesia, sehingga pada suatu hari saya mendapat jemputan melakukan persembahan di Malaysia dan bermulalah segalanya.

“Anugerah yang diraih di APM telah membuka mata ramai tentang kewujudan saya, namun masih banyak yang perlu saya tempuhi. Konsert bersama Anuar Zain dan Bunga Citra Lestari pada tahun 2018 merupakan di antara kenangan terindah sepanjang kerjaya saya,”

– Yuka Kharisma

Proses rakaman single Melihatmu Bahagia yang mengambil masa selama sebulan untuk disiapkan telah dilakukan di kediaman Yuka sendiri.

“Demi mematuhi PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), saya bersama suami mengambil keputusan untuk melakukan kesemuanya di rumah. 

Melihatmu Bahagia adalah dedikasi serta penghargaan saya terhadap ibu, ia menceritakan tentang betapa besarnya pengorbanan seorang ibu dalam membesarkan anaknya. Mesej yang saya cuba sampaikan adalah supaya kita sentiasa mengingati jasa ibu kerana tak mungkin kita dapat membalasnya, dan hargailah setiap saat yang diberikan bersama.

“Selain itu, saya dan suami mahukan kelainan dari segi komposisi muzik dengan memasukkan elemen sinematik agar lebih terkesan apabila pendengar mendengarnya. Hampir setiap kali rakaman dijalankan pasti saya akan menangis kerana ia terlalu sedih untuk dinyanyikan.

“Bagi menghidupkan lagu ini, muzik videonya (MV) bakal memaparkan kisah hidup seorang ibu yang bersusah payah dalam membesarkan anaknya walaupun dimamah usia dengan penuh keterbatasan,”

– Yuka Kharisma
Kata Hati Yuka Kharisma Dalam Single Terbaharu MELIHATMU BAHAGIA

Mengagumi penyanyi antarabangsa seperti David Foster, Whitney Houston dan Michael Jackson, serta penyanyi Asia Tenggara seperti Chrisye dan Dato’ Sheila Majid, Yuka mahu nyanyiannya mempunyai kekuatan tersendiri dan mendapat tempat di hati para pendengar.

“Orang tua saya yang banyak mendorong kerjaya saya malah pernah satu ketika saya hampir berputus asa, namun suami banyak memberikan semangat dan motivasi sehingga ke saat ini untuk terus mempejuangkan muzik saya,” tambahnya.

– Yuka Kharisma

Menurut En. Jipie, selaku Ketua Label & Penerbitan, Rocketfuel Entertainment yang baharu, “Yuka merupakan penyanyi yang berpengalaman dan berbakat besar, dedikasi yang ditunjukkan wajar dijadikan contoh. Mungkin ramai yang tak sedar dengan bakat yang beliau ada, namun saya percaya single Melihatmu Bahagia mampu melonjakkan lagi nama Yuka Kharisma sekaligus membuka mata penggemar muzik tempatan. Kekuatan lagu ini terletak pada vokal Yuka yang turut diselami penghayatan perasaan pada bait lirik lagu tersebut.”

“Saya harap semoga semua pendengar dapat menerima single Melihatmu Bahagia dengan hati yang terbuka melalui mesej yang cuba saya sampaikan. 

“Selain itu, saya juga ingin berpesan kepada rakyat Malaysia serta Indonesia agar sentiasa jaga keselamatan, patuhi SOP, dapatkan vaksin dengan segera, dan rajin-rajinlah bertanya khabar sesama keluarga, rakan-rakan atau sesiapa sahaja.”

– Yuka Kharisma

Lagu ‘Melihatmu Bahagia’ boleh dimuat turun di iTunes Store dan dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengar dan nikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Apple Music, Spotify, Joox, YouTube Music, KKBox dan Deezer, manakala MV single ini pula boleh ditonton secara eksklusif di YouTube Rocketfuel Network.

Kata Hati Yuka Kharisma Dalam Single Terbaharu MELIHATMU BAHAGIA

Lirik MELIHATMU BAHAGIA

Tajuk : MELIHATMU BAHAGIA

Artis : Yuka Kharisma

Penulis Lirik : Yuka Kharisma & Ahmad Jeffny

Komposer : Yuka Kharisma & Ahmad Jeffny

Dirimu anugerah terindah yang teristimewa

Jiwamu jiwaku menyatu

Bagai puisi dan lagu

Jika takdir harus terpisah

Biarlah aku yang mengalah

Seluruh dunia kuberikan

Hanya untuk melihatmu bahagia

Masihkah ada masa yang tersisa

Untuk kita kembali bersama

Denganku hu…

Jika takdir harus terpisah

Biarlah aku yang mengalah

Seluruh dunia kuberikan

Hanya untuk melihatmu bahagia

Masihkah ada masa yang tersisa

Untuk kita kembali bersama

Denganku

Seluruh dunia kuberikan 

Hanya untuk melihatmu bahagia

Masihkah ada masa yang tersisa

Untuk kita kembali bersama

Denganku

Kata Hati Yuka Kharisma Dalam Single Terbaharu MELIHATMU BAHAGIA

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

RIM Mengalukan Pembukaan Semula Sektor Industri Kreatif dengan Kelonggaran SOP

Meer Nash Ketengahkan Versi ‘Asal’ SARANGHAE