in

Lokasi Ujibakat ON AIR di Pulau Pinang Dapat Sambutan

LOKASI UJIBAKAT PERTAMA DI PULAU PINANG TERIMA SAMBUTAN HANGAT

Pelbagai ragam dan gelagat dapat dilihat di sepanjang sesi ujibakat yang telah berlangsung di Pulau Pinang pada hujung minggu lepas. Rata-rata dari lebih 200 orang yang hadir ke sesi ujibakat selama dua hari itu mempunyai impian yang sama iaitu untuk menjadi pengacara yang berkaliber dan serba boleh.

Sesi ujibakat di Pulau Pinang menerima sambutan yang hangat daripada orang ramai apabila kaunter pendaftaran mula dipenuhi seawal jam 8 pagi. Kebanyakkan daripada mereka yang hadir dilihat ditemani oleh ahli keluarga dan sahabat-handai bagi menandakan tanda sokongan.

Kehadiran juri jemputan, Datin Seri Normala Shamsudin ternyata telah memberikan semangat kepada orang ramai untuk memberanikan diri untuk diuji bakat di hadapan ikon pengacaraan yang terkenal, Aznil Hj Nawawi dan Suhaimi Sulaiman.

Gelagat Para Juri Semasa Proses Ujibakat

Ketua juri, Aznil Hj Nawawi yang tamat terharu dengan sambutan yang diberikan walau bagaimanapun mengingatkan mereka yang berminat untuk menghadiri sesi ujibakat di lokasi seterusnya agar datang dengan keadaan yang lebih bersedia.

“Saya ingin mengingatkan mereka yang akan hadir untuk diuji bakat di lokasi yang seterusnya supaya tidak meniru gaya pengacara yang sedia ada tetapi tampil dengan gaya yang bersahaja tetapi menyakinkan. Gaya penyampaian seperti seorang pendebat dan pakar motivasi juga harus dielakkan.

Penampilan memainkan peranan yang penting dalam menambat hati para juri. Ramai yang gagal di Pulau Pinang kerana ada yang datang dengan berselipar yang secara tidak langsung menampakkan keperibadian yang tidak serius dalam menempah tempat ke arena pengacaraan,” ujar Aznil lagi.

Program ON AIR ini akan melihat seramai tujuh peserta lelaki dan wanita yang terpilih menerusi siri ujibakat di beberapa buah negeri akan ditempatkan di sebuah lokasi tertentu di ibukota untuk menjalani kursus melalui silabus yang telah ditentukan untuk memantapkan lagi pengetahuan dan ilmu mereka daripada pelbagai genre pengacaraan. Mereka akan diberi tunjuk ajar, pendedahan serta tugasan tertentu selama 10 minggu yang berlandaskan format televisyen iaitu Berita, Majalah dan Hiburan.

Juara bakal memenangi kontrak sebagai Artis Residen Astro selama tiga tahun dan pelbagai hadiah sampingan lain yang akan diumumkan kelak.

Kehadiran dua ikon dalam bidang pengacaraan yang tidak asing lagi iaitu, Aznil Hj Nawawi yang akan bertindak selaku ketua juri dan dibantu oleh Suhaimi Sulaiman. Selain bertindak sebagai juri, mereka juga bertanggungjawab untuk melatih dan membimbing para peserta menjadi seorang pengacara yang versatil.

Kejayaan Aznil memenangi Anugerah Bual Bicara Terbaik di Anugerah Televisyen Asia di Singapura pada tahun 2005 menerusi rancangan Macam Macam Aznil selain mengekalkan kemenangan sebagai Pengacara TV Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian selama lapan tahun sejak 2003 sehingga kini meletakkan beliau individu yang paling layak mengemudi rancangan ini.

Suhaimi Sulaiman pula bukanlah satu nama baru dalam bidang pengacaraan malah karier beliau dalam industri penyiaran sudah bermula seawal tahun 1990. Beliau kini mengendalikan rancangan temubual Agenda Awani dan Focus Economy dan merupakan pelopor strategi media Astro Awani dan bertanggungjawab membimbing dan melatih para penyampai dan pengacara di saluran berita dan informasi 24 jam yang pertama di Malaysia itu.

Selepas Pulau Pinang, pihak produksi akan mengunjungi empat tiga buah lagi negeri bagi mengenal pasti peserta-peserta yang dilihat layak untuk menyertai program ini di lokasi-lokasi berikut:

NO. NEGERI TEMPAT TARIKH
1. Johor Bahru The Puteri Pacific, Johor Bahru 21 & 22 Januari 2012
2. Sarawak Merdeka Palace, Kuching 28 & 29 Januari 2012
3. Kuala Lumpur Pusat Penyiaran Asia (Astro), Bukit Jalil, 4 & 5 Februari 2012

** Kaunter pendaftaran bagi setiap sesi ujibakat dibuka dari jam 9.00 pagi hingga 1.00 petang dan para peserta digalakkan untuk hadir awal bagi mengelakkan kesesakkan.

Peserta mestilah seorang lelaki atau perempuan, bujang atau sudah berkahwin dan mestilah seorang warganegara Malaysia berumur 18 tahun hingga 30 tahun dan boleh bertutur dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris dengan baik dan mempunyai personaliti yang menarik. Para paserta ujibakat perlu membawa salinan kad pengenalan, resume dan sekeping gambar berukuran 4R.

Program realiti On Air ini bakal bersiaran di saluran rasmi; Astro RIA (saluran 104) pada 25 Januari ini. Butir-butir lanjut mengenai program ini akan diumumkan kelak.

Peserta Bersemangat Untuk Menjalani Sesi Ujibakat Oleh Para Juri

Peserta Mula Beratur Seawal Jam 8 Pagi

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Future Music Festival Asia

Drama Pelangi Kasih Lakonan Nabila Huda Beto Kushairy