Berita yang cukup mengujakan buat peminat muzik K-rap di Malaysia! Buat pertama kalinya, Loco, rapper terkenal dari Korea Selatan, bakal hadir dengan konsert solo penuh eksklusif di Kuala Lumpur. Konsert yang diberi nama 2025 LOCO CONCERT: SCRAPS TOUR in KUALA LUMPUR ini akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 2 November 2025 (Ahad), jam 7 malam. Penganjuran konsert ini adalah hasil kerjasama antara Starry Live Entertainment dan The WonderLand+.
Konsert ini diadakan sempena meraikan pelancaran album studio ketiga Loco berjudul “Scraps”, yang juga merupakan album pertama di bawah label miliknya sendiri, Locomotive. Album ini menampilkan 12 buah lagu baharu dengan gaya penceritaan unik, disertai kolaborasi bersama beberapa artis antarabangsa dan serantau seperti Jordan Ward, 1MILL dan Feby Putri. Kuala Lumpur adalah salah satu destinasi istimewa dalam jelajah Asia beliau, selain Taipei, Bangkok, Singapura dan Hong Kong.
Dari Juara Show Me The Money Ke Ikon Hip-Hop Korea
Nama Loco mula meniti di bibir peminat sejak tahun 2012 apabila beliau dinobatkan sebagai juara pertama “Show Me the Money”, sebuah pertandingan rap terkenal di Korea Selatan. Sejak itu, beliau dikenali sebagai antara suara penting dalam dunia hip-hop Korea dengan deretan lagu popular seperti “No More”, “You Too” dan “Don’t Give It to Me”. Tidak hanya itu, Loco juga pernah berkolaborasi dengan ramai artis besar seperti Hwasa (MAMAMOO), Crush dan Gray, yang semakin mengukuhkan reputasinya dalam industri muzik.
Bila menyentuh tentang persembahan pentas, Loco sering digambarkan sebagai seorang artis yang intim dan penuh energi, tidak hanya bergantung kepada visual tetapi menghubungkan peminat melalui karisma semula jadi dan penguasaan pentas yang luar biasa. Ramai peminat menggambarkan konsertnya sebagai pengalaman yang dekat, di mana Loco sering berinteraksi, berborak dan menyanyi bersama penonton. Inilah yang menjadikan konsert beliau lebih bermakna, kerana ia mencerminkan perkembangan dirinya bukan sahaja sebagai seorang artis, tetapi juga sebagai seorang insan.
Harga Tiket Dan Faedah Peminat Yang Eksklusif
Bagi peminat tegar yang ingin merasai pengalaman lebih dekat dengan Loco, tiket akan mula dijual pada 5 September 2025 (Jumaat), jam 11 pagi melalui my.bookmyshow.com. Harga tiket ditawarkan dengan pelbagai kategori berserta faedah peminat (fan benefits) yang cukup istimewa, termasuk peluang bertemu Loco secara peribadi, sesi bergambar berkumpulan, akses ke sesi raptai dan cenderahati eksklusif. Berikut adalah butiran kategori tiket:
- VIP BOX (8 Orang): RM5,500
Faedah: Lanyard & Pas VIP, sesi raptai (soundcheck), foto berkumpulan (1:20), sesi ucap selamat tinggal (goodbye session), kad cenderahati untuk semua, serta poster bertandatangan untuk 60 peminat bertuah. - VIP (Berdiri): RM648
Faedah: Sama seperti pakej VIP BOX termasuk sesi eksklusif bersama Loco. - CAT 1 (Berdiri/Duduk): RM488
Faedah: Sesi raptai, kad cenderahati, foto berkumpulan (1:20) untuk 200 peminat, sesi ucap selamat tinggal untuk 300 peminat, serta poster bertandatangan untuk 30 peminat. - CAT 2 (Duduk): RM348
Faedah: Kad cenderahati, sesi ucap selamat tinggal untuk 100 peminat, serta poster bertandatangan untuk 10 peminat sahaja.
Dengan barisan tiket yang datang dengan pelbagai kelebihan, jelas sekali konsert ini bukan sekadar acara hiburan semata-mata, tetapi satu peluang istimewa untuk peminat berhubung dengan idola mereka.
Mengapa Konsert Ini Wajib Ditonton?
Kemunculan Loco di Kuala Lumpur bukan sekadar sebuah konsert, tetapi satu perayaan muzik dan cerita hidup seorang ikon hip-hop Korea. Dengan reputasi hebat dalam kawalan pentas dan deretan lagu yang sudah sebati dengan jiwa peminat, tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa konsert ini akan menjadi antara acara muzik paling dinantikan pada tahun 2025. Tambahan pula, konsert ini akan membawa pengalaman yang memadukan muzik, penceritaan dan interaksi intim antara artis dan peminat.
Untuk maklumat lanjut serta kemas kini terkini mengenai konsert ini, peminat boleh mengikuti akaun rasmi di Instagram @starryliveent dan Facebook rasmi mereka.
Apa Kata Budiey?
Bagi Budiey, konsert Loco Scraps Tour di Kuala Lumpur ini ibarat satu peluang emas yang tidak patut dilepaskan oleh mana-mana peminat muzik rap Korea. Kehadiran Loco bukan sekadar membawa persembahan lagu-lagu hits, tetapi juga sebuah pengalaman mendalam yang mendekatkan artis dengan peminatnya secara peribadi.
Dengan harga tiket yang datang bersama pelbagai faedah eksklusif, jelas ia memberikan nilai tambahan buat peminat yang ingin merasai pengalaman sekali seumur hidup. Kalau anda seorang pencinta hip-hop atau peminat budaya K-rap, ini mungkin malam yang akan jadi memori paling indah dalam hidup anda.
Budiey percaya konsert ini akan menjadi bukti bahawa Kuala Lumpur terus menjadi destinasi penting untuk artis antarabangsa, khususnya dari Korea, untuk mendekati peminat serantau. So, gais—mark your calendar, sebab ini memang konsert yang tak boleh miss!