in

Lisdawati, Almy Nadia & Yatt Hamzah Dalam Telemovie 3 Mawar Dara

Gandingan Lisdawati, Almy Nadia dan Yatt Hamzah Dalam Telemovie 3 Mawar Dara Hujung Minggu Ini di TV2

KUALA LUMPUR, 20 September – Dibintangi watak-wataknya oleh dramatis popular Lisdawati, Almy Nadia, Yatt Hamzah, Fizow Omar, Roy Azman dan Rizal Jaafar, Radio Televisyen Malaysia (RTM) berkongsi drama menarik, 3 Mawar Dara pada 24 September 2011 (Sabtu), jam 10.00 pagi di TV2.

Ia berlegar sekitar watak Miza, Zana dan Amy merupakan rakan sekampung yang dari kecil berkawan baik. Biarpun mereka serasi bersama, tetapi perangai dan karakter masing-masing amat berbeza. Miza, hanya berkelulusan SPM terkenal dengan sikapnya yang agak kelam kabut. Zana pula memiliki karektor yang kasar, tegas tetapi baik hati. Manakala Amy, bertubuh paling kecil, seorang yang amat pemalu dan agak penakut. Bila bercakap, suaranya selalu seperti dengar atau tidak. Kerana itu dia selalu dimarahi oleh Zana. Tetapi akan ditenangkan oleh Miza yang sederhana.

Babak Dalam 3 Mawar Dara

Sebaik tamat belajar, mereka tinggal bersama di Kuala Lumpur bekerja mengikut haluan dan kelayakan masing-masing. Miza, seorang kerani di bahagian Jabatan Sumber Manusia sebuah syarikat pengedar produk kecantikan. Walaupun sikapnya agak kelam-kabut namun dia seorang yang rajin bekerja di pejabat dan disukai oleh pekerja yang lain. Dia sering menjadi mangsa usikkan Faizal, eksekutif muda yang baru bekerja selama 4 bulan di situ. Walaupun nakal, Faizal seorang yang baik, selalu belikan sarapan untuk Miza kerana Faizal tahu Miza selalu tak sempat untuk bersarapan.

Zana pula berkelayakan ijazah dari IPTA dan bekerja sebagai pengurus di sebuah cafe eksklusif. Sifatnya yang garang dan tegas itu amat sesuai dengan pekerjaannya yang menuntut dia mementingkan kebersihan, perkhidmatan pelanggan yang baik dan kualiti makanan. Zana akan memarahi semua pelayannya sekiranya mereka melakukan sebagai kecuaian. Dia akan berceramah dengan tukang masak berkenaan dan amat penting baginya untuk memastikan kepuasan pelanggan dan kebersihan.

Sementara itu Amy pula memang seorang pemalu, tetapi banyak cakap jika bersama rakan-rakan yang dikenalinya. Dia bekerja di sebuah syarikat menjual dan mengedar uniform serta pelbagai pakaian sebagai penolong pengurus tukang jahit. Oleh kerana kebanyakan rakan dan orang bawahannya wanita, dia cukup risau dan pemalu apabila ada lelaki yang cuba mendekatinya. Hinggalah pada suatu hari, Amy yang baru pulang dari kerjanya singgah di sebuah kedai tudung dan berkenalan dengan pekerja baru kedai itu bernama Salleh.

Kehidupan mereka bertiga lancar sehinggalah satu hujung minggu mereka balik kampung bersama. Yang menghairankan mereka, kesemua ibu mereka bertanyakan dan mendesak mereka untuk berkahwin. Mak Semah, ibu Miza mahu jodohkan dia dengan seorang sepupunya. Begitu juga dengan Zana, tiba-tiba ibunya bertanyakan bila mahu berkahwin. Zana mentertawakan hasrat ibunya itu. Makcik Habibah geram dan mereka mula bertelagah. Ayahnya secara lembut menasihati agar Zana mula fikirkan tentang jodoh kerana usianya dan Miza serta Amy sudah memasuki 30 tahun. Malah dengan tegas, ibunya memberi Zana masa pada tahun ini juga untuk mencari bakal suami dan memperkenalkan kepada mereka.

Cik Bunga pula, seorang janda dan ibu kepada Amy juga menasihatkan Amy untuk mula memikirkan jodoh mereka kerana sudah sampai masanya mereka berkeluarga. Cik Bunga memberi kata dua kepada Amy, samada Amy berkahwin atau dia yang akan berkahwin dalam tahun itu juga.

Pulang dari kampung, semua senyap dalam kereta. Dan apabila seorang bersuara, barulah masing-masing riuh bercerita tentang ibu bapa mereka yang bertanyakan perkara yang sama kepada mereka. Hinggakan mereka membuat spekulasi bahawa ibu bapa mereka berpakat untuk memaksa mereka mencari jodoh. Akhirnya mereka berpakat untuk cuba merealisasikan kehendak ibu bapa mereka walaupun pahit untuk dilakukan.

Lalu apakah keputusan yang diambil mereka? Dapatkah mereka mencari jodoh pilihan sendiri atau pun terpaksa menurut pilihan keluarga yang mahu kan mereka berumah tangga tahun itu juga?

Fizo Dan Almy Nadia Dalam 3 Mawar Dara

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

TV AlHijrah Umum 10 Peserta Program Realiti Solehah

U Mobile’s Lucky One millionth Subscriber