Siapa yang tak mahu menyambut malam Tahun Baru dengan penuh elegan, ditemani persembahan muzik memukau serta hidangan istimewa dalam suasana yang cukup mewah? Kalau korang tengah cari pengalaman luar biasa untuk tutup tirai tahun 2025 ni, Le Méridien Petaling Jaya dengan kerjasama Universal Music Malaysia ada jawapannya.
Majlis eksklusif yang diberi nama “Nostalgia” ini akan berlangsung pada 31 Disember 2025 bertempat di Grand Ballroom Le Méridien Petaling Jaya. Dengan janji pengalaman mewah yang serba eksklusif, malam ini bakal menjadi memori paling indah dalam kalendar korang.
Persembahan Eksklusif Ernie Zakri & Syamel
Bukan calang-calang artis yang dipilih untuk menghiburkan korang pada malam tu nanti. Pasangan duet sensasi, Ernie Zakri dan Syamel akan membuat persembahan khas selama tiga jam tanpa henti, membawakan lagu-lagu popular serta klasik evergreen yang dijamin boleh buat korang mengimbau nostalgia silam.
Ernie Zakri atau nama penuhnya Nur Ernie Shahirah Zakri, 33 tahun, berkata, acara ini lebih daripada sekadar persembahan biasa.
“Saya amat menantikan peluang untuk bersama peminat dalam suasana yang begitu eksklusif dan peribadi. ‘Nostalgia’ ini bukan sekadar konsert, ia adalah malam yang membolehkan saya berkongsi kenangan, emosi dan suara hati saya secara langsung kepada semua tetamu yang hadir,” ujar Ernie penuh teruja.
Tambahnya lagi, persembahan ini diharap dapat mencipta kenangan terindah yang pasti akan dikenang sepanjang hayat.
Syamel pula, yang nama sebenarnya Syameel Aqmal Mohd Fodzly, 32 tahun, turut sama berkongsi keterujaannya.
“Sebagai seorang penghibur, tiada yang lebih bermakna daripada mengakhiri tahun dengan mereka yang menghargai muzik saya. ‘Nostalgia’ adalah pentas untuk saya merakamkan rasa syukur, dan saya janji akan berikan yang terbaik malam itu,” katanya penuh semangat.
DJ Fuzz Gegarkan Malam Tahun Baru
Bukan sahaja pasangan duet popular ini, tetapi malam itu akan dimeriahkan lagi dengan persembahan DJ terkenal, DJ Fuzz. Beliau bakal menaikkan lagi suhu malam dengan set muzik bertenaga, tepat pada detik jam 12 malam untuk menyambut kedatangan tahun baru 2026.
Menu Istimewa Bertaraf Antarabangsa
Bagi melengkapkan malam penuh glamor ini, pasukan kulinari Le Méridien Petaling Jaya menyediakan empat hidangan premium yang bercitarasa Barat, dicipta khas untuk acara ini. Jadi, bukan saja telinga korang akan terhibur, perut pun turut sama gembira!
Pakej Meja Eksklusif dengan Pelbagai Keistimewaan
Acara ini menyediakan empat kategori meja yang boleh korang pilih mengikut bajet dan kehendak masing-masing:
- Platinum (RM13,999) – Lokasi utama di depan pentas, sesi Meet & Greet bersama artis, akses lounge VIP, hadiah eksklusif, minuman sparkling juice tanpa had dan diskaun 50% penginapan.
- Diamond (RM10,888) – Lokasi strategik berhampiran pentas, sesi foto berkumpulan, set hadiah VIP, servis mocktail dan diskaun 30% penginapan.
- Gold (RM8,000) – Minuman alu-aluan, beg hadiah standard dan diskaun 20% penginapan.
- Silver (RM6,000) – Diskaun 20% penginapan.
Tempat duduk individu turut disediakan bagi kategori Silver dan Gold, sesuai buat korang yang datang solo atau berpasangan.
Tawaran Awal Eksklusif
Bermula 1 Ogos sehingga 1 Oktober 2025, korang boleh menikmati penginapan percuma satu malam apabila membeli meja berikut:
- Silver & Gold – 1 bilik percuma
- Diamond & Platinum – 2 bilik percuma
Pembelian tiket dan tempahan boleh dibuat mulai 8 Ogos 2025 di laman web rasmi www.nostalgianye.my, yang dikendalikan oleh TWIPORT Sdn Bhd.
Apa Kata Budiey?
Malam Tahun Baru sepatutnya jadi momen istimewa yang akan dikenang sampai bila-bila. Bagi Budiey, acara “Nostalgia” oleh Le Méridien Petaling Jaya dan Universal Music Malaysia ni memang wajib masuk dalam senarai korang yang nak tutup tahun dengan penuh gaya. Dengan persembahan bertaraf tinggi, hidangan premium serta suasana eksklusif, Budiey yakin acara ini bukan sahaja akan menjadi kenangan terindah, tapi juga permulaan baharu yang penuh semangat dan harapan untuk tahun 2026.