in

Sesi Ujibakat Program LAWAK SOLO DUO TRIO Kini Bermula

Saluran komedi tanah air, Astro Warna, membawakan sebuah program realiti lawak terbaharu, “Lawak Solo Duo Trio” yang akan mula bersiaran di kaca televisyen penonton pada Januari 2018. Selari dengan nama program, “Lawak Solo Duo Trio” ini bermatlamat untuk menjadi platform baru dalam mencungkil, mengasah dan mengangkat bakat komedi peserta solo, duo mahupun trio ke dalam industri seni tanah air.

Lawak Solo Duo Trio

RM 50,000.00 menjadi taruhan dalam pencarian taiko lawak Malaysia

Misi pencarian bakat komedi yang diketuai oleh pelawak solo popular, Douglas Lim selaku juri ini membuka peluang kepada semua warganegara Malaysia, Singapura, Indonesia dan Brunei yang berumur 18 tahun ke atas dan jumlah peserta haruslah tidak melebihi tiga orang dalam satu kumpulan.

Menariknya, peserta ujibakat diberi sepenuh kebebasan untuk membuat persembahan komedi baik daripada segi kandungan mahupun cara penyampaian, untuk tempoh masa sekurang-kurangnya 3 minit. Bagi memudahkan misi pencarian ini, sesi ujibakat dijalankan di dua platform utama iaitu menerusi sesi uji bakat terbuka dan sesi uji bakat secara atas talian.

Bagi sesi ujibakat terbuka, mereka yang berminat dialu-alukan hadir ke Plaza Sentral Shah Alam pada 24 hingga 26 November ini, bermula jam 8.30 pagi bersama-sama salinan kad pengenalan atau passport serta sekeping gambar berukuran passport.

Lawak Solo Duo Trio

Manakala, bagi sesi ujibakat secara atas talian pula, peserta ujibakat perlu memuatnaik video sketsa komedi mereka berdurasi satu minit di laman Instagram beserta tanda pagar #LawakSoloDuoTrio dan @zonlawak. Peserta juga mesti mematikan tetapan privasi akaun Instagram mereka semasa tempoh peraduan supaya pihak Astro Warna boleh melihat penyertaan yang dihantar.

Beberapa buah video sketsa lawak terbaik akan disenarai pendek dan peserta terpilih harus hadir ke sesi ujibakat terbuka di Plaza Sentral Shah Alam untuk dinilai di hadapan juri. Istimewanya, mereka yang terpilih menerusi sesi ujibakat atas talian diberi kelebihan mendapat laluan pantas untuk diujibakat terlebih dahulu berbanding peserta ujibakat yang lain. Peserta boleh memuatnaik video sketsa lawak masing-masing mulai dari 19 November baru-baru ini sehingga 23 November 2017.

Diinspirasikan daripada kejayaan demi kejayaan yang diraih oleh barisan program lawak terbitan Astro Warna sebelum ini seperti “Raja Lawak”, “Maharaja Lawak Mega” dan “Super Spontan”, “Lawak Solo Duo Trio” berhasrat meneruskan kesinambungan kejayaan program-program tersebut yang telah berjaya melahirkan ramai pelawak tanah air yang berkualiti dan disegani seperti Nabil Ahmad, Zizan Razak, Johan ERA, Tauke Jambu, Jihan Muse, kumpulan Bocey, Shiro, Puteh dan ramai lagi, dengan memperkenalkan format pertandingan yang berbeza.

Pastinya, program ini merupakan medan terbaik buat mereka yang berbakat besar dalam menyampaikan persembahan lawak untuk menonjolkan bakat masing-masing seterusnya menjadi pelapis kepada barisan pelawak sedia ada.

Oleh itu, jangan lepaskan peluang ini untuk menyerlahkan bakat lawak terpendam, seterusnya menjadi antara barisan peserta program “Lawak Solo Duo Trio” musim pertama, dan berpeluang membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM 50,000.00. Jumpa anda di Plaza Sentral Shah Alam pada 24 hingga 26 November ini, bermula jam 8.30 pagi.

Lawak Solo Duo Trio

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Berita Fazura & Fattah Amin Bertunang Tular & Trending di Sosial Media

Beli iPhone X Dengan Hanya RM10?