in

Larian 40 Taman 100 Kilometer Mencecah Separuh Sasaran

LARIAN 40 TAMAN, 100 KILOMETER MENCECAH SEPARUH SASARAN

Projek larian komuniti “Larian 40 Taman, 100 Kilometer” telah mencecah separuh sasaran pada 23 Jun, 2012 sebaik sahaja selesainya larian ke 20 yang telah diadakan di Taman Tasik Ampang Hilir, Kuala Lumpur. Dilancarkan pada 14 Januari 2012, projek ini telah mengadakan larian di lapan negeri berbeza termasuk di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Selangor, Johor, Negri Sembilan, Melaka, Perak, Pulau Pinang dan Sabah.

Dicetuskan oleh pelari-tegar dan pengacara rancangan “Malaysia Hari Ini”, M.Zulkifli Abd. Jalil, “Larian 40 Taman, 100 Kilometer” merupakan projek larian komuniti yang bertujuan mempromosikan gaya hidup sihat di kalangan masyarakat di samping menarik minat masyarakat Malaysia di seluruh negara untuk berlari di taman-taman berhampiran bersama teman-teman dan keluarga.

Larian 40 Taman 100 Kilometer Mencecah Separuh Sasaran

“Kami berada di dalam sasaran untuk berlari di 40 taman berbeza sehingga hujung tahun ini,” menurut Zulkifli. “Setakat ini kami telah berlari sekitar 58km untuk 20 larian dan nampaknya kita telah sedikit ke hadapan dalam mencapai sasaran 100km.”

Walaupun begitu, Zulkifli mengakui bahawa respon kepada setiap larian adalah berbeza-beza. “Di sesetengah taman, saya berjaya mengumpulkan sehingga 50 peserta untuk berlari bersama saya seperti di Taman Tasik Titiwangsa, manakala ada juga di tempat-tempat lain yang hanya terdapat empat atau lima orang sahaja yang datang. Namun ini tidak sama sekali mematahkan semangat saya untuk meneruskan misi ini. Saya tahu aktiviti ini memerlukan komitmen para peserta untuk bangun awal pagi di hujung minggu, ” katanya.

Larian ini selalunya diadakan pada hari Sabtu pagi dan tiada pendaftaran awal diperlukan. Sesiapa sahaja yang memiliki kasut berlari yang sesuai beserta keinginan untuk turut serta adalah dijemput untuk berlari bersama Zulkifli dan peserta lain bagi jarak minimum sejauh 2.5km. Jemputan selalunya disebarkan melalui platform media sosial termasuk di twitter dan facebook.

Zulkifli juga telah memperoleh faedah daripada pengalamannya setakat ini. “Projek ini telah membawa saya ke taman-taman yang selama ini saya hanya dengar sahaja, dan dapat peluang berlari di tempat-tempat ini merupakan satu pengalaman yang menarik bagi saya. Sesetengah taman di negara kita ini bertaraf dunia dan adalah menghampakan jika ianya tidak diguna pakai oleh masyarakat sekeliling, ”

Menurut beliau. “Dan ini merupakan salah satu daripada objektif projek ini, untuk mempromosikan gaya hidup sihat dan mengenengahkan fakta bahawa aktiviti kekeluargaan harus dan mampu diadakan di taman-taman awam berbanding hanya di pusat-pusat membeli-belah.”

“Saya juga berasa bangga apabila ada di kalangan peserta yang memberitahu saya bahawa projek ini telah memberi inspirasi kepada mereka untuk mula berlari”.

Projek ini juga dibiayai sendiri oleh Zulkifli dan di kebanyakan lokasi, peserta juga diberi t-shirt percuma sebagai cenderahati. “Kadangkala saya juga mengadakan cabutan bertuah hanya untuk menambah keseronokan. Saya juga gembira melihat projek ini mampu mengeratkan silaturrahim di kalangan pelari di samping menambah kenalan baru di kalangan mereka.”

Walaupun senarai 20 taman seterusnya belum lagi ditentukan, Zulkifli menjemput semua yang berminat untuk melawat blog projeknya di larian40taman.blogspot.com untuk informasi terkini atau untuk mencadangkan lokasi larian. “Sehingga kini, secara keseluruhannya, lebih daripada 300 peserta telah menyertai larian yang diadakan, dan saya ingin melihat lebih ramai warga Malaysia yang akan menyertai 20 larian seterusnya!”

Untuk maklumat lanjut, sila ke www.twitter.com/larian40taman dan “like” www.facebook.com/larian40taman . Zulkifli boleh dihubungi di talian 017-645 2295.

SENARAI TAMAN:

1. Taman Bandaran Kelana Jaya, Selangor
2. Taman Merdeka, Johor Bahru, Johor
3. Taman Rekreasi & Terapi Pantai Purnama, Port Dickson, N.Sembilan
4. Taman Bukit Jalil, Kuala Lumpur
5. Taman KLCC, Kuala Lumpur
6. Taman Subang Ria, Subang Jaya, Selangor
7. Taman Botanikal, Melaka
8. Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur
9. Taman Jaya, Petaling Jaya, Selangor
10. Taman Tasik Shah Alam, Selangor
11. Taman Tasik Permaisuri, Kuala Lumpur
12. Taman Rekreasi Hutan Bandar, Johor Bahru, Johor
13. FRIM, Kuala Lumpur
14. Central Park, Bandar Utama, Selangor
15. Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz, Ipoh, Perak
16. Perdana Park, Kota Kinabalu, Sabah
17. Taman Putra Perdana, Putrajaya
18. Taman Perbandaran, Pulau Pinang
19. Taman Rekreasi Seksyen 7, Shah Alam, Selangor
20. Taman Tasik Ampang Hilir, Kuala Lumpur

m zulkifli

M. Zulkifli

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Buku Diari Heliza Helmi & Pelancaran Fesyen Terbaru Get Gorgeous

Showcase Imran Ajmain Live di Hard Rock Café