in , ,

Lagu Cinta Balada Berjudul ‘Setia’ Dua Versi, Dua Rasa, Satu Jiwa dari Fian Ali

 Lagu Balada Dan Versi Rancak Ini Menjadi Simbol Pengorbanan, Kekuatan, Dan Keikhlasan, Disulami Sentuhan Istimewa Amir Jahari Dan Datuk Ayu Puteh

Fian Ali Kembali Dengan Lagu Balada Penuh Emosi

Penyanyi berbakat besar, Fian Ali, kini muncul kembali dengan single terbarunya, “Setia”, yang bukan calang-calang karya. Lagu ini bukan sahaja menyentuh hati, malah ia memuatkan dua versi berbeza — versi perlahan yang sarat emosi dan versi rancak yang membawa nafas baru. “Setia” adalah ciptaan hebat daripada Amir Jahari, yang pernah memenangi Anugerah Juara Lagu ke-38, manakala liriknya hasil nukilan bersama Datuk Ayu Puteh. Lagu ini semakin mendapat perhatian apabila dipilih sebagai runut bunyi (OST) untuk drama TV3, Bukan Sekadar Lafaz 2.

Tema Pengorbanan Dan Kesetiaan Tanpa Syarat

Setia membawa tema besar — pengorbanan dan kesetiaan tanpa syarat meskipun dilanda badai ujian. Bagi Fian, ini bukan sekadar lagu sedih yang minta ditangisi, tapi lebih kepada mengangkat kekuatan jiwa yang bertahan walaupun terluka. 

Dalam kata Fian sendiri, “Sedih tak semestinya menangis, kan? Lagu ni lebih real,” katanya penuh jujur, menunjukkan sisi matang seorang penyanyi yang tidak mahu sekadar bermain dengan air mata, tetapi menyentuh hati pendengar pada tahap yang lebih dalam.

FIAN ALI

Cabaran Di Sebalik Tabir Rakaman Lagu

Namun perjalanan menghasilkan Setia bukanlah semudah petik jari. Fian terpaksa menangguhkan sesi rakaman pertama kerana masalah kesihatan. Di saat ramai penyanyi obses mengejar kesempurnaan suara, pesanan Amir Jahari jadi titik penting“Amir pesan, suara tak semestinya kena perfect. Kalau dah ada rasa, itu yang penting. Baru sedap dan sampai,” jelas Fian, yang menganggap pengalaman bekerjasama dengan Amir sebagai antara yang paling berharga sepanjang kariernya. “Dia sabar, kreatif, dan banyak beri panduan serta nasihat. Saya banyak belajar daripada dia,” ujar Fian lagi dengan penuh penghargaan.

Inspirasi Dari Yogyakarta: Lagu Tailor-Made Untuk Fian

Bagi Amir Jahari, karya ini bukanlah sekadar lagu biasa. “Saya nampak dia sebagai seorang yang sopan, beradab dan tegas. Lagu ni memang ‘tailor-made’ untuk dia,” kata Amir, mendedahkan rahsia di sebalik tercetusnya idea dua versi lagu ini. Menariknya, Amir mendapat ilham semasa berada di Yogyakarta, Indonesia, lokasi yang mungkin kelihatan asing bagi proses berkarya, tetapi nyata menjadi pencetus magis bagi lagu Setia.

Fian Ali Semakin Menyinar Di Persada Industri Hiburan

Sebagai salah satu bintang muda yang semakin menyerlah, Setia adalah bukti betapa Fian Ali serius dalam membina nama dalam industri muzik tanah air. Lagu ini sudah pun boleh didengari di Spotify, Apple Music dan YouTube Music— jadi memang rugi kalau tak dengar kedua-dua versinya. Dua versi, dua rasa, satu cerita — tentang cinta ikhlas, cinta bertahan, dan cinta setia.

Apa Kata Budiey?

Secara peribadi, Budiey rasa Setia ialah salah satu karya yang bakal menjadi penanda aras baru dalam kerjaya Fian Ali. Versi perlahan membawa pendengar menyelami perasaan, manakala versi rancak memecahkan stereotaip balada sebagai genre mendayu-dayu. 

Jujurnya, ini langkah bijak kerana pasaran muzik hari ini memang lapar kepada variasi. Budiey cadangkan kepada peminat muzik tempatan — jangan sekadar dengar satu versi. Hayati kedua-duanya kerana di situlah terletak geniusnya: dua rasa yang menyatu, dua sisi hati yang berbeza tetapi sama indahnya. Kalau begini trend artis muda kita, industri muzik Malaysia memang ada harapan cerah!

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Peminat Desak Tambah Satu Malam, Konsert genKRU Buka Pentas Hari Ke-4