in , , , ,

Rasukan Filem Seram KUNTILANAK VS SYAITAN

Mungkin ianya berlaku secara kebetulan. Sabtu lepas, aku tonton filem KUNTILANAK, dah esoknya aku dijemput lagi untuk menghadiri satu tayangan media untuk filem terbitan Tayangan Unggul yang juga bergenre seram.

Aku rasa sudah sampai musimnya pawagam akan dihantui dengan filem-filem seram. Masalah utama orang kita, terlalu taksub, terlalu obses, terlalu fanatik dengan kejayaan orang lain. Makna kata, orang lain buat cerita seram, kita pun akan buat cerita seram.

KUNTILANAK VS SYAITAN

Sejauh mana filem kita dapat bersaing dengan filem seram luar negara? Sekarang ini, aku lihat senario di mana kita sebenarnya kebanjiran dengan filem dari luar. Sudahlah filem kita bersaing sesama sendiri… dengan kedatangan filem dari luar aku rasa akan menganggu gugat filem kita.

Tengok sendiri pada 18 Januari ini, KUNTILANAK akan mengilai di pawagam dan seminggu selepas itu, muncul pula SYAITAN yang direjam. Sejauh mana kedua filem ini dapat mengamit bilangan penonton?

Aku belum tonton SYAITAN. Tapi aku rasa nanti di hujung hari, aku akan membuat perbezaan filem mana yang lebih berkualiti. Tapi rasanya SYAITAN kalau diikutkan memang mempunyai tarikannya sendiri.

SYAITAN diarah oleh Bade Hj Azmi dan barisan pelakon memang terbilang juga. Rosyam Nor, Que Haidar dan Lisdawati sebagai tunggak utama.

Apa-apa pun, sebenarnya tidak jadi masalah sebab kedua-dua filem ini dibawakan khas oleh Tayangan Unggul.

Aku rasa Tayangan Unggul mengambil langkah bijak dalam mempromosikan produk mereka dengan menaik taraf penulis blog sebagai media mainstream.

Dengan kemajuan dunia blog yang semakin berkembang di Malaysia, aku kira sudah tiba masanya pihak produksi lain membuka tentang peranan blog sebagai penyalur idea dan komentar yang kritis dan lebih telus.

Kalau nak dibandingkan dengan media cetak, aku rasa mereka tidak berapa berani melontarkan kritikan secara pedas. Ini kerana adanya halangan dari pihak pengurusan yang terpaksa memikirkan baik buruknya.

Aku tidak menuduh penulis blog yang berani mengkritik dengan pedas. Itu hak mereka kerana mereka ada jalan dan gaya tersendiri. Lagi pun, blog di Malaysia masih lagi bebas mengeluarkan apa sahaja buah pendapat.

Berikut adalah ulasan dari mStar Online mengenai filem Syaitan:

SYAITAN TIDAK SEGAH JUDULNYA
Oleh RADIN SRI GHAZALI

GAH sungguh tajuk filem terbaru arahan Bade Hj Azmi! Sudah semestinya ramai akan menganggap bahawa Syaitan merupakan filem seram yang kini menjadi popular culture di kalangan pembikin filem di negara kita.

Namun apakah sebenarnya cerita ‘seram’ di sebalik Syaitan? Syaitan mengisahkan sepasangan suami-isteri Dalila (Lisdawati) dan Muslim (Rosyam Nor) yang berpindah ke kawasan pangsapuri yang belum lagi didiami orang.

Dalam suasana kekosongan, Dalila turut terasa bahang penyeksaan emosi kerana perkahwinannya dengan Muslim bukanlah atas dasar cinta tetapi dipaksa oleh bapanya di kampung. Musibah menimpa Muslim apabila keretanya bertembung dengan lori yang menyebabkannya koma.

Sewaktu berada dalam keadaan koma, Muslim dihantui beberapa kejadian yang pelik. Keadaan tersebut bagaikan memberi petunjuk kepadanya siapakah yang baik dan siapa sebenarnya dalang kepada musibah yang meinpa dirinya.

Setelah sedar daripada komanya, Muslim dibenarkan balik dan berehat tetapi kekacauan menerusi igauannya masih berterusan. Muslim cuba berkongsi bersama-sama isterinya namun Dalila, yang masih berhubungan dengan bekas kekasihnya, Saad (Que Haidar), mengambil sikap sambil lewa.

Muslim kemudiannya diserang di rumahnya oleh seorang lelaki (Kusyairy) tetapi diselamatkan oleh Ana (Liyana Jasmay) yang  merupakan ‘seorang anak istimewa’ kepada penjaga pangsapuri tersebut, Adam (Zul Huzaimy).

Pada suatu petang, Muslim menerima kunjungan daripada seorang wanita (Norkhiriah) yang mendakwa dirinya sebagai isteri kepada lelaki yang cuba membunuhnya.

Wanita tersebut akhirnya memberitahu Muslim dalang kepada kemalangan serta percubaan membunuhnya itu. Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua. Siapakah dalang sebenar di sebalik kejadian-kejadian yang menimpa Muslim? Apa yang ingin dipaparkan oleh Bade adalah kejahatan serta niat dengki semestinya lahir daripada hati manusia yang tertewas kepada hasutan syaitan.

Tidak kira rupa atau bentuk insan itu, jika tidak teguh iman, mereka sudah pastinya akan tewas.

Sebagai contoh, imej warak, berkopiah dan alim seperti yang dipaparkan oleh Saad, rupa-rupanya tewas demi cinta terhadap seorang wanita.

Tetapi apa kelemahan Syaitan? Ternyata teknik story telling yang dilakukan oleh Bade agak mengelirukan mereka yang menonton filem ini.

Mungkin pergolakan emosi yang dialami oleh watak Dalila yang marah kerana dikahwin paksa kurang diolah sehingga penonton gagal memahami perasaan Dalila.

Jalan cerita filem ini bagaikan bertaburan di merata-rata tempat sehingga mengelirukan penonton. Walaupun kesemua jawapan kepada teka-teki Bade terjawab pada penghujung filem, namun tumpuan penonton sudah celaru.

Mempaparkan nama-nama yang gah dalam pesada perfileman negara seperti Rosyam Nor, Ellie Suriati, Que Haidar, Azri Iskandar, Zul Huzaimi, Norkhiriah, Liyana Jasmay, Lisdawati dan Kusyairy, mereka yang sudah banyak pengalaman gagal menunjukkan kualiti lakonan yang memberangsangkan.

Lakonan Rosyam hanya dianggap biasa-biasa sahaja.

Tiada apa-apa yang outstanding jika hendak dibandingkan dengan filem-filemnya yang lain seperti Castello mahupun Bilut. Adakalanya, penulis macam tidak percaya adakah Rosyam yang sedang berlakon?

Lisdawati pula bagaikan tidak bermaya dan statik ketika melakonkan watak sebagai antagonis filem tersebut.

Malah, watak yang dilakonkan Ellie Suriati yang muncul pada lima minit terakhir filem tersebut terasa sia-sia sahaja.

Pada keseluruhannya, filem yang sepatutnya bergenre thriller ini terlalu mudah dan tidak mencapai “expectation” yang dilahirkan melalui jodolnya.

Namun pelakon-pelakon yang baru sahaja mengukir nama mereka menerusi persada lakonan seperti Zul Huzaimi dan Liyana Jasmay berjaya menyinar menerusi filem Syaitan.

Zul yang memegang watak penjaga pangsapuri yang bernama Adam berjaya memaparkan sikap bengis serta aggresif dan dia turut berjaya memangkinkan perasaan benci di kalangan penonton.

Manakala Liyana yang memegang Ana pula berjaya melakonkan watak yang jarang sekali mahu dipegang oleh pelakon yang seusia dengannya iaitu watak remaja yang cacat.

Terharu melihat wataknya dibelasah dengan rotan dan dimaki hamun oleh bapanya sendiri.

Pada keseluruhannya, filem yang sepatutnya bergenre thriller ini terlalu mudah dan tidak mencapai “expectation” yang dilahirkan melalui judulnya.

What do you think?

73 points
Upvote Downvote

Written by Budiey (Admin)

Penggemar filem seram yang sentiasa mengemaskini pengetahuan tentang gajet & teknologi masa kini dan masih tegar menjadi penulis portal hiburan & gaya hidup sepenuh masa sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber yang aktif menemubual selebriti dan menerbitkan video Buletin Viral di Budiey Channel.

Apa Itu Filem Syaitan?

Ulasan Filem SYAITAN Arahan Bade Hj Azmi