in ,

Kumpulan Multimedia Kembangkan Karya Aidilfitri Baharu Untuk Hiburan

Sambutan Hari Raya Semakin Bermakna Dengan Legasi Filem, Konsert Percuma Dan Projek Supernatural Terbaru Daripada Multimedia Entertainment

Dalam suasana lebaran yang sarat dengan rasa syukur dan kegembiraan, Kumpulan Multimedia menghidangkan satu lagi anjakan dalam industri hiburan tempatan dengan mengumumkan pelbagai projek menarik yang bakal menyinari dunia seni kita. Majlis Hari Raya Multimedia 2025 yang diadakan baru-baru ini bukan sahaja meraikan Aidilfitri, malah memperkenalkan karya-karya segar yang diharap dapat terus menyemarakkan sokongan terhadap industri kreatif tanah air.

Berlandaskan semangat “Sokong Karya Tempatan”, Kumpulan Multimedia tampil penuh yakin mempersembahkan hasil kerja keras artis, produksi dan penggiat industri hiburan Malaysia yang semakin mendapat tempat di hati rakyat. Dengan pelbagai pengumuman menarik, tidak syak lagi, Multimedia Entertainment mahu Aidilfitri kali ini disambut dengan penuh warna-warni seni.

Legasi Bomba The Movie: Aksi Mendebarkan Sarat Nilai Kepahlawanan

Salah satu nadi utama pengumuman pada majlis ini adalah filem aksi terbaru berjudul Legasi Bomba The Movie. Mengangkat semangat kepahlawanan sebenar para anggota bomba negara, filem ini dijanjikan bukan sekadar memaparkan aksi mendebarkan, malah menyentuh hati dengan nilai kemanusiaan yang tulen.

Filem ini akan mula menemui penonton di seluruh pawagam Malaysia bermula 28 Ogos 2025. Dari apa yang dikongsikan, penonton bakal dihidangkan dengan jalan cerita yang penuh emosi, ketegangan misi penyelamatan, serta visual yang cukup intens hingga mampu membuatkan penonton tidak senang duduk di kerusi mereka.

Kumpulan Multimedia optimis bahawa karya ini bakal mencipta impak besar, bukan hanya dari sudut komersial, tetapi lebih penting, sebagai penghormatan kepada para wira tanpa tanda jasa kita yang mempertaruhkan nyawa demi keselamatan orang lain. Satu naskhah yang dinanti-nantikan, khusus buat mereka yang menggemari filem tempatan yang berjiwa besar.

Melodi Kita Tawar Konsert Busking Percuma Di Puncak Genting

Kalau rasa hidup kau sekarang tengah flat dan perlukan suntikan hiburan, Melodi Kita ada jawapannya. Rancangan popular ini bakal menutup tirai musimnya dengan sebuah konsert busking PERCUMA yang pastinya akan menggamatkan udara sejuk Genting Highlands.

Acara eksklusif ini akan berlangsung pada 26 April 2025 bertempat di Resorts World Awana, dan dijanjikan menampilkan barisan bintang terbaik dari program Melodi Kita. Apa yang paling best, masuk adalah PERCUMA— kau cuma perlu bawa diri, semangat, dan mungkin sweater sebab kat atas Genting tu memang sejuk menggigit tulang.

Konsert ini bukan sekadar persembahan muzik semata-mata. Ia adalah simbolik kepada kejayaan Melodi Kita sebagai platform untuk mengetengahkan bakat-bakat baru yang kini mula mengorak langkah dalam dunia hiburan Malaysia. Memang rugi kalau kau lepaskan peluang ni.

Dua Filem Supernatural: Amok Bujang Raja Dan Naga Tasik Chini Siap Sedia Berhantu

Bagi korang yang suka kisah mistik, seram dan penuh elemen legenda rakyat, berita ini memang macam durian runtuhMultimedia Entertainment mengumumkan dua projek filem supernatural yang bakal memulakan produksi pada suku ketiga tahun ini (Q3 2025).

Dua judul yang diperkenalkan adalah Amok Bujang Raja dan Naga Tasik Chini. Kedua-dua projek ini akan meneroka mitos dan kepercayaan tempatan yang penuh misteri, tetapi dalam bentuk penceritaan moden yang lebih rawdan dekat dengan jiwa penonton sekarang.

Walaupun butiran penuh tentang pelakon, pengarah dan sinopsis masih dirahsiakan buat masa ini, Kumpulan Multimedia memberi bayangan bahawa kedua-dua filem ini akan menjadi satu lagi langkah berani untuk meremajakan genre seram tempatan. Satu percubaan berani yang patut dipuji kerana mengangkat cerita rakyat kita ke layar besar dengan sentuhan produksi kontemporari.

Majlis Aidilfitri Penuh Mesra Dan Semangat Industri Kreatif

Majlis Hari Raya Multimedia 2025 bukan sekadar sesi pengumuman biasa. Ia menjadi medan pertemuan mesra antara selebriti, media dan peminat, dalam suasana penuh nostalgia Aidilfitri — bersalam-salaman, berbual santai, bertukar-tukar idea tentang hala tuju seni dan hiburan Malaysia.

Kumpulan Multimedia dalam kenyataannya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas sokongan padu semua pihak, termasuk peminat setia, rakan media dan semua yang terlibat dalam membina ekosistem hiburan tempatan. Mereka menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk terus menyokong karya-karya kreatif tempatan supaya industri ini terus hidup, berkembang dan bersaing di peringkat global.

Kami yakin dengan bakat anak tempatan, dan kami percaya industri ini akan terus mara ke hadapan dengan sokongan semua rakyat Malaysia,” ujar wakil Kumpulan Multimedia dengan penuh semangat.

Apa Kata Budiey?

Melihat kepada deretan projek baru yang diumumkan oleh Kumpulan Multimedia, Budiey rasa ini adalah satu sinyal positif bahawa industri hiburan Malaysia masih penuh dengan nadi dan nafas segar. Dengan gabungan antara filem aksi patriotik, konsert percuma yang meraikan bakat muda, dan filem seram berasaskan legenda rakyat, ia membuktikan bahawa kreativiti tempatan tidak pernah kering — cuma menunggu masa untuk mekar.

Cuma Budiey nak tambah satu perkara: sokongan rakyat Malaysia sendiri amat penting. Jangan kita sibuk memuja karya luar negara kalau dalam negara sendiri pun ada harta seni yang hebat. Beli tiket, tonton filem tempatan, hadir konsert, kongsi berita baik — itu semua antara cara kita boleh bantu industri ini bertahan dan berkembang.

Dan kalau Multimedia Entertainment betul-betul all-out dengan produksi filem supernatural ni, Budiey harap mereka berani keluar dari klise lama filem seram Malaysia yang terlalu bergantung pada solekan hantu murahan dan “jump scare” basi. Berikan kami cerita dengan jiwa! Dengan roh! Dengan rasa!

Kalau nak terus jadi penonton yang bijak, Budiey sarankan — mari kita sama-sama tunggu dan nilai karya-karya ini bila ia keluar nanti. Semoga satu hari nanti, karya anak tempatan akan jadi kebanggaan dunia. Amin!

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Rasai Pengalaman K-Pop Luar Biasa Di Konsert Ye!loO 2025 Kuala Lumpur