in , ,

KRU Terima Dua Pengiktirafan Hebat Malaysia Book of Records

GenKRU 2025 Bukti Cinta Peminat Dan Kekuatan Legasi Muzik KRU

Kumpulan KRU sekali lagi melakar sejarah apabila menerima dua pengiktirafan berprestij daripada Malaysia Book of Records (MBR) hasil daripada kejayaan penganjuran Konsert GenKRU 2025 yang berlangsung selama empat malam berturut-turut di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil. Pencapaian ini bukan sahaja membuktikan ketulenan legasi muzik mereka selama tiga dekad, tetapi juga memperlihatkan betapa utuhnya sokongan peminat terhadap trio adik-beradik ini.

Konsert GenKRU 2025 yang berlangsung pada 3, 4, 10 dan 11 Mei 2025 dianugerahkan “Most Show in A Single Concerts Series” oleh MBR – satu pengiktirafan untuk jumlah malam persembahan terbanyak dalam satu siri konsert oleh artis tempatan. Menurut Datuk Norman Abdul Halim yang mewakili KRU, kejayaan ini sebenarnya adalah apresiasi kepada peminat.

“Pencapaian ini bukan untuk KRU semata-mata, tetapi untuk semua peminat yang menjadikan konsert ini daripada satu malam sahaja kepada empat malam. Terima kasih atas sokongan selama lebih 30 tahun kami dalam industri ini,” jelasnya penuh emosi.

KONSERT GENKRU DAY 4

Tiket Habis Dalam Masa Satu Jam, Icon Entertainment Juga Diiktiraf

Bukan sahaja KRU yang diraikan, malah pihak penganjur ICON Entertainment (M) Sdn Bhd juga mencipta kejayaan tersendiri apabila turut menerima pengiktirafan “Most Concert Tickets Sold Out In An Hour” daripada MBR. Dalam tempoh hanya satu jam, sebanyak 8,000 tiket habis terjual – satu angka yang membuktikan betapa kuatnya daya tarikan KRU terhadap peminat mereka.

Pengasas Icon Entertainment, Iman Tang meluahkan rasa syukur dan terharu:

“Kami sangat bersyukur atas pengiktirafan ini. Ia bukan sekadar pencapaian untuk kami, tetapi untuk seluruh peminat KRU yang menjadikan konsert ini benar-benar luar biasa. Ini bukti bahawa produk hiburan tempatan mampu mencetus fenomena.”

Beliau turut mengucapkan penghargaan kepada Kementerian Komunikasi yang sentiasa memberikan sokongan terhadap pembangunan seni dan hiburan negara. Hadir menyempurnakan majlis penyerahan sijil MBR ialah En. Nik Kamaruzaman Nik HusinTimbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) yang mewakili YB Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

KONSERT GENKRU DAY 4

Gabungan Nostalgia, Persembahan Epik Dan Kemunculan Istimewa

Lebih daripada 30,000 penonton telah membanjiri Stadium Axiata Arena sepanjang empat malam konsert ini. Bukan sekadar menyaksikan KRU kembali menggegarkan pentas, penonton turut dihiburkan dengan kemunculan istimewaartis-artis popular era 90-an seperti FemininElite, dan Adam AF.

Setiap persembahan disusun rapi, dengan elemen visual dan bunyi yang menyentuh nostalgia. Ia bukan sekadar konsert, tetapi perjalanan penuh emosi menyelusuri kenangan zaman kegemilangan muzik pop dan hip hop Malaysia yang pernah diterajui oleh KRU.

Apa Kata Budiey?

Budiey lihat kejayaan GenKRU 2025 ini sebagai satu manifestasi cinta dan kesetiaan peminat terhadap muzik tempatan yang ikonik. Dua pengiktirafan MBR ini bukan hanya milik KRU atau penganjur, tapi milik semua yang menjadikan muzik sebagai jambatan memori dan kebersamaan.

Bagi Budiey, kejayaan sebegini perlu diteruskan dengan lebih banyak penganjuran konsert skala besar untuk artis tempatan. Ia bukan sahaja membuktikan potensi pasaran, malah mengangkat kembali martabat industri muzik Malaysia. Tahniah KRU, tahniah Icon Entertainment – anda semua telah cipta sejarah yang patut kita banggakan bersama!

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Lenovo Tab One Tampil Jadi Tablet Bajet Mampu Milik Berharga RM549