in , ,

Konsert Maher Zain Bakal Diadakan di Kuala Lumpur, Singapura & Kota Kinabalu

Maher Zain Hadir Semula Ke Pentas Malaysia Selepas Enam Tahun, Bawakan Lagu Ikonik Dan Karya Terbaharu Di Kuala Lumpur, Singapura Dan Kota Kinabalu

Bila sebut nama Maher Zain, terus terbayang melodi yang mendamaikan, lirik yang menyentuh kalbu, dan aura spiritual yang tak lapuk dek zaman. Kini, selepas enam tahun menanti, bintang muzik rohaniah kelahiran Sweden-Lubnan ini bakal kembali menggegarkan pentas Asia Tenggara dengan Konsert Jelajah Asia Tenggara 2025, sebuah siri persembahan yang bukan sekadar hiburan – tapi juga pengalaman penuh makna dan nilai.

Berita ini bukan khabar angin, tapi sah dan rasmi diumumkan sendiri oleh Maher melalui saluran media sosialnya, dan disahkan dalam satu sidang media eksklusif bersama pihak penganjur, Yayasan Tengku Abdullah (YTA). Budiey sendiri turut mengikuti sidang media ini dan dapat rasakan betapa kuatnya getaran semangat yang dibawa oleh team produksi konsert ini. Lebih mengujakan, jelajah kali ini akan singgah di tiga destinasi utamaKuala Lumpur, Singapura dan Kota Kinabalu, memastikan tiada peminat yang tertinggal, tak kira dari pantai barat, pantai timur, atau Sabah dan Sarawak.

KONSERT MAHER ZAIN

Malaysia, Di Sini Segalanya Bermula

Dalam sesi Zoom bersama media tempatan, Maher Zain yang kini berada di Turki, menyuarakan rasa cinta dan terima kasihnya kepada Malaysia. Katanya:

“Malaysia merupakan bab yang sangat penting dalam kerjaya saya — mungkin lebih signifikan berbanding mana-mana negara lain di dunia.”

Dan Budiey sangat setuju dengan kenyataan ini. Kalau kita imbas kembali, Maher Zain memang meletup di Malaysia – lagu-lagunya bukan sekadar diputarkan di radio, malah menjadi pilihan utama di majlis perkahwinan, kenduri doa selamat, sambutan hari raya dan juga penenang jiwa ketika waktu-waktu sukar. Itulah kekuatan Maher – mampu menyentuh perasaan ramai tanpa mengira umur, bangsa atau agama.

Jelajah terakhirnya di Malaysia pada 2019 mencatat rekod sold out dalam masa hanya beberapa hari – satu pencapaian yang bukan calang-calang. Tapi tahun 2024, Malaysia tak masuk dalam senarai jelajah global beliau – dan waktu tu, ramai peminat patah hati. Tapi sekarang, segalanya kembali – dan lebih besar, lebih gah, dan lebih bermakna!

KONSERT MAHER ZAIN

Lagu-Lagu Evergreen Dan Karya Terbaharu Menanti Anda

Maher Zain bukan sekadar datang nak nyanyi satu dua lagu. Konsert ini bakal jadi persembahan all-out, di mana penonton akan disajikan dengan lagu-lagu evergreen seperti “Insha Allah”, “Baraka Allahu Lakuma”, “Thank You Allah”, dan banyak lagi. Lagu-lagu ini bukan sahaja punya nilai nostalgia, tapi juga membawa mesej harapan, keimanan dan kasih sayang sejagat.

Bukan itu sahaja, Maher juga akan membawakan lagu-lagu terbaru yang lebih matang dan lebih spiritual, seperti “Qalbi Fil Madinah” dan “Rahmatun Lil’Alameen” – lagu-lagu yang cukup kuat dari segi lirik dan susunan muziknya, menandakan fasa baharu dalam kerjayanya yang semakin kukuh.

KONSERT MAHER ZAIN

Misi Muzik: Lebih Daripada Sekadar Persembahan

Apa yang menjadikan konsert ini luar biasa bukan sekadar susunan lagu atau suara merdunya, tetapi misi yang dibawa. Maher Zain hadir bukan sekadar untuk menyanyi – beliau membawa satu visi besar: menyatukan komuniti dengan muzik yang membawa mesej kasih sayang, harapan dan kekuatan spiritual.

Menurut Dr. Mohd Afiq Farhan Md Hanif, wakil Barisan Pengurusan Kanan Yayasan Tengku Abdullah:

“Konsert ini bukan sahaja tentang hiburan, tetapi juga untuk menyebarkan mesej kasih sayang, kecekalan dan harapan yang melangkaui pentas.”

Dr. Mohd Afiq Farhan Md Hanif

Budiey rasa ini sangat penting. Dalam dunia yang penuh kekacauan, kita perlukan muzik yang bukan saja sedap didengar tapi juga menyentuh hati. Dan Maher Zain berjaya mengisi ruang itu dengan penuh bergaya.

Lokasi Strategik, Akses Untuk Semua

Tiga lokasi konsert yang dipilih adalah sangat strategik – Kuala Lumpur, Singapura dan Kota Kinabalu. Kuala Lumpur sebagai pusat utama, Kota Kinabalu mewakili peminat Malaysia Timur, dan Singapura yang sentiasa menjadi antara penyokong kuat Maher sejak awal lagi.

KONSERT MAHER ZAIN

Info Tiket: Jangan Tunggu Saat Akhir!

Tarikh & Lokasi Konsert
• 16 Ogos 2025 – Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur
• 21 Ogos 2025 – The Star Theatre, Singapura
• 23 Ogos 2025 – Dewan Canselor, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kota Kinabalu

Jualan Tiket
• Pra-Daftar: 12 Jun 2025, 12:00 tengah hari hingga 11:59 malam
• Jualan Umum: 13 Jun 2025, bermula 12:00 tengah hari

Harga Tiket
• Kuala Lumpur & Kota Kinabalu: Bermula dari RM158
• Singapura: Bermula dari SGD78

Jangan ambil ringan. Kalau ikut sejarah, tiket Maher memang laju gila sold out. Jangan jadi golongan yang hanya tengok video recap di TikTok dan IG Story orang lain.

Kerjasama Hebat Antara Nama-Nama Gergasi

Konsert ini juga disokong oleh barisan rakan strategik yang mantap – antaranya ERA FM, SINAR, ZAYAN, SYOK, Seismik, World of Buzz dan Lobak Merah. Ia dianjurkan oleh Hitman Solutions dan Happymoon dengan kerjasama label Maher sendiri, Awakening Music.

KONSERT MAHER ZAIN

Maher Zain Janji Persembahan Yang Tak Akan Dilupakan

“Kepada para peminat yang telah menunggu selama enam tahun — kami kembali untuk anda. Mari jadikan jelajah ini satu kenangan yang tidak akan dilupakan,” kata Maher dengan penuh semangat.

Budiey percaya konsert ini akan jadi lebih daripada sekadar malam penuh muzik – ia akan jadi malam penuh emosi, satu pengalaman kolektif yang akan terpahat dalam ingatan.

Apa Kata Budiey?

Sebagai seorang yang dah lama dalam dunia hiburan dan konsert, Budiey boleh katakan ini antara acara paling penting tahun ini. Dalam dunia muzik yang semakin cetek mesejnya, kehadiran Maher Zain umpama oase dalam padang pasir. Ia menyuburkan hati yang gersang, menyatukan jiwa yang hilang arah, dan memberi inspirasi kepada mereka yang dah lama terputus harapan.

Budiey akan ada di sana — dan Budiey harap korang semua pun akan turut hadir. Bukan sekadar tengok artis, tapi hadir untuk satu malam yang mengubah perspektif. Kalau anda pernah lalui fasa hidup di mana lagu-lagu Maher jadi peneman, maka inilah masa untuk ucapkan terima kasih secara live. Jangan lepaskan peluang. Sampai jumpa Ogos ini!

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Konsert Hype Republic Bakal Gegarkan Stadium Bukit Jalil Disember Ini