in

Konsert Loudspeaker

KONSERT LOUDSPEAKER HARI INI

Buat julung kalinya, syarikat yang cukup sinonim dengan industri permotoran berkuasa tinggi, penerbitan dan juga pengurusan acara, Red Garage Group Sdn Bhd bakal menganjurkan konsert ‘bayi’ sulung mereka berskala besar dipanggil Konsert Loudspeaker pada hari ini, 25 Disember 2012 di Stadium Merdeka.

Syarikat yang diusahakan Muhd Idi Iskandar b Abu Zahar bersama adiknya yang juga pelakon popular, Dira Abu Zahar ini mempertaruhkan dan bakal digegarkan dengan empat ikon muzik berpaksikan rock di negara kita iaitu kumpulan otai Wings, XPDC, Faizal Tahir dan Azlan & The Typewriter.

Dengan pengaruh, kuasa dan legasi seni yang diperjuangkan empat entiti seni itu, konsert sekitar tiga jam ini dijangka mampu memanaskan lagi momentum 2011 yang bakal berlabuh tidak lama lagi. Konsert tiket dijual pada harga yang mampu dimiliki iaitu RM77 dan RM222 bagi VVIP.

konser-loudspeaker

Jika sebelum ini syarikat yang turut memiliki kedai menjual motosikal berkuasa tinggi, Red Garage Malaysia (beroperasi berdekatan premis KLCC) dan mempunyai majalah permotoran, My Chopperz Magazine ini sering bekerjasama sebagai penaja bersama untuk sesebuah acara termasuk karnival, lalu, konsert ini dilihat bakal menjadi percaturan dan penanda aras baru buatnya.

Menurut Dira, 27, yang baru saja bergelar isteri kepada pengarah fotografi, Mohd Helmi Mohd Yusof pada 11 November lalu, konsert ini disifatkan sebagai satu batu loncatan buat Red Garage untuk terus mengukuhkan kredibilitinya dalam paksi pengurusan acara sekali gus menjadikan hiburan sebagai tarikan utama.

“Kalau dalam fesyen sekalipun hiburan itu sering menghargai di antara satu sama lain. Jadi kita boleh mewujudkan mekanisme baru pula dengan meletakkan dunia permotoran dan hiburan berjalan seiring. Malah tidak dapat dinafikan hiburan begitu dekat dengan manusia dan masyarakat kita khususnya.

“Meletakkan empat figura ini iaitu Wings, XPDC, Faizal Tahir dan Azlan & The Typewriter sendiri boleh dianggap sebagai umpan terbaik untuk menarik peminat masing-masing datang ke konsert ini. Tambah pula kita mengenakan harga yang boleh dianggap berpatutan,” katanya yang memikul tanggung jawab sebagai Pengarah Pengiklanan dan Promosi, Red Garage Group Sdn Bhd.

Serentak dengan mengalu-alukan kedatangan konsert Loudspeaker di negara kita, turut akan diadakan Kuala Lumpur Bike Week (KLBW) 2011 pada 23 dan 24 Disember iaitu dua hari sebelum berlangsungnya konsert kemuncak yang dinanti-nantikan ramai itu.

KLBW 2011 mengambil lokasi di The Lanai, Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC), Jalan Ampang, Kuala Lumpur. KLBW menjadi kesinambungan tahun sebelumnya yang dimulakan sejak 2008. Seperti tahun terdahulu, acara yang turut mendapat sokongan Kementerian Pelancongan Malaysia ini mencipta kejayaannya yang tersendiri.

“Alhamdulillah saban tahun jumlah penyertaan dari penunggang motosikal dan kehadiran orang ramai untuk menyaksikan acara ini sangat menggalakkan. Bayangkan sejak 2008, kita meraih jumlah seramai 8,000 orang dan meningkat tahun lalu seramai 25,000 orang.

“Sesuatu yang cukup membanggakan juga, acara ini juga mendapat sokongan tidak berbelah bagi daripada rakan media, penaja dan stesen TV. Kami amat berterima kasih dan harapnya hal yang sama akan terjalin kali ini. KLBW dalam erti kata lain juga menjadi ruang untuk mempromosikan dunia permotoran dan sektor pelancongan dalam skala yang lebih meluas,” kata Muhd Idi Iskandar b. Abu Zahar selaku Pengarah Acara Red Garage Group Sdn Bhd.

Tambah Idi lagi, KLBW secara khususnya memberi sasaran kepada semua penunggang dan peminat motosikal berkuasa tinggi dari serata dunia dengan menyaksikan Malaysia mewakili rantau Asia Tenggara mengambil inisiatif meneruskan kelangsungan acara ini.

“Untuk kali ini kami begitu positif meletakkan sasaran seramai 150,000 orang untuk sama-sama menyaksikan KLBW 2011. Untuk acara selama dua hari ini kita akan buka gerai jualan peniaga Industri Kecil dan Sederhana (IKS), gerai pameran, pameran seni lukis dan grafiti,pameran motor unik dan persembahan pentas,” kata Idi lagi.

Red Garage Group Sdn Bhd yang beroperasi sejak empat tahun lalu pernah menjayakan kerjasama untuk konsert Double Trouble tahun lalu yang menyaksikan kolaborasi dua otai rock negara, Wings dan Search selain konsert Wings Opera Hidup tahun ini. Syarikat ini beroperasi secara rasmi di alamat Block K-02-09, Solaris Mont Kiara, Kuala Lumpur. Layari laman sesawang, www.facebook.com/redgaragemalaysia untuk maklumat lanjut.

Urusan pembelian tiket boleh dilakukan dengan melayari www.tickethotline.com.my atau di talian, 03 7725 1177.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Anugerah Lagu Terbaik AIM 18 Ditarik Balik

Trip Media SimplySiti Bersama Siti Nurhaliza – Hari Kedua