in

Konsert Kedua Vokal Bukan Sekadar Rupa

PERMULAAN YANG MEMBERANGSANGKAN!
Konsert Kedua Pula Jadi Taruhan 5 Finalis Seterusnya

Apakah satu persamaan ketara yang dikongsi oleh penghibur popular seperti Adibah Noor, Black, Salma dan Ayu? Jawabnya tentulah bakat suara masing-masing yang telah berjaya meletakkan nama mereka setanding dengan penyanyi hebat yang lain! Selepas berjaya mencatat kadar tontonan yang memberangsangkan sebanyak 2.5 juta pada minggu lalu, program nyanyian realiti terbaru TV3, VOKAL Bukan Sekadar Rupa, kini rancak mengorak langkah dengan konsert mingguan kedua dengan penampilan 5 daripada 10 orang finalis yang telah berjaya melayakkan diri ke gelanggang seni VOKAL musim ini.

Hattan bersama Juri Tetap Erra Fazira & Azmeer

Program realiti yang menyediakan platform bagi mereka yang mempunyai bakat seni nyanyian tetapi tidak mempunyai pakej artis komersil ini bersiaran secara langsung dari Studio Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam pada setiap hari Ahad jam 9.00malam hingga 10.00malam mulai 16 Oktober 2011. Selepas hampir sepuluh minggu bersiaran, pertandingan akhir VOKAL dijadualkan bakal berlangsung pada 25 Disember di mana hanya seorang finalis yang paling layak sahaja akan dinobatkan sebagai juara VOKAL yang julung kalinya diadakan di Malaysia.

Misi pencarian vokal terbaik dimulakan dengan sesi ujibakat yang telah berlangsung di Theatrette, Sri Pentas pada 25 & 26 September dan 1 & 2 Oktober (Sabtu dan Ahad) lalu. Daripada hampir 1,600 calon yang telah hadir ke sesi ujibakat VOKAL, hanya 26 perserta telah disenarai pendek dan layak ke saringan seterusnya yang telah diadakan secara tertutup pada 3 Oktober (Isnin). Sesi yang diadili oleh Ajai (Faizal Maas), Lok-U (Faizal Uzir) ditemani oleh Muhamad Sufian Che Isa selaku Penerbit Eksekutif dan Ahmad Shaifullizam Arshad (Gbam) telah mengenal pasti 10 finalis bertuah yang kini bakal berentap di pentas VOKAL.

Kesemua finalis telah dibahagikan kepada dua kumpulan; kumpulan pertama terdiri daripada, Asmidar, Epit, Bobby, Mafa dan Azmarul manakala Fakhrul, Irsa, Aswad, Boy dan Adeq di dalam kumpulan kedua. Minggu lalu, tuah tidak menyebelahi Epit apabila beliau menjadi peserta pertama yang tersingkir dari program realiti ini. Saksikan bagaimana pula nasib 5 finalis seterusnya yang akan beraksi untuk membuktikan keupayaan vokal masing-masing kepada juri tetap dan juga penkritik tegar program iaitu Azmeer dan Erra Fazira apabila kesemua mereka terpaksa menyanyi di sebalik skrin! Finalis yang kurang menyerlah dan gagal menambat hati Azmeer dan Erra Fazira daripada kedua-dua kumpulan akan disingkirkan dan buat pertama kalinya pada penghujung episod malam ini, para peminat muzik tanahair akan diperkenalkan kepada barisan finalis yang telah berjaya ke konsert mingguan ketiga.

Bermula dengan finalis yang masih terselamat, proses penyingkiran seorang peserta dengan markah terendah akan dijalankan bermula di konsert mingguan ketiga dan seterusnya sehingga hanya tinggal 2 finalis yang berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir pada minggu kesepuluh untuk membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM 80,000!

Format permarkahan VOKAL dibahagikan kepada 2 bahagian iaitu 50% daripada juri tetap dan 50% melalui undian SMS bermula minggu ketiga. Juara VOKAL akan memenangi hadiah wang tunai sebanyak RM 50,000 dan naib juara akan memenangi RM 30,000.

Menariknya, konsert mingguan kedua ini turut diserikan dengan kehadiran Hattan yang akan menyertai Azmeer dan Erra bertindak sebagai juri ketiga. Konsert mingguan malam ini dimulakan dengan persembahan daripada Boy dengan lagu keramat dari Kris Dayanti “Mencintaimu” manakala Irsa tampil dengan lagu kegemaran ramai “Menghitung Hari” (Kris Dayanti).

Seterusnya, giliran Adeq pula beraksi dengan lagu “Samar Bayangan” yang dipopularkan oleh Nicky Astria. Fakhrul kemudian menyusul mendendangkan lagu “I Feel Good (I Got You)” daripada legenda ‘funk & blues’ James Brown. Sebelum mengakhiri persembahan malam ini, finalis terakhir Aswad juga telah memilih lagu “Sungai Lui” nyanyian asal daripada Aizat sebagai taruhan nasibnya. Tanpa melihat wajah dan hanya berpandukan kepada suara nyanyian, finalis manakah yang bakal dihantar pulang kerana gagal menambat hati Azmeer dan Erra? Bagaimana pula nasib finalis yang hanya mendapat satu persetujuan daripada 2 orang juri tetap Vokal? Mampukah Hattan pula menyelamatkan keadaan?

Produksi VOKAL musim pertama terdiri daripada Muhamad Sufian Che Isa selaku Penerbit Eksekutif sementara Ahmad Shaifullizam Arshad (Gbam) bertindak sebagai Penerbit. VOKAL menampilkan Faizal Ismail (FBI) sebagai pengacara konsert VOKAL dan “Rutin VOKAL”.

Menurut Sufian, kewujudan program sebegini sememangnya tepat dengan masa dan keadaan kerana ia merupakan satu platform yang efektif bagi mereka yang berbakat di dalam bidang nyanyian namun tidak mempunyai kelebihan dari segi rupa dan ketrampilan diri. “TV3 sentiasa berusaha tampil dengan idea baru untuk tontonan semua. VOKAL muncul sebagai program realiti hiburan yang mempunyai identiti tersendiri di mana kualiti vokal peserta didahulukan daripada paras rupa. Kami ingin membuktikan bahawa VOKAL mampu mengubah persepsi stereotype masyarakat berdasarkan kemajuan dan pencapaian yang ditunjukkan oleh para finalis selepas menjalani latihan intensif dan pendedahan yang diterima daripada tenaga pengajar dan juri tetap selama 10 minggu.”

Para finalis juga akan dilengkapkan dengan latihan, bimbingan dan motivasi daripada tenaga pengajar sebagai persediaan awal untuk mengecapi kejayaan di dunia hiburan. Antara barisan penasihat yang turut menjayakan program VOKAL termasuk Faizal Uzir sebagai Pengarah Muzik dan Penasihat Vokal, Adzwa sebagai Penasihat Persembahan, Prof. Madya Haji Md. Izzuddin (Prof. Izzi) selaku pakar motivasi dan Simran Latif dari Original Bootcamp sebagai jurulatih kecergasan dan kesihatan. Kesemua finalis pula akan ditempatkan di Intekma Resort Shah Alam selaku penginapan rasmi sepanjang program VOKAL musim pertama ini.

Ikuti konsert mingguan VOKAL yang disiarkan secara langsung dari Studio Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam pada setiap hari Ahad jam 9.00malam hingga 10.00malam. Selain itu, program ”Rutin VOKAL” yang memaparkan sorotan persediaan serta tugasan yang perlu dijalankan oleh para peserta pula akan disiarkan pada setiap hari Ahad jam 5.00petang. Maklumat terkini serta aktiviti peserta boleh didapati melalui microsite VOKAL di www.tv3.com.my/vokal dan anda juga boleh menonton program ini secara online dengan melayari www.tonton.com.my. Ikuti program-program kegemaran anda menerusi telefon pintar anda dengan mendaftar masuk ke m.tonton.com.my.

Boy, Irsa & Fakhrul akan bertanding dalam VOKAL... Bukan Sekadar Rupa

Boy, Irsa & Fakhrul berjaya ke peringkat seterusnya

Aswad & Adeq tersingkir

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Ketibaan Whitesnake di Malaysia

Konsert Gemilang 50 Orkestra RTM