in ,

Konsert Jamal Abdillah di Dewan Filharmonik PETRONAS

Sebuah sejarah bakal tercipta dalam industri seni tanahair apabila Orkestra Filharmonik Malaysia (Malaysian Philharmonic Orchestra – MPO) bakal berkolaborasi dengan penyanyi tersohor Dato’ Jamal Abdillah dalam konsert ekstravaganza yang dijadualkan pada hari Sabtu, 28 Mac 2015 jam 8.30 malam dan Ahad, 29 Mac 2015 jam 3.00 petang di Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP), KLCC.

KOLABORASI TERULUNG ‘RAJA POP MELAYU’ JAMAL ABDILLAH BERSAMA ORKESTRA FILHARMONIK MALAYSIA

Konsert ini akan terus menyaksikan keunggulan MPO yang melangkau pelbagai genre muzik, dari muzik klasikal barat ke runut bunyi filem, irama tradisional, pop, jazz dan kontemporari. Ditubuhkan pada tahun 1998, MPO terus menyajikan persembahan bertaraf antarabangsa kepada pelbagai lapisan penonton menerusi lebih kurang 100 buah konsert setiap musim di DFP. MPO juga telah melebarkan sayapnya ke negara luar seperti Singapura, Taiwan, Korea, China, Jepun dan Australia.

Bakal meraikan ulangtahun yang ke17, kolaborasi terbaru MPO ini bakal melakar sejarah tersendiri lantaran Jamal sendiri adalah sebuah nama besar dalam industri seni suara tanahair. Konsert ini bakal menjadi antara yang terpenting dalam lipatan karier seni beliau. Beliau bakal menjejaki senarai artis-artis tempatan yang pernah berkolaborasi dengan MPO seperti Dato’ Siti Nurhaliza, Tan Sri SM Salim, Dato’ Sheila Majid dan Dato’ M Nasir.

Konsert Jamal Abdillah di Dewan Filharmonik PETRONAS

Digelar ‘Raja Pop Melayu’, bakat Jamal telah memikat khalayak setelah memenangi Bintang RTM pada tahun 1979. Antara album beliau yang penting, Mati Hidup Semula, yang diterbitkan pada tahun 1986, telah menyaksikan beliau menulis sebuah lagu buat pertama kalinya.

Album-album beliau yang popular termasuklah Hatiku Luka Kembali, Sendiri, Sepi Seorang Perindu, Seniman Menangis, Jamal, Aku Penghibur, Samrah dan Tak Hilang Cinta, yang kesemuanya telah menghasilkan lagu-lagu yang meledak di pasaran dan diterbitkan oleh karyawan-karyawan hebat seperti Dato’ Ahmad Nawab, Manan Ngah, Fauzi Marzuki, S Atan dan Adnan Abu Hassan.

Jamal telah dianugerahkan Pencapaian Sepanjang Hayat di Anugerah Bintang Popular Berita Harian pada tahun 2008. Beliau telah membuat konsert di Istana Budaya pada tahun 2010 dan 2011, dan merupakan artis Melayu pertama yang diberi peluang mengadakan konsert di Stadium Tertutup Singapura di hadapan 3,500 penonton pada tahun 2011.

Seorang pelakon yang prolifik, Jamal muncul buat pertama kalinya dalam filem Azura pada tahun 1984 berpasangan dengan Fauziah Ahmad Daud. Filem itu mencapai kejayaan ‘box-office’ dan Jamal telah mendapat maklum balas yang baik dari penonton dan pengkritik filem. Ini disusuli dengan beberapa filem yang mendapat sambutan hangat seperti Tuah (1989), Sejati (1991), Kekasih Awal Dan Akhir (1993), Suratan Kasih (1995) and Ghazal Untuk Rabiah (1998).

Untuk konsert beliau bersama MPO, para penonton bakal dibawa menyusuri perjalanan seni beliau dari zaman remaja di Teluk Intan, Perak, hingga ke tahap hari ini di mana beliau teguh berdiri sebagai salah seorang penyanyi yang tersohor di rantau ini. Dengarkan interpretasi simfoni MPO untuk lagu-lagu seperti Kekasih Awal Dan Akhir, Penghujung Rindu, Derita Cinta, Samrah Mentari, Keluhan Perantau, Azura dan medley lagu-lagu P Ramlee seperti Putus Sudah Kasih Sayang, Hujan Di Tengahari dan Tunggu Sekejap. MPO bakal dipimpin oleh Konduktor Residen Ciaran McAuley.

Persembahan ini adalah di bawah siri ‘DFP Presents’. DFP boleh memuatkan seramai 920 penonton dalam satu masa, dan mempunyai rekabentuk dan akustik yang mengkagumkan. Saksikan kolaborasi dinamik MPO bersama penyanyi legenda ini, hanya di DFP!

jamal-abdillah-budiey

Maklumat Persembahan

Tarikh
Sabtu, 28 Mac 2015 jam 8.30 malam
Ahad, 29 Mac 2015 jam 3.00 petang

Tempat
Dewan Filharmonik PETRONAS
Menara Berkembar PETRONAS

Orkestra / Konduktor / Artis
Orkestra Filharmonik Malaysia / Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO)
Ciaran McAuley konduktor
Dato’ Jamal Abdillah vokal

Harga Tiket
Premium: RM400, A Reserve: RM380, B Reserve: RM280, C Reserve: RM180

Waktu Operasi Box Office
Selasa hingga Sabtu: 10.30 pagi – 6.30 petang, 9.00 malam (pada hari persembahan)

Ahad: 12.00 tengahari hingga waktu persembahan

(Tutup pada hari Isnin dan Cuti Am kecuali pada hari konsert yang dijadualkan)

Tempahan Telefon: 03-20517007 Tempahan Fax: 03-20517077

Tempahan Email: [email protected]

Laman Web MPO: www.mpo.com.my

Facebook: fb.mpo.com.my

Konsert Jamal Abdillah di Dewan Filharmonik PETRONAS

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Istimewanya Bila Elfira Loy Jadi Hos MAD MARKETS Musim 3

Peraduan Menang Wang Tunai RM88,888 Be Gorgeous