in , ,

KRU Buat Konsert COMEBACK Yang Gempak di Singapura

Masih berbisa! Itulah yang dapat digambarkan tentang Konsert KRU 25 yang telah diadakan di Concert Hall, Esplanade, Singapura, Sabtu lalu sempena sambutan Pesta Raya 2016 di sana.

Konsert KRU yang diberi judul KRU 25 bersempena sambutan ulangtahun KRU yang ke-25 pembabitan mereka dalam industri hiburan tanah air itu merupakan konsert pertama yang dipersembahkan selepas konsert terakhir mereka yang diadakan 14 tahun lalu pada tahun 2002. Manakala persembahan berskala besar buat KRU yang terakhir pula adalah sekitar empat tahun lalu sempena sambutan dua dekad kumpulan KRU.

Siri ‘pemanas badan’ yang pertama ini telah berlangsung di Concert Hall, Esplanade, Theatres on the Bay di Singapura sempena sambutan Pesta Raya Festival – Malay Festival of Arts, festival budaya tahunan yang berlangsung pada penghujung Aidilfitri, dari 4 hingga 7 Ogos 2016.

Konsert KRU 25 yang telah berlangsung di Esplanade pada 6 Ogos 2016 bermula tepat jam 8 malam dan tamat pada jam 10 malam. Suasana ruang Concert Hall, Esplanade gamat dan riuh rendah dengan penonton dan peminat-peminat KRU yang telah pun membeli tiket yang dijual dari harga 45 SGD, 65 SGD, 85 SGD, dan 105 SGD yang semuanya telah pun ‘sold out’ melebihi 1200 tiket.

KRU Buat Konsert COMEBACK

Tepat jam 8 malam, suasana ruang konsert memecah kesunyian dengan jeritan keterujaan para peminat dengan tayangan video pengenalan KRU sebelum kumpulan trio tiga beradik itu melakukan ‘entrance’ dari arah belakang penonton dan terus membuka pentas dengan persembahan pembukaan yang cukup memukau, menyaksikan mereka juga turut menari di samping para penari latar dengan deretan lagu hit mereka, The Way We Jam, Awas dan Terhangat Di Pasaran.

Segmen pertama diteruskan dengan lagu-lagu pop balada yang cukup mengimbau memori para penonton dengan Untukmu dan Janji Tinggal Janji di mana para penonton turut serta menyanyikan verse pertama Janji Tinggal Janji, dengan lirik yang dipaparkan pada skrin.

Segmen kedua bermula apabila KRU ‘belanja’ lagu-lagu hit siulan ramai dari dulu hingga kini dengan lagu Negatif, Oh La La! dan Di Dalam Dilema sebelum meneruskan lagi persembahan dengan lagu Tiga Kata dan Apa Saja.

Lebih menghangatkan suasana, apabila Lisa Surihani muncul di atas pentas membuat kejutan sebagai penari ketika kumpulan tiga beradik itu mendendangkan lagu pop hit mereka, Oh La La!.

KRU Buat Konsert COMEBACK

Kelibat Lisa yang menari bersama barisan penari latar yang lain cukup mengaburi mata KRU dan semua penonton yang lain kerana kelincahannya menari setara dengan penari professional yang berkongsi pentas yang sama di bawah tunjuk ajar gerak tari, koreografer Mohd Hanafi.

Gimik kemunculan Lisa menghentikan persembahan di tengah lagu memberikan peluang kepada Edry untuk memperkenalkann Lisa Surihani sebagai penampilan istimewa sebelum KRU dan Lisa meneruskan persembahan Oh La La!.

Para penonton kemudiannya tersenyum sendiri dan ketawa kecil apabila menyaksikan klip video ‘Flashback 25’ yang telah disediakan sebelum memulakan segmen ketiga. Video itu memaparkan gambar-gambar kenangan KRU sejak dari pertama kali mereka muncul sebagai artis rakaman pada 1992 sehingga ke hari ini, menyaksikan pelbagai persembahan yang pernah mereka lakukan dan anugerah-anugerah yang pernah mereka terima.

Usai persembahan video, KRU tampil kembali bertenaga menghangatkan pentas dengan lagu rancak Mengerti di mana mereka turut menari, cukup menghiburkan para penonton yang rindukan melihat tiga figura seni nyanyian ini menari.

Hingga ke Jannah merupakan buah tangan hit terbaru KRU yang dilancarkan awal tahun ini menyambung kehangatan suasana seluruh Concert Hall, Esplanade apabila menyatukan peminat KRU yang dahulu hingga kini yang mula mengenali dan jatuh cinta dengan trio kegemaran ramai ini.

KRU Buat Konsert COMEBACK

Seterusnya semua penonton memasang wajah ceria dan perasaan teruja apabila KRU menyanyikan lagu hit Jangan Lafazkan, di mana riuh seluruh dewan dengan semua penonton ‘sing along’ menyanyikan lagu sepanjang zaman itu.

Seluruh dewan konsert terus bergema meriah apabila KRU meneruskan persembahan dengan lagu-lagu cover hit, menyanyikan lagu-lagu yang dicipta mereka dan dinyanyikan oleh artis-artis mereka secara medley. Tiga lagu dinyanyikan mereka disambut seluruh dewan yang turut menyanyikan lagu Sedetik Lebih (Anuar Zain), Manisnya Senyumanmu (Feminin) dan Romancinta (Mojo).

Sebagai penutup konsert gemilang KRU 25 itu, KRU sekali lagi keluar ke pentas dan mendendangkan lagu terakhir mereka, Fanatik, di mana kesemua penonton turut bangun dari tempat duduk mereka dan bersama-sama menyanyi dan bergembira meraikan penghujung konsert yang cukup bertenaga dan meriah itu. Secara keseluruhan, KRU telah mempersembahkan 17 buah lagu pada konsert itu.

Siri konsert ulang tahun ke-25 KRU akan diteruskan di Malaysia dengan beberapa siri jelajah dan diakhiri dengan Konsert Utama KRU 25 yang dijadualkan berlangsung pada 19 Mei 2017 hadapan.

Pelbagai gimik dan penampilan khas sedang dirancangkan oleh KRU bersama pihak pengurusan KRU Music bagi menjanjikan persembahan yang menarik dan istimewa bagi semua peminat di tanah air. Teruskan mengikuti perkembangan konsert KRU 25 di laman instagram KRU Music di @krumusic.

KRU Buat Konsert COMEBACK

KRU Buat Konsert COMEBACK

KRU Buat Konsert COMEBACK

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Sebab Da’i Aishah & Da’i Daeng Tersingkir dari Da’i Pendakwah Nusantara

Peraduan Premiere With Budiey – Filem STORKS