in

Konsert Belia Malaysia Cintakan Kedamaian di Dataran Remaja Malam Ini

Pada malam ini, akan berlangsung Konsert Belia Malaysia Cintakan Kedamaian di Dataran Remaja, Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, jam 8.30 malam. Ianya dianjurkan Gerakan Belia 4B Cawangan Putra Ria, Bangsar dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Belia Malaysia dan Badan-Badan Gabungan Belia Malaysia. Bertujuan untuk melakar sejarah baru apabila membuktikan simbolik satu hati dan suara golongan belia mencintai kedamaian demi kesejahteraan kehidupan.     

Antara artis terlibat ialah kumpulan Meet Uncle Hussain (MUH), Estranged, Bunk Face, Mawi, Nur Fazura, Dafi, Aizat dan bakal Angkasawan Negara kedua, Mejar Dr Faiz Khalieed.

Dafi turut buat persembahan

Suria FM pula dipilih sebagai stesen radio rasmi. Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob berkata persembahan dalam konsert itu nanti bukan sekadar hiburan, malah ia dilihat sebagai manifestasi yang cukup bersemangat dalam memupuk rasa kasih sayang golongan belia untuk cintakan negara.

Selain warisan seni, konsert itu juga menggalakkan perkembangan sahsiah anak muda ke arah menjadi warganegara yang lebih bertanggungjawab, mempunyai ketahanan diri, daya saing dan berwawasan melalui muzik dan seni.

“Kami percaya konsert ini mampu memperkasakan khazanah seni kepada generasi muda, selain menanam semangat cintakan bangsa melalui lagu dan puisi yang bertemakan keamanan sejagat. Selain itu, ia dilihat mampu menyebarkan pengaruh positif, kasih sayang dan saling mencintai sesama manusia di kalangan belia. Lagu dan puisi dapat memupuk semangat jitu anak bangsa melalui persembahan kesenian yang membangkitkan citra diri,” katanya.

Ismail Sabri juga menjelaskan Konsert Belia Malaysia Cintakan Kedamaian ini membabitkan persembahan lagu yang sesuai dengan jiwa anak muda termasuk peminat muzik rock, alternatif dan pop tetapi berlandaskan keamanan dan sejagat serta menolak perang dan keganasan.

“Ia akan diselang-selikan deklamasi puisi dan lagu puisi. “Tema Remaja Malaysia Cintakan Kedamaian Menolak Keganasan dipilih sebagai slogan konsert,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Suria FM, Engku Emran Engku Zainal Abidin, berkata golongan belia adalah kumpulan kritikal dan memerlukan bimbingan.

“Suria FM menyambut baik usaha Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Belia Malaysia dan Badan-Badan Gabungan Belia Malaysia dalam memupuk kasih sayang golongan belia untuk cintakan negara. Mereka adalah nadi kepada kemajuan negara pada masa depan. Bagaimanapun, tanpa bimbingan dan cara yang sesuai, mungkin sukar mahu melentur mereka. Jadi platform hiburan digunakan ke arah yang positif kerana jiwa belia yang masih rapuh perlu dididik dengan cara lembut. Mereka perlu dipupuk rasa cintakan agama, bangsa dan negara dari sekarang. Suria FM sedia menjadi pengantara antara pihak kerajaan dan belia kerana maruah negara terletak di tangan mereka. Sebelum konsert bermula, Suria FM sudah menemu bual artis terbabit dalam konsert dan membincangkan peranan mereka kepada negara,” katanya.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Gambar Dayang Nurfaizah di Pelancaran Novel Luka

Gambar Aril Cium Qhaud Cetus Kontroversi