BARBARIK, sebuah nama yang semakin gah dalam arena muzik rock tanah air, bakal menggegarkan pentas Zepp Kuala Lumpur menerusi sebuah konsert istimewa yang dinamakan Konsert BARBARIK: Pentas Peluru Cokelat. Konsert yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu, 28 Jun 2025 jam 8.45 malam ini merupakan persembahan utama kumpulan BARBARIK selepas pelancaran album sulung mereka berjudul Peluru Cokelat pada Oktober 2024 lalu.
Konsert ini bukan sekadar meraikan pelancaran album, malah ia adalah simbol kepada perjuangan dan kemunculan semula legenda rock tanah air, iaitu Muss dan Jobranko yang kembali memperkukuh pengaruh mereka dalam industri menerusi kumpulan BARBARIK.
Makna Mendalam Di Sebalik Nama BARBARIK
Istilah BARBARIK atau BARBARIKA berasal dari Epik Mahabharata dalam bahasa Sanskrit, menggambarkan seorang satria perkasa yang memiliki tiga anak panah sakti mampu menumbangkan musuh dalam sekelip mata. Namun, figura ini difitnah sebagai kejam, liar dan tidak bertamadun oleh musuhnya. Ironinya, BARBARIK sebenarnya melambangkan keberanian, perjuangan dan semangat menentang ketidakadilan, satu naratif yang kini diterjemahkan dalam karya-karya BARBARIK.
Nama kumpulan ini juga diinspirasikan daripada album ke-9 WINGS, Mr. Barbarik (2000), yang diterbitkan oleh Jobranko dan menampilkan Muss sebagai vokalis. Album tersebut dikenali sebagai antara yang terbaik sepanjang era Muss bersama WINGS.
Album Peluru Cokelat: Simbol Realiti Dan Renungan Dunia
Album sulung BARBARIK yang berjudul Peluru Cokelat dilancarkan secara rasmi pada 31 Oktober 2024. Rakaman bermula sejak Mac tahun sama dan mengambil masa lebih 6 bulan, menghasilkan enam karya original iaitu:
- Peluru Cokelat
- Golok Kayu
- Didakap Pesona
- Kasmaran Selamanya
- Nasib Baik
- Marcapada
Dua lagu tambahan atau ‘bonus track’ turut dimuatkan iaitu Gelap Nan Terang (instrumental) dan versi radio edit Didakap Pesona. Barisan penulis lagu dan lirik termasuk nama besar seperti Jobranko, Muss, Ainol, Nasir Jani, Nuar Botak dan Bambino.
Konsert Pentas Peluru Cokelat: Dua Jam Gempak Penuh Emosi
Konsert ini akan berlangsung selama 2 jam penuh intensiti, di mana penonton akan disajikan dengan lebih 20 buah lagu, termasuk lagu-lagu dari album Peluru Cokelat serta pilihan karya klasik era 1980-an dan 1990-an dalam segmen khas ‘Retro Akustika’.
Segmen Retro Akustika ini akan menampilkan barisan gitaris undangan seperti Shah Slam, Ujang Tukimon, Muzzadan tentunya Jobranko, diiringi oleh 8 orang pemuzik string octet, memberikan nuansa berbeza kepada persembahan malam itu.
Karl Cromok Dan Barisan Pemuzik Undangan Bertaraf Legenda
Karl Cromok turut akan tampil secara eksklusif di pentas, terutama dalam lagu Golok Kayu. Sebagai gitaris utama kumpulan Cromok yang telah menakluk dunia muzik metal sejak tahun 1987, kehadiran beliau merupakan antara highlight konsert ini.
Selain itu, Shah Slam (Exist, Slam), Ujang Tukimon (MonSons Studio), dan Muzza (komposer, penyanyi muda berbakat) akan turut menyemarakkan persembahan malam itu dengan aksi gitar yang dijangka memukau.
Maklumat Tiket & Sesi Meet & Greet Eksklusif
Tiket boleh dibeli menerusi laman ilassotickets.com, dengan kategori harga seperti berikut:
- CAT 1: RM150 (Free Standing)
- CAT 2: RM380 (VVIP Seating)
- CAT 3: RM280 (VIP Seating)
- VIP Box: RM8000 (10 orang)
Untuk pembelian VIP Box atau penyertaan sesi Meet & Greet (29 Jun 2025, 2.00 petang di Heritage Club Royale Chulan, harga RM100 seorang), sila hubungi +6011 5502 5020 (Jat). Tempat adalah terhad kepada 200 orang sahaja.
Apa Kata Budiey?
Konsert BARBARIK: Pentas Peluru Cokelat bukan sekadar persembahan muzik – ia adalah naskhah seni penuh makna. Di tangan Muss dan Jobranko, BARBARIK bukan sekadar projek nostalgia, tetapi platform suara hati, jeritan perjuangan dan penghormatan buat legasi rock Malaysia. Dengan gandingan pemuzik legenda dan semangat juang yang membara, konsert ini wajar disaksikan oleh semua pencinta muzik keras tanah air.
Kalau anda rindukan muzik dengan jantung, lirik dengan roh dan persembahan yang menggegar, inilah saatnya untuk berdiri bersama BARBARIK. Jangan lepaskan peluang menjadi sebahagian daripada sejarah ini.