in

Konsert 2 Raksasa Sweet Charity & Blues Gang

Konsert 2 Raksasa Akhirnya Berlangsung Pada 1 Oktober

KUALA LUMPUR: Selepas ditunda pada 9 Julai lalu kerana perhimpunan haram Bersih, Konsert 2 Raksasa akhirnya dapat dilaksanakan pada 1 Oktober depan. Ia akan diadakan di Stadium Merdeka di sini pukul 8.45 malam. Konsert yang diterajui oleh kumpulan Sweet Charity dan Blues Gang itu dijangka bakal dihadiri oleh pelbagai generasi yang berkonsepkan kekeluargaan.

“Dengan semangat kental dan jiwa seni yang ada pada diri, kami akan memberikan keyakinan kepada peminat bahawa konsert pada 1 Oktober ini akan berjalan dengan baik. Kami juga yakin para peminat yang hadir akan membawa keluarga besar mereka disebabkan nostalgia dan kenangan bersama. Kalau 27 tahun dulu, mungkin mereka perlu memanjat demi menonton konsert kami tetapi kelainan pada kali ini mereka boleh duduk setelah membayar tiket,” kata Ramli Sarip mewakili Sweet Charity dalam satu sidang media di Hotel Ancasa, di sini, Rabu.

Konsert Ramli Sarip

Sweet Charity

Konsert pertama menggabungkan dua kumpulan legenda ini pada tahun 1984 di lokasi yang sama. Berkongsi tentang corak persembahan mereka, Ramli dan Ito Mohd (Blues Gang) yakin persembahan mereka masih sama cuma aksi-aksi luar biasa yang pernah dilakukan dulu tidak mungkin dilakukan.

“Apabila semakin dewasa, muzik yang disampaikan akan dirasai lebih mendalam. Kami tidak mampu berjanji tentang gimik yang akan dilakukan nanti tetapi persembahan muzik kami pasti memukau penonton. Yang pasti, kami juga akan mengabadikan konsert ini dalam bentuk rakaman memandangkan konsert pada 1984 lalu tidak sempat dirakam,” ujar Ramli lagi.

Sementara itu Ito menambah: “Konsert kami tidak mungkin bosan kerana kami sudah mempunyai pengalaman dalam 40 tahun bermain muzik. Kemeriahan konsert ini juga bergantung kepada sambutan penonton.

“Kita tak boleh nak bandingkan kami dengan kumpulan-kumpulan lain. Tarikannya mungkin juga disebabkan kami jarang muncul, jadi sebab itu ramai yang nak tengok.”

Dalam pada itu, Penerbit Netzah Productions Sdn Bhd, Shirazdeen Karim, selaku penganjur konsert berkata, pada sebelah siang bermula pukul 3 hingga 6 petang akan diadakan pertunjukan “Monster of Metal” sebagai hadiah kepada para peminat.

Kumpulan yang terlibat pada pertunjukan itu adalah kumpulan Sofea, Sil Khannaz, Brain Dead, Humiliation, Nuclear Strikes dan penampilan istimewa Al-FarabiBand.

“Kami menyasarkan seramai 20,000 penonton akan memenuhi Stadium Merdeka. Setakat ini sudah 50 peratus tiket dijual,” kata Shirazdeen.

Tiket konsert berkenaan boleh didapati dengan harga RM73. Orang ramai juga boleh melayari laman sesawang www.airasiaredtix.com atau kunjungi semua kedai muzik Rock Corner, Victoria Music dan kaunter terpilih di Konsortium Transnasional Berhad selaku rakan jualan tiket rasmi.

Pembelian tiket juga boleh dibuat dengan menghubungi 03-87754666. Untuk maklumat lanjut, layari laman sesawang www.netzahproductions.com. via Mstar Online

Konsert Ramli Sarip

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

A Smarter Life, A Smarter World Samsung

Jemputan Ke Premiere The Kennedys – Budiey.com