in ,

Komposer Datuk Adnan Abu Hassan Meninggal Dunia

Komposer tersohor, Datuk Adnan Abu Hassan, 57, menghembuskan nafas terakhir pada jam 2.17 pagi tadi di Hospital Selayang, di sini.

Adnan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital berkenaan tengah malam semalam kerana serangan angin ahmar, diabetes dan kegagalan buah pinggang dan hanya bergantung kepada alat bantuan pernafasan. Jenazah Adnan akan disembayangkan di Masjid Al-Falah dan dikebumikan di Sungai Ramal, Kajang.

adnan abu hassan

Keadaan kesihatan komposer yang pernah mencipta kegemilangan pada era 1980-an hingga awal dekad 2000 itu mula diperkatakan apabila dirinya dilihat lemah ketika muncul pada Anugerah MeleTOP, dua tahun lalu untuk memberi penghormatan kepada penyanyi tersohor, Datuk Siti Nurhaliza.

Komposer berpengaruh yang pernah menaikkan nama penyanyi seperti Fauziah Latiff, Siti Nurhaliza, Misha Omar dan Liza Hanim itu dikenali menerusi karyanya yang meraih pengiktirafan termasuk Teratai Layu Di Tasik Madu, Jerat Percintaan, Bunga-Bunga Cinta serta Puncak Kasih.

Allahyarham telah menerima Darjah Setia Diraja Kedah (DSDK) dan menyandang gelaran Dato’ sempena Hari Keputeraan Sultan Kedah, Tunku Abdul Halim Mu’adzam Shah ke-8.

Sumbangan besarnya dalam industri hiburan melayakkan Adnan menerima pengiktirafan Anugerah Wirama pada Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-17 pada tahun 2010.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

RTM Siar Filem FANTASTIC FOUR RISE OF THE SILVER SURFER

Rita Rudaini, Izreen Azminda & Sherry Over Dalam Drama AHLI MESYUARAT TINGKAP