in , ,

Kolaborasi Teknologi HoloBox AI Untuk Kenangan Tak Terlupakan di Konsert Genkru

Konsert Genkru Bawa Kembali Aura KRU Gegarkan Malaysia

Bersiaplah, Malaysia! KRU, trio lagenda negara yang sudah terpahat di hati peminat sejak era 90-an, menggoncang Axiata Arena pada 3, 4 dan 10 Mei 2025 dengan Konsert GenKRU, sebuah peristiwa yang bukan sekadar konsert biasa, tetapi lambang kepada evolusi muzik tempatan. ICON ENTERTAINMENT tampil sebagai penganjur, dengan sokongan padu daripada penaja besar seperti 123Gasing, DTC Official Transport, Hyatt Place Hotel, Mutiara dan Hameediyah.

Teknologi AI Dan HoloBox Bawa Pengalaman Luar Biasa

Apa yang menjadikan Konsert GenKRU begitu istimewa adalah penggunaan teknologi HoloBox AI, menjadikan KRU kumpulan muzik Melayu pertama yang menggabungkan hologram dalam persembahan mereka. BYOND Asia dan WebTVAsia diumumkan sebagai Rakan AI Rasmi, membawakan pengalaman interaktif kepada peminat.

Menurut Fred Chong, Ketua Pegawai Eksekutif WebTVAsia, “Kami pernah memperkenalkan teknologi ini sebelum ini, dan sambutannya sangat luar biasa. Ini membuktikan bahawa peminat mahukan pengalaman hiburan yang lebih mendalam dan peribadi. The GenKRU Concert bukan sekadar persembahan muzik, tetapi satu langkah baharu dalam hiburan tempatan yang menggabungkan muzik dan inovasi digital.”

Menariknya, peminat berpeluang bergambar dengan versi holografik KRU, dengan satu gambar percuma, manakala gambar kedua dan ketiga hanya RM20 setiap satu. Maksimum tiga gambar dibenarkan, dan semuanya boleh dimuat naik terus ke media sosial – satu inovasi yang pastinya membuatkan peminat berlumba-lumba untuk berkongsi detik manis ini.

KRU: Dari Revolusi 90-an Hingga Ke Pentas Mega

Sejak muncul dengan gaya pop dan hip hop pada 1992Norman, Yusry dan Edry Abdul Halim bukan sekadar trio muzik – mereka adalah fenomena yang membentuk landskap muzik Malaysia. Tidak hairanlah apabila Iman Tang, Pengasas ICON ENTERTAINMENT, berkata, “Adalah menjadi penghormatan buat ICON ENTERTAINMENT mempersembahkan KONSERT GENKRU kerana kredibiliti dan sejarah demi sejarah yang telah dicetak KRU sejak tahun 90-an sehingga membentuk gelombang muzik yang cukup berpengaruh kepada semua generasi sehingga kini.”

Iman turut berkongsi bahawa usaha untuk membawa KRU ke pentas ini sudah bermula sejak 1 November 2022, dan hanya pada September 2024, pinangan itu akhirnya diterima. Katanya dengan yakin, “Anda rugi besar kalau tidak menghadiri KONSERT GENKRU di AXIATA ARENA kerana ini merupakan penampilan sulung Norman, Yusry dan Edry selepas sudah sangat ranum dalam semua aspek industri hiburan.”

Set List Dan Barisan Kreatif Padu

Untuk memastikan malam ini meletup, KRU akan diiringi oleh band hebat The Negative’s yang diketuai Reza Ramsey, dengan Denny Mojo dan Jay Cugat di gitar, Joel Benson di keyboard, Azim Jenk Ali di drum, Dave di bass, Farid di saxophone, dan vokal latar oleh Jad Lobo & Beby. Turut memeriahkan pentas adalah kumpulan penari seperti Team Shoba, Team Farouk serta Psychosix untuk segmen tarian kanak-kanak. Pasukan produksi pula diketuai oleh Achmal Ibrahim, menjadikan acara ini benar-benar bertaraf mega.

Kembali Dengan Semangat Dan Nostalgia

Selepas lebih enam tahun menyepi dari pentas besar – kali terakhir menerusi Konsert GenerasiKRU25 pada Mei 2018 di Istana Budaya – KRU akhirnya kembali dengan misi mempersembahkan warisan muzik mereka, seperti yang dikongsi oleh KRU sendiri, “KONSERT GENKRU bukan sekadar hiburan semata-mata tetapi akan menjadi sebuah sejarah perjalanan lebih 30 tahun KRU dalam merevolusikan muzik tempatan setaraf dengan muzik Nusantara dan antarabangsa.”

Meraikan Memori Bersama Generasi Lama Dan Baru

Yang menarik, konsert ini bukan sahaja untuk mereka yang membesar dengan lagu-lagu KRU seperti Fanatik, Awas,dan Bidadari, tetapi juga untuk generasi baharu yang mungkin mengenal mereka melalui platform digital. Peminat boleh mengharapkan perjalanan muzik KRU dari zaman kaset hingga era digital, membawa mereka menyelusuri perjalanan penuh suka duka trio ini yang masih relevan hingga ke hari ini.

Apa Kata Budiey?

Secara peribadi, Budiey rasa Konsert GenKRU bukan sekadar acara hiburan – ia adalah perayaan nostalgia, inovasi, dan keberanian untuk terus relevan dalam industri yang sering berubah. Budiey harap lebih banyak artis tempatan berani keluar dari zon selesa, bereksperimen dengan teknologi baharu sambil mengekalkan akar tradisi mereka. Untuk peminat tegar, jangan lepaskan peluang – ini bukan sekadar konsert, ini adalah pengalaman hidup yang jarang datang dua kali.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Mawar Rashid Terseret Cinta Terlarang dalam ‘Nikmat Hanya Sesaat’