in

Khas Hari Malaysia Filem Sarjan Hassan di RTM

Khas Hari Malaysia : Filem Sarjan Hassan di RTM

Radio Televisyen Malaysia (RTM) dalam usaha menyemarakkan sambutan Hari Malaysia menyiarkan sebuah filem mengetengahkan perjuangan parajurit negara, Sarjan Hassan pada 16 September 2011, jam 10.00 malam menerusi saluran TV2.

Filem diterbitkan tahun 1958 yang mengetengahkan lakonan Tan Sri P. Ramlee, Saadiah, Jins Shamsuddin, Salleh Kamil, Daeng Idris dan Aini Jasmin ini pastinya menyumbang kepada mengembalikan ingatan terhadap susah payah dan jerih perih pengorbanan pejuang-pejuang negara dalam melaksanakan misi mempertahankan negara akibat serangan musuh dan pengkhianat negara.

Kisah bermula dengan watak Hassan hanya berusia 10 tahun ketika ayahnya meninggal dunia dan kemudiannya Hassan dijadikan sebagai anak angkat Tok Penghulu, bekas majikan ayahnya. Tok Penghulu mempunyai seorang anak lelaki, Aziz yang tidak menyukai Hassan tinggal serumah dengannya.

Sarjan Hassan

Aziz sering mendera Hassan tetapi Hassan menghadapinya dengan tenang dan tabah. Suatu ketika Aziz telah mengapi-apikan kawan sekolahnya, Buang menyebabkan Buang mencari pasal dengan Hassan supaya perkelahian berlaku. Hassan disenangi oleh Salmah dan dia sering membela Hassan jika berlaku perkelahian Hassan dengan Buang. Perhubungan mereka terjalin dengan lebih mesra apabila dewasa. Salmah tidak sukakan Aziz walaupun Aziz jatuh hati kepadanya.

Suatu hari Aziz terbaca dalam suratkhabar Askar Melayu perlukan orang baru. Aziz meminta kebenaran ayahnya untuk memohon dan telah dipersetujui. Hassan juga ingin menyertai menjadi askar dan meminta izin ayah angkatnya untuk pergi tetapi dia tidak dibenarkan. Tok Penghulu lebih suka Hassan berada bersamanya supaya dapat menguruskan sawah dan ladang.

Hassan kemudiannya bertekad untuk meninggalkan kampung pergi memohon menjadi askar tanpa pengetahuan ayah angkatnya. Di Port Dickson, Hassan telah diterima menjadi askar dan ketika menjalankan latihan-latihan Hassan telah melaksanakannya dengan penuh dedikasi sehingga dia dinaikkan pangkat dari L/Kopral ke kopral kemudian ke sarjan yang mana ini meninggalkan terus Aziz yang kekal dengan pangkat prebetnya.

Sementara itu, Pearl Harbour di Lautan Pasifik (Lautan Teduh) kubu kuat tentera Amerika Syarikat telah diserang tentera Jepun dan ekoran itu Jepun terus memperluaskan wilayahnya termasuklah Malaya. Ini menyebabkan Askar Melayu yang berada di Port Dickson berpindah ke dalam hutan bagi menyusun strategi menentang tentera Jepun. Begitu pun juga, dalam penentangan dengan tentera Jepun itu, Sarjan Hassan dan orang-orangnya terpaksa berundur dan meminta bantuan daripada kumpulan Askar Melayu yang lain yang mana terdapatnya Aziz bersama.

Angkara Aziz mereka telah termasuk dalam perangkap Jepun dan berlakulah pertempuran dengan tentera Jepun di mana ketika itu ramai yang tewas dan Hassan sendiri serta Aziz ditawan dan ditahan di kem tahanan perang Jepun. Semasa dalam kem tahanan itu, Hassan membuat rancangan untuk melepaskan diri. Dia berjaya, tetapi telah terkena tembakan dan kemudian jatuh pengsan. Dan apabila sedarkan diri Hassan mendapati dirinya berada dalam kumpulan gerila yang diketuai Kapten Holiday. Hassan diselamatkan.
Dalam pada itu, Buang telah dilantik menjadi Kapitai Jepun dan selalu memujuk Salmah untuk bersetuju berkahwin dengannya dan menyatakan juga yang Hassan sudah mati. Dengan jawatannya itu, Buang mengambil kesempatan mengugut dan mendera orang-orang kampungnya sendiri dan dia telah bertindak menangkap bapak Salmah kerana di tuduh memiliki radio. Bagaimanapun, melalui Ah Ling (penjual sayur), Salmah mendapat tahu yang Hassan masih hidup dan dia meminta pertolongan Hassan supaya membebaskan bapaknya yang akan dibawa ke Melaka untuk di pancung.

Satu serang hendap dilakukan oleh Hassan beserta orang-orangnya dan berjaya menyelamatkan bapak Salmah dan ini menyebabkan Ketua Jepun (Master) marah dan sebagai tindakan Buang menangkap orang-orang kampung termasuk Tok Penghulu, Salmah dan Minah. Dengan pengeboman bom atom di Hiroshima, menyebabkan peperangan tamat dan sebagai tindakan terakhir Hassan meminta Kapten Holiday membantunya menyerang markas tentera Jepun di mana Tok Penghulu dan Salmah ditahan.

Dalam serangan itu, banyak tentera Jepun yang mati termasuk Master. Bagaimanapun Buang berjaya melarikan diri lari ke kampung. Si pembelot, Buang bercadang untuk melarikan diri dari kampung tempat tinggalnya terperangkap dan dikelilingi orang-orang kampung yang mahu membunuhnya kerana pengkhianatannya. Lalu apakah kesudahannya?

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

AirAsia Sponsors Queens Park Rangers New Away & Third Jersey

Konsert Maher Zain di Sarawak November Depan