in

Kemuncak Adrenalin Musim Pertama Vios Challenge

Selepas tiga pusingan yang mendebarkan dengan aksi-aksi sukan permotoran yang akan diingati sepanjang dekad ini di Malaysia, penganjuran sulung Vios Challenge akan sampai ke kemuncaknya pada hujung minggu ini bertempat di Taman Teknologi Malaysia (TPM), Kuala Lumpur.

Kemuncak Adrenalin Musim Pertama Vios Challenge

Pemenang pertama Vios Challenge akan ditentukan sebaik sahaja selesai perlumbaan ini. Ia menjadi acara kemuncak dan sekali gus penutup bagi siri perlumbaan unik melibatkan 40 jentera lumba Toyota Vios yang identical, setelah telah berentap di dalam tiga kategori berasingan; Sporting, Super Sporting dan Promotional.

“Saya percaya perlumbaan Vios Challenge telah menjadikan sukan permotoran lebih mudah diakses oleh warga Malaysia. Melihat kepada sambutan baik daripada peminat yang datang, saya percaya perlumbaan one-make race seperti ini akan terus menjadi platform yang amat positif untuk kami kembangkan, disamping turut menjadi acara untuk seisi keluarga,” jelas Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K.

Kategori paling popular perlumbaan ini tentunya kelas Promotional yang menyaksikan barisan selebriti terkenal tanah air seperti Fattah Amin, Shukri Yahaya, Diana Danielle, Janna Nick, Geraldine Gan, Danny Koo, Venice Min dan Shawn Lee berentap merebut kejuaraan. Mereka menampilkan semangat yang mengkagumkan pada setiap perlumbaan, selain turut meluangkan banyak masa untuk bertemu peminat.

Penggemar siri televisyen My Coffee Prince tidak seharusnya melepaskan peluang untuk mengunjungi Toyota GAZOO Racing (TGR) Racing Festival hujung minggu ini kerana Syafiq Ahmad dan Faez Azemi akan ikut serta bersama barisan pelakon utama seperti Fattah Amin, Janna Nick dan Diana Danielle untuk berjumpa dan berinteraksi bersama peminat. Bagi kanak-kanak pula, mereka akan dihiburkan oleh maskot Didi and Friends, termasuk Pak Atan. Pastikan anda membawa keluarga bersama-sama pada hujung minggu ini.

Bagi yang bercita-cita untuk berlakon, mereka juga boleh hadir pada sesi uji bakat terbuka yang akan dijalankan di ruang pameran Astro. Dengan bakat yang ada serta nasib yang baik, pengunjung mungkin akan terpilih untuk tampil di dalam drama-drama di saluran Astro.

Satu lagi tarikan utama di TGR ialah bilik pameran Toyota yang menampilkan semua model-model terbaru, termasuk Toyota C-HR akan turut menanti pengunjung.

Hilux L-Edition serta Sienta V terbaru juga akan dipamerkan, bersama dengan model-model seperti Innova X dan Avanza X. Pengunjung boleh mendekati semua model ini dan bercakap dengan perunding jualan yang akan membantu melayani pertanyaan mereka, termasuk sesi pandu uji bagi yang berminat.

Pengunjung yang lebih meminati model kenderaan 4×4, jangan ketinggalan untuk mengalami sendiri pemanduan mencabar bersama Hilux dan Fortuner pada laluan khas dengan halangan yang telah disediakan. Toyota Topmark juga akan turun padang bagi menjalankan pemeriksaan segera terhadap kendearan pengunjung sekiranya mereka berminat untuk melakukan tukar beli kenderaan.

Bagi mereka yang lebih gemarkan gesaan adrenalin dari jentera drift berkuasa tinggi, jangan ketinggalan untuk menyaksikan persembahan oleh dua juara dunia dari Jepun, Masato Kawabata dan Hideyuki Fujino yang akan memukau khalayak dengan kemahiran pemanduan mereka menggunakan jentera Toyota 86 yang ditaja oleh Toyo Tires.

Sebagai sebuah festival, sudah tentunya jualan makanan akan menjadi daya penarik yang tersendiri. Kali ini, sebanyak 18 buah trak makanan dan minuman akan turut serta pada hujung minggu ini, membawakan pelbagai pilihan hidangan seperti mi racun, lontong goreng, coconut shake, kebab dan takoyaki.

Sebelum perlumbaan bermula, litar berkenaan juga akan dibuka pada awal pagi Sabtu dan Ahad selama sejam bagi acara Fun Run dan Fun Ride untuk pengunjung yang berminat. Sesi ini dianjurkan untuk membolehkan sekitar 700 peserta berdaftar untuk merasakan sendiri bagaimana keadaannya berada di dalam litar perlumbaan berkenaan. Ini adalah sebahagian daripada usaha Toyota untuk mempromosi gaya hidup sihat.

Masuk ke Toyota GAZOO Racing (TGR) Racing Festival adalah percuma, dan acara akan bermula dari jam 9 pagi hingga 6.30 petang. Untuk mendapatkan maklumat terkini, sila layari laman web, Facebook atau Instagram Toyota GAZOO Racing Malaysia.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

50 Pelanggan Terawal Terima Serahan Toyota C-HR

Shawn Lee Tundukkan Syukri Yahaya di Litar Lumba TGR