in , ,

Kempen Simplysiti Di Hati 2019 Berjaya Mencapai Sasaran Dana Lebih RM150,000

Pada bulan November dan Disember yang lalu, SIMPLYSITI telah pun kembali dengan kempen Tanggungjawab Sosial Korporatnya iaitu SIMPLYSITI Di Hati.

Sejak diperkenalkan pada tahun 2011, kempen tersebut telah berjaya mengumpul dana melebihi RM200,000 yang telah digunakan untuk membiayai kos pembedahan 14 orang kanak- kanak pesakit jantung kurang berkemampuan sehingga tahun 2018. Untuk kempen SIMPLYSITI Di Hati 2019, sebuah majlis penutup telah diadakan di Magica @ Quill City Mall, Kuala Lumpur.

Presiden SIMPLYSITI, Dato’ Sri Siti Nurhaliza turut hadir meraikan para tetamu yang terdiri daripada para penerima dana, rakan niaga, penaja, para pengguna setia SIMPLYSITI, ahli ELIT SIMPLYSITI dan juga rakan-rakan media. Selain itu, SIMPLYSITI turut meraikan teman-teman dari SIMPLYSITI Indonesia.

Selain daripada mendapat perhatian masyarakat, kempen ini turut mendapat sokongan besar daripada syarikat-syarikat konglomerat seperti CUCKOO International yang turut serta menghulurkan sokongan dan merupakan penderma terbesar dengan sumbangan bernilai RM100,000 untuk usaha murni ni. Secara kesuluruhannya, tahun ni SIMPLYSITI Di Hati berjaya mengumpul kutipan dana tertinggi yang bernilai RM171,145.

Ini merupakan detik bersejarah buat SIMPLYSITI yang bakal menyambut ulangtahun yang ke-10 Mac ini. Dato’ Sri Siti Nurhaliza, diiringi Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif CUCKOO International, Encik KC Hoe, telah menyerahkan replika cek kepada Raja Datin Seri Zuraida Raja Mansur selaku Pengerusi Jawatankuasa Sosial & Kebajikan, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan IJN, sebagai tanda rasmi penyerahan dana untuk disalurkan ke Tabung Yayasan Institut Jantung Negara.

Istimewa pada malam tersebut, para tetamu jemputan yang hadir telah dihiburkan oleh Dato’ Sri Siti Nurhaliza dengan nyanyian beberapa buah lagu termasuk lagu “Sama-Sama” yang merupakan lagu tema bagi kempen CUCKOO International tahun ini. Sebagai penutup acara, beliau memilih untuk menyanyikan lagu “Terang” iaitu single terbaharu Dato’ Sri Siti Nurhaliza telah dipilih menjadi lagu tema kempen SIMPLYSITI Di Hati. Menurut beliau, lagu “Terang” merupakan sebuah hadiah darinya untuk membakar lagi semangat kanak-kanak pesakit jantung untuk mereka sembuh semula dan seterusnya membantu mereka untuk meneruskan kehidupan yang ceria seperti kanak-kanak yang lain.

Dana yang telah dikumpul digunakan untuk membiayai kos pembedahan jantung lima kanak-kanak pesakit jantung iaitu Adik Siah Wan Ying, Adik Nurul Syamimi Binti Ahmad Paridon, Adik Auni Insyirah Binti Muhammad Firdaus Hilmi, Adik Nur Auni Mardhiyah Binti Ahmad Hanafi dan Adik Mugilan A/L Ramesh Rao. Kelima-lima kanak-kanak pesakit jantung tersebut telah pun selamat menjalani proses pembedahan rawatan jantung dan kini mereka dalam proses penyembuhan.

Demi merealisasikan dan menjayakan misi kempen tersebut, Dato’ Sri Siti Nurhaliza sendiri turut turun padang bagi mengumpul dana dan mempromosikan kempen itu. Selain membuat kemunculan di kaca televisyen beliau juga telah membuat kunjungan ke cawangan butik Creacion terpilih di Kuala Lumpur dan Johor. Para pengguna SIMPLYSITI juga telah berpeluang untuk bertemu dan membeli barangan SIMPLYSITI dan Creacion secara langsung dengan penyanyi nombor 1 negara itu.

“Ini merupakan pengalaman yang indah buat saya sendiri apabila saya sendiri turun ke padang kerana dapat lihat sendiri wajah-wajah pelanggan SIMPLYSITI dan Creacion yang hadir untuk menyokong misi SIMPLYSITI ini. Ia juga merupakan satu kepuasan bagi saya kerana para pelanggan juga turut menceritakan pengalaman dan perubahan yang dialami oleh mereka setelah menggunakan produk SIMPLYSITI. Nampaknya ramai rakyat Malaysia yang bermurah hati untuk turut sama-sama menjayakan kempen ini. Saya berharap pengguna semua akan terus menyokong SIMPLYSITI di masa hadapan”, kata beliau ketika ditemui di majlis tersebut.

Kempen ini bukan sahaja berjaya mengumpul dana tetapi juga memberi kegembiraan kepada kanak-kanak yang kurang bernasib baik ini. Pada pertengahan Januari yang lalu, sebuah acara istimewa Fun Day Out telah diadakan di Skytropolis Indoor Theme Park untuk meraikan kanak-kanak pesakit jantung bersama lima belas orang pengguna SIMPLYSITI bertuah untuk beriadah bersama beliau di kota atas awan, Resorts World Genting yang telah mendapat sokongan dan tajaan penuh dari Genting Malaysia Berhad. Rombongan acara itu telah disambut meriah oleh Puan Sri Cecilia Lim yang merupakan isteri kepada Pengerusi dan Pengarah Urusan syarikat konglomerat itu.

Dato’ Sri Siti turut menzahirkan rasa terharu serta besar hati kerana mendapat sokongan daripada Watsons Malaysia selaku rakan niaga rasmi, Butik Creacion x SIMPLYSITI selaku rakan butik rasmi, Astro GoShop dan CJ Wow Shop selaku rakan niaga TV rasmi, Shopee selaku rakan niaga online rasmi dan Chatime selaku penaja bersama dan baucar serta Genting Malaysia Berhad selaku penaja utama bagi Fun Day Out Bersama Dato’ Sri Siti Nurhaliza.

SIMPLYSITI telah diasaskan pada tahun 2010 di bawah aspirasi Dato’ Sri Siti Nurhaliza yang ingin berkongsi tentang ilmu dan rahsia kecantikannya dengan semua golongan wanita tanpa mengira sempadan. Jenama kecantikan tempatan yang memiliki ciri dan tarikan bertaraf antarabangsa, SIMPLYSITI menawarkan produk kecantikan Halal yang berkualiti tinggi setanding dengan jenama antarabangsa yang terkemuka. Kini, SIMPLYSITI telah pun berkembang ke 200 outlet di seluruh negara, terutamanya di Watsons dan AEON, serta butik-butik Creacion & SIMPLYSITI iaitu butik milik Dato’ Sri Siti Nurhaliza. SIMPLYSITI juga boleh didapati di laman web rasmi (www.simplysiti.com.my) dan Shopee.

Pada Oktober 2014, CUCKOO International (MAL) Sdn Bhd ditubuhkan secara rasmi dan menjadi rakan kongsi perniagaan CUCKOO yang pertama di luar negara. Dalam jangkamasa singkat iaitu 6 tahun berikutnya, CUCKOO telah berjaya meraih jualan penapis air beralkali ringan yang mengagumkan melalui skim sewaan yang serba unik, serta memperkenalkan periuk bertekananan serbaguna (pressure multi-cooker), penapis udara, hob induksi dan lain-lain peralatan rumah CUCKOO ke pasaran Malaysia.

Untuk keterangan lanjut tentang CUCKOO, sila lawati laman rasmi CUCKOO di CUCKOO.com.my atau laman Facebook CUCKOO di CUCKOOInternational.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Fall In Love This Season With Starbucks Malaysia 

Wartawan ‘Live’ Dari Rumah, Suami Di Belakang Curi Tumpuan!