in ,

Peserta Cemerlang Kem Badminton Astro Tamat Latihan Lanjutan Intensif Di Tokyo

Seramai 30 orang peserta cemerlang Kem Badminton Astro 2015 dengan jayanya telah menamatkan program Latihan Lanjutan Intensif di National Training Center, Tokyo, Jepun yang telah berlangsung daripada 19 November hingga 2 Disember 2015 lalu.

Program selama dua minggu ini telah menyaksikan para peserta dilatih oleh barisan Jurulatih Badminton Kebangsaan Jepun yang diketuai oleh Mr. Norio Imai, Pengarah Kejurulatihan Badminton, Jawatankuasa Olimpik Jepun. Mereka ditempatkan di Japan Athlete Village iaitu sebuah perkampungan atlit elit yang berprestij dan merupakan pusat penginapan rasmi atlet untuk Sukan Olimpik.

30 PESERTA CEMERLANG KEM BADMINTON ASTRO MENAMATKAN LATIHAN LANJUTAN INTENSIF DI TOKYO, JEPUN
Astro Terus Menyediakan Platform Kepada Bakat-Bakat Muda Dalam Misi Melahirkan Jaguh Badminton Negara

[dropcap]K[/dropcap]em Badminton Astro merupakan program tahunan anjuran Astro Kasih; sebuah inisiatif korporat yang memberi tumpuan kepada aktiviti-aktiviti berkaitan dengan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR). Kini, di tahun yang keempat, Kem Badminton Astro dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Belia dan Sukan, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Nippon Badminton Association.

Terdahulu pada bulan Mac 2015, Astro telah menandatangani Memorandum Persefahaman bersama Nippon Badminton Association sebagai simbol kerjasama strategik selama tiga tahun untuk menjayakan program Kem Badminton Astro.

Pengarah Hal Ehwal Komuniti Astro, Datuk David Yap berkata,

“Sejak mula dilancarkan pada tahun 2012, Kem Badminton Astro telah berjaya mencungkil bakat-bakat baru dalam sukan badminton. Program ini berjaya menarik golongan muda khususnya dan membuka peluang kepada mereka untuk menjadi pelapis dalam bidang sukan ini. Peserta yang cemerlang turut diberi peluang untuk menjalani variasi program latihan di luar negara yang mana boleh menyiap-sediakan diri mereka untuk aktiviti fizikal yang lebih mencabar dan mampu meningkatkan tahap kemahiran masing-masing di peringkat antarabangsa.

Berdasarkan latihan yang diadakan baru-baru ini, kami lihat ramai peserta mempunyai potensi besar untuk pergi lebih jauh lagi dalam sukan badminton. Kebolehan mereka perlu terus digilap dan saya yakin, dengan latihan yang mencukupi serta persiapan fizikal dan mental secara menyeluruh, kita mampu melahirkan atlit badminton yang cemerlang di masa akan datang.”

Mr. Norio Imai, Pengarah Kejurulatihan Badminton, Jawatankuasa Olimpik Jepun berkata:

“Kem Badminton Astro merupakan sebuah program pembangunan sukan yang sangat baik dan wajar diberikan pujian. Kami begitu teruja apabila diberikan peluang untuk menjadi tuan rumah dalam penganjuran Latihan Intensif Kem Badminton Astro di Tokyo. Diharap kerjasama ini mampu membuahkan hasil dan berjaya membantu Malaysia dalam melahirkan barisan pelapis sukan badminton yang mampu mengharumkan nama Negara. Para peserta Kem Badminton Astro tahun ini terbukti lebih baik dan berpotensi tinggi.”

Keunggulan para peserta Kem Badminton Astro semasa menjalani Latihan Lanjutan Intensif telah membuatkan Park Joo-bong, Ketua Jurulatih Pasukan Kebangsaan Badminton Jepun terpanggil untuk melihat sendiri kebolehan mereka. Beliau juga telah meluangkan masa melatih para peserta dan turut juga berkata:

“Ia adalah perkara yang baik untuk memberi peluang kepada pemain badminton muda untuk menimba pengalaman berlatih di peringkat antarabangsa. Dengan adanya usaha-usaha murni sebegini, ia akan membantu anak-anak muda mendapatkan ilmu dan mempelajari teknik berbeza daripada Jurulatih-Julrulatih Kebangsaan Jepun.”

Peserta Kem Badminton Astro telah didedahkan dengan pelbagai latihan fizikal dan teknik-teknik sukan badminton oleh jurulatih berkelayakan sepanjang berada di Jepun. Mereka turut berpeluang untuk mempelajari budaya masyarakat tempatan dan bertukar pandangan serta buah fikiran dalam memperbaiki kemahiran masing-masing. Kemampuan peserta telah diuji dalam perlawanan persahabatan menentang Pasukan Remaja Kebangsaan Jepun dengan keseluruhan perlawanan berpihak kepada Kem Badminton Astro.

Muhammad Fazriq (11 tahun) dari Kuala Lumpur adalah salah seorang peserta cemerlang Kem Badminton Astro dan merupakan anak bongsu kepada legenda Sukan Badminton Negara, Dato’ Razif Sidek. Menurul Fazriq:

“Latihan di Jepun sangat padat dan jurulatih-jurulatih Jepun sangat tegas. Mereka amat menitik beratkan ketahanan fizikal, oleh itu tidak hairanlah mereka begitu ‘fit’. Saya akan terus mempraktikkan teknik-teknik latihan serta displin yang telah saya pelajari di Tokyo dan ianya menjadikan saya lebih bersemangat menjadi pemain badminton yang berjaya seperti papa.”

Anson Cheong Yan Feng (12 tahun) dari Perak terpilih sebagai “Peserta Terbaik” oleh Jurulatih Kebangsaan Jepun. Beliau juga mendapat 6A dalam peperiksaan UPSR terkini. Anson berkata,

“Saya ingin menjadi seorang pelajar dan pemain badminton yang berjaya, oleh itu saya sentiasa memastikan akademik dan sukan saya berada pada tahap terbaik. Saya sangat bersyukur kerana telah dipilih untuk menjalani latihan di Jepun. Walaupun latihan telah tamat tetapi saya amat berpuas hati dengan pengalaman berharga yang saya perolehi. Saya berharap untuk mewakili Malaysia dan kembali ke Jepun untuk Sukan Olimpik 2020!”

.

Salah seorang peserta, Yeshveenii Kalaiselvan (12 tahun) yang berasal dari Kedah telah terpilih sebagai “Pemain Wanita Paling Berpotensi” oleh Jurulatih Kebangsaan Jepun dan juga mendapat 6A dalam peperiksaan UPSR terkini.

“Saya sangat gembira dengan peluang yang diberikan oleh Astro Kasih untuk mengikuti Program Latihan Lanjutan Intensif di Tokyo, Jepun ini. Program ini telah memberi saya semangat untuk terus berusaha menjadi pemain badminton terbaik pada hari ini dan di masa-masa yang akan datang. Saya berjanji tidak akan mensia-siakan peluang ini dan pengalaman yang saya kecapi sepanjang berada di Jepun, dan akan saya kongsi bersama rakan-rakan sekembalinya kami di Malaysia.”

Sejak diperkenalkan pada tahun 2012, Kem Badminton Astro telah berjaya menarik lebih dari 6,300 orang bakat-bakat muda untuk hadir ke sesi pemilihan yang diadakan di lokasi-lokasi terpilih seluruh Malaysia. Program ini dibuka untuk remaja warganegara Malaysia berumur di antara 10 hingga 12 tahun dan untuk tahun ini, sesi pemilihan telah diadakan di enam lokasi di seluruh Malaysia seperti Pulau Pinang, Kelantan, Johor, Sabah, Sarawak dan Kuala Lumpur yang mana telah berjaya menyaksikan kehadiran lebih dari 1,600 peserta.

60 peserta terbaik telah terpilih untuk menjalani saringan kedua dan latihan selama seminggu kelolaan jurulatih profesional dan bertauliah Persatuan Badminton Malaysia. 30 peserta cemerlang telah terpilih menjalani latihan lanjutan intensif di Tokyo, Jepun.

Untitled

Untitled

Untitled

Untitled

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Sinopsis Drama Bersiri CIK CINDERELLA DAN ENCIK TENGKU

TGV Cinemas Anjur Tayangan STAR WARS: THE FORCE AWAKENS Selama 7 Jam