in

Kem Badminton Astro Cari Bakat Baru di Pulau Pinang

Berita baik buat golongan belia dan generasi muda yang bercita-cita untuk menjadi jagoan badminton negara kerana Astro sekali lagi akan menganjurkan Kem Badminton Astro yang akan mula dibuka untuk pendaftaran khas buat kanak-kanak berumur 10 hingga 12 tahun yang mempunyai bakat dan minat mendalam terhadap sukan badminton. Gelanggang sesi latihan percubaan akan mula dibuka pada hari Sabtu ini, 17 Mei 2014 bertempat di Dewan Badminton Berapit, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Kem Badminton Astro adalah sebahagian daripada kerjasama antara Astro, Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Belia dan Sukan, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Sekolah Badminton Li Yongbo. Program ini bertujuan untuk memberikan peluang buat bakat-bakat muda menjalani struktur latihan dan pelbagai aktiviti bagi meningkatkan potensi mereka dalam sukan ini dari pemain amatur kepada pemain bertaraf dunia di samping memupuk minat mendalam serta penyertaan yang lebih ramai daripada generasi muda.

Para peserta terbaik semasa siri Kem Badminton Astro tahun lepas

David Yap, Pengarah Hal Ehwal Komuniti Astro berkata

“Kami sangat berbesar hati dengan maklum balas positif yang kami terima melalui penganjuran program ini. Program ini ternyata telah berjaya menggilap potensi para pemain, meningkatkan kemahiran badminton dan memantapkan kekuatan fizikal serta mental mereka. Penganjuran program pembangunan belia Kem Badminton Astro untuk tahun ini merupakan sesuatu yang istimewa tatkala bakat-bakat muda yang terpilih akan diberikan peluang untuk merasai pengalaman berharga menjalani latihan dan berentap di Sekolah Badminton Li Yongbo yang berprestij.”

Untuk tahun ini, program pembangunan belia Kem Badminton Astro dikendalikan oleh barisan jurulatih professional yang diketuai oleh bekas pemain badminton nombor satu dunia, Wong Choong Hann dan beliau akan dibantu oleh tiga orang lagi bekas pemain badminton negara iaitu Lee Wan Wah, Chan Chong Ming dan Chew Choon Eng.

Seramai 60 peserta yang berpotensi akan dipilih daripada sesi latihan percubaan untuk menjalani latihan intensif selama seminggu bagi meningkatkan tahap kemahiran, kecergasan dan strategi mereka. Seusai sahaja latihan intensif di Kuala Lumpur, seterusnya seramai 30 peserta terbaik akan diberikan peluang untuk menjalani Latihan Intensif Lanjutan selama dua minggu di pusat latihan badminton terkemuka dunia iaitu Sekolah Badminton Li Yongbo di Dongguan, China pada hujung tahun ini. Akademi tersebut yang dinamakan bersempena dengan ketua jurulatih pasukan badminton negara China itu diketuai oleh Tang Xianhu yang bertindak selaku pengetua dan merupakan seorang jurulatih badminton terkemuka yang telah melatih ramai pemain badminton masyhur negara China antaranya Lin Dan. Akademi ini juga menjadi pusat latihan pasukan kebangsaan serta menyediakan salah satu struktur program latihan terbaik di dunia.

Tang Xianhu, Pengetua Sekolah Badminton Li Yongbo berkata,

“Saya berasa sangat gembira atas kesedaran sebuah syarikat perbadanan seperti Astro akan kepentingan untuk memupuk serta melahirkan pelapis jaguh badminton dunia sedari awal lagi. Saya teruja untuk melihat kerjasama di antara Kem Badminton Astro dan Sekolah Badminton Li Yongbo dalam melatih bakat-bakat muda dari Malaysia. Untuk berdekad lamanya, negara China dan Malaysia telah melahirkan ramai pemain badminton terbaik dunia. Saya percaya melalui interaksi dan latihan yang dijalani oleh bakat-bakat muda dari dua negara ini akan meningkatkan lagi kualiti barisan jaguh badminton masa depan ke tahap yang lebih tinggi”.

Bagi yang berminat untuk menyertai program ini, sila mendaftar secara atas talian di www.astrokasih.org/kembadminton. Harap maklum bahawa pendaftaran langsung pada hari sesi latihan (walk in registration) tidak akan dilayan.

Sesi pemilihan para peserta Kem Badminton Astro untuk tahun ini akan dilakukan di enam buah negeri terpilih. Sertai program pembangunan belia Kem Badminton Astro dan rebut peluang ini untuk menjadi pelapis pemain badminton professional negara. Butiran sesi-sesi latihan percubaan adalah seperti berikut :-

No Tarikh Lokasi
1 Sabtu, 17 Mei 2014 Dewan Badminton Berapit,

Bukit Mertajam, Pulau Pinang

2 Jumaat, 23 Mei 2014 Dewan Persatuan Badminton Larkin,

Johor Bahru, Johor

3 Jumaat, 13 Jun 2014 Stadium Negeri Kuala Terengganu,

Terengganu

4 Sabtu, 9 Ogos 2014 Dewan Badminton Kompleks Sukan Likas,

Kota Kinabalu, Sabah

5 Sabtu, 16 Ogos 2014 Thumb’s Up Badminton Academy,

Sibu, Sarawak

6 Sabtu, 23 Ogos 2014 Pioneer Badminton Centre,

Kuala Lumpur

 

Untuk maklumat lanjut berkaitan Kem Badminton Astro, sila layari www.facebook.com/astrokasihmalaysia.

Salah seorang peserta terbaik pada siri Kem Badminton Astro tahun lepas

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Zack Snyder Tayang Ben Affleck Pakai Kostum Batman

NOH HUJAN

Noh Hujan Bakal Muncul Dengan Album Solo