Buat pertama kali dalam sejarah, watak adiwira tempatan paling ikonik, Keluang Man, telah membawa ribuan peminat berkumpul di Kuala Lumpur menerusi acara Keluang Man WONDA Fun Run, sebuah larian bertemakan superhero hasil kerjasama eksklusif antara Astro Shaw, Wonda Kopi, dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Acara yang berlangsung bersempena program Car Free Morning ini bukan sekadar aktiviti sihat, tetapi satu bentuk promosi kreatif menjelang tayangan filem live-action Keluang Man yang bakal menemui penonton di pawagam mulai 29 Mei 2025.
Larian Bertemakan Superhero Yang Sarat Dengan Aksi, Nostalgia Dan Semangat Komuniti
Lebih daripada 7,000 peserta pelbagai peringkat umur membanjiri kawasan Menara DBKL seawal pagi. Acara dimulakan dengan sesi memanaskan badan sebelum pelepasan rasmi larian sejauh 5 kilometer tepat jam 7.00 pagi. Apa yang menjadikan acara ini unik adalah kehadiran watak Keluang Man dan maskot BeBe, bersama YBhg. Dato’ Seri TPr (Dr.) Maimunah binti Mohd Sharif, Datuk Bandar Kuala Lumpur yang menyempurnakan pelepasan larian (flag-off).
Suasana pagi itu berubah menjadi lebih ‘epik’ apabila peserta memakai topeng Keluang Man, menjiwai karakter adiwira tempatan penuh nostalgia ini. Mereka yang mendaftar awal turut menerima jersi eksklusif edisi terhad, menjadikan acara ini satu pengalaman peribadi dan penuh gaya.
Barisan Pelakon Popular Turut Memeriahkan Acara
Acara ini turut dimeriahkan oleh barisan pelakon filem Keluang Man seperti Nas Muammar Zar, Datuk Rosyam Nor, Shweta Sekhon, Anwaar Beg Moghal, Sham Sunder, Razzuan Rosli, dan penyanyi lagu tema filem, Krisyaserta kumpulan S.O.G. Mereka bukan sahaja hadir sebagai tetamu tetapi turut menyertai larian dan beramah mesra bersama peminat.
Menurut Raja Jastina Raja Arshad, Ketua Astro Shaw merangkap penerbit eksekutif filem ini:
“Kami amat berterima kasih atas sokongan teguh peminat Keluang Man serta para peserta larian, dan juga rakan kerjasama Wonda Kopi dan DBKL yang telah merealisasikan acara larian ini. Ia bukan sahaja meraikan kemunculan filem Keluang Man, tetapi membawa dunia Keluang Man lebih dekat kepada masyarakat. Nilai-nilai seperti keberanian, kekuatan dan ketangkasan yang ada pada Keluang Man diharap mampu memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia.”
Penuh Aktiviti Menarik, Hadiah Hebat Dan Hidangan Unik
Bukan setakat larian, para peserta juga disajikan dengan pelbagai aktiviti menarik di booth acara, antaranya sesi bertemu dan bergambar dengan pelakon, persembahan pentas oleh Krisya dan S.O.G, cabutan bertuah, serta jualan barangan eksklusif Keluang Man.
Paling menggoda selera, peserta juga berpeluang merasa Wonda Kopi Kluang, mencuba Wonda-ful Keluang Man burger, dan menikmati tawaran istimewa daripada Iconic Animation Studio, Fung Keong dan Abstrax. Tidak ketinggalan, siaran luar oleh radio ERA yang menambahkan lagi kemeriahan suasana.
Kejayaan Kolaborasi Keluang Man Dan Wonda Kopi
Sebagai sebahagian daripada kempen promosi yang kreatif dan berimpak tinggi, kerjasama antara Keluang Man dan Wonda Coffee telah membuahkan kejayaan apabila produk Wonda Kopi Kluang mencatatkan jualan melebihi 2 juta tin dalam tempoh hanya 8 bulan. Ini membuktikan jenama lokal masih mampu mencipta gelombang besar apabila digabungkan dengan elemen budaya pop yang kuat.
Filem Keluang Man Bakal Gegar Pawagam Seluruh Negara
Filem Keluang Man merupakan hasil terbitan Astro Shaw dengan kerjasama GSC, Idea River Run, dan Pasal Productions, serta sokongan Wonda Kopi sebagai rakan strategik utama. Filem ini diarahkan oleh Anwari Ashraf dan menampilkan pelakon berbakat besar termasuk Dato’ Remy Ishak, Halim Othman, Amelia Henderson, Dennis Yin, dan ramai lagi.
Treler rasmi akhir filem ini telah dilancarkan baru-baru ini dan mencatat hampir 10 juta tontonan di TikTok @astroshawofficial, menandakan minat luar biasa terhadap kebangkitan semula ikon adiwira tempatan ini.
Filem ini mengisahkan Borhan, seorang pesakit psikiatri yang sering melarikan diri dari hospital pada waktu malam. Namun apabila sejarah silamnya mula menghantuinya, keadaan menjadi semakin rumit. Pesakit yang menghidapi Dissociative Schizophrenia ini secara tidak sengaja membentuk identiti baru sebagai Keluang Man, seorang superhero misteri yang lahir daripada trauma dan dendam silam.
Apa Kata Budiey?
Budiey melihat acara ini sebagai satu strategi promosi filem tempatan yang sangat luar biasa dan penuh emosi, bukan sekadar memperkenalkan filem kepada penonton, tetapi membangkitkan semangat kebersamaan dan identiti rakyat Malaysia melalui figura adiwira lokal. Larian ini bukan hanya larian biasa, tetapi simbol perjuangan Keluang Man sebagai seorang wira yang bangkit dari luka jiwa dan memilih untuk melindungi, bukan membalas dendam.
Acara sebegini wajar diteruskan bagi filem-filem tempatan lain yang punya potensi budaya dan sokongan peminat tegar. Keluang Man bukan sahaja akan hidup dalam layar perak, tetapi juga dalam hati dan semangat komuniti.
Untuk sebarang kemas kini atau konten menarik tentang filem ini, ikuti Astro Shaw dan Astro Gempak di media sosial serta gunakan #KeluangMan dan #KeluangManMovie untuk sertai gelombang kebangkitan adiwira Malaysia.