in

Karyawan Sumbang Duit Raya Untuk Artis Veteran

KARYAWAN SUMBANG DUIT RAYA UNTUK ARTIS VETERAN DAN RAIKAN ANAK-ANAK YATIM SEMPENA MAJLIS PELANCARAN BAZAAR RAYA MERDEKA 2011

Sempena Menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelma tidak lama lagi, Persatuan Karyawan Malaysia telah mengadakan satu majlis berbuka puasa bersama artis-artis veteran, anak-anak yatim dan media di Bazaar Raya Merdeka Karyawan yang bertempat di River City, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.

Majlis yang juga merupakan sempena Majlis Pelancaran Bazaar Raya Merdeka Karyawan yang disempurnakan perasmiannya oleh YB Dato’ Ismail sabri, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK). Turut memeriahkan majlis adalah YB Dato’ Hj. Abdul Manan Ismail, Pengerusi Perbadanan Harta Intelek (MyIPO), Bhg.Dato’ Daud bin Tahir, Timbalan Ketua Setiausaha KPDNKK, YBhg. Dato’Kamaruzaman Che Mat, Pengarah Urusan Bank Rakyat, YBhg.Dato’ Azizan Mohd. Sudin, Ketua Pengarah MyIPO, YBhg.Datuk Sarimah Ahmad, Pengerusi Kehormat Persatuan Karyawan Malaysia, dan Presiden Persatuan Karyawan Malaysia, YBhg.Dato’ Freddie Fernandez.

karyawan

Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia merupakan dua buah agensi yang bernaung di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan turut menyumbangkan sumbangan kepada Persatuan Karyawan Malaysia. Selain itu, MyIPO turut membuka sebuah gerai sebagai penyalur informasi mengenai peranan MyIPO dalam memelihara harta intelek kepada orang awam. Pengerusi MyIPO, YB Dato’ Abdul Manan Ismail berharap agar orang ramai yang datang membeli-belah di Bazaar Raya Merdeka Karyawan 2011 ini, dapat memanafaatkan sepenuhnya gerai informasi MyIPO untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai hak-hak dan bagaimana memelihara harta intelek.

Bank Rakyat juga telah berbesar hati untuk menyumbang sumbangan berbentuk wang tunai sebanyak RM20,000 untuk 2 buah rumah anak yatim yang baru dibina, yang terletak di Bukit Jelutong dan 17 artis veteran Persatuan Karyawan Malaysia. Pengarah Urusan Bank Rakyat, YB Datuk Kamaruzaman Che Mat berkata, pihak Bank Rakyat amat berbesar hati untuk menyumbang sedikit sumbangan kepada para artis veteran yang memerlukan di samping sumbangan duit raya kepada anak-anak yatim seperti yang biasa dilakukan di tahun-tahun sebelumnya.Presiden Persatuan Karyawan Malaysia, YBhg. Dato’ Freddie Fernandez berkata; “Kami di Karyawan amat memetingkan kebajikan para artis, terutamanya para artis veteran yang selama ini menghiburkan kita semua sejak dulu lagi. Apa salahnya kita hulurkan bantuan sesama kita. Saya harap, akan ada lagi agensi-agensi seperti MyIPO, SSM dan Bank Rakyat, yang sangat prihatin terhadap isu kebajikan artis Malaysia. Terima kasih banyak- banyak kepada mereka kerana menyumbang duit raya artis veteran pada tahun ini. Hanya Tuhan yang membalas jasa baik anda semua” Tambah beliau lagi, “Memandangkan kempen 1Malaysia yang sangat menjadi kebanggan rakyat Malaysia sekarang, apa kata kita buat 1 Persatuan untuk para penggiat seni tanahair. Lupakan segala pergolakan, politik dan pertelingkahan antara kita yang tidak mendatang hasil. Sempena bulan puasa ini, marilah kita sama-sama bersatu dan bernaung di bawah 1 (SATU) PERSATUAN demi kebaikan bersama.”

Turut memberi sumbangan adalah pihak Pasaraya Besar Giant yang sudi menyumbangkan sumbangan berbentuk voucher.

Datuk Sarimah Ahmad turut meluahkan rasa terharu dan berterima kasih kepada para media yang tidak henti-henti memberikan sokongan kepada Persatuan Karyawan Malaysia. Kata beliau, “Media adalah tunggak utama kami untuk sampai ke tempat yang kami berada sekarang. Bagai aur dengan tebing, media dan artis haruslah sama-sama berganding bahu membantu antara satu sama lain. Terima kasih kerana sokongan anda selama ini.”

Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Ustaz Syed Mahdi, Ketua Biro Agama Islam Persatuan Karyawan Malaysia diikuti dengan ucapan YB Menteri dan sumbangan kepada anak-anak yatim dan artis-artis veteran.

karyawan

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Karyawan Sedia Platform Untuk Artis Berniaga

Astro Raikan 1Malaysia Dengan Lebih 50 Program Baru