in , ,

Karnival Jom Heboh 2022 Putrajaya Disambut Meriah Lebih 300,000 Pengunjung 

Karnival Jom Heboh kembali gegarkan Malaysia!!! Selepas dua hari berkampung di Anjung Floria, Putrajaya, Karnival Jom Heboh (KJH) 2022 yang dibawakan oleh DuitNow telah melabuhkan tirainya dengan mencatatkan lebih 300,000 pengunjung datang berpusu-pusu dari pukul 8.00 pagi hingga 12.00 tengah malam.

Karnival Jom Heboh, acara padang yang diperkenalkan sejak tahun 2003 telah menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records sebagai Acara Padang Paling Lama di Malaysia pada tahun ini. Sijil pengiktirafan telah disampaikan oleh Ketua Pegawai Pemasaran Malaysia Book of Records, Jwan Heah kepada Eileen Lim, Pengurus Besar, Activation mewakil Media Prima Berhad.

Tarikan utama KJH semestinya belon udara panas kerana bayaran hanya RM1 sahaja dikenakan menerusi DuitNow. Tawaran menarik ini telah membuatkan para pengunjung telah beratur seawal pukul 7.30 pagi walaupun kaunter masih belum dibuka! Selain itu, pelbagai aktiviti menarik turut disediakan di gerai-gerai kendalian Media Prima Berhad seperti TV3, TV9, DidikTV, Hot FM, Molek FM, Buletin FM, OH BULAN, SEISMIK, VOCKET, Waktu Solat Malaysia dan WOWSHOP. Hari Rekreasi Putrajaya anjuran Perbadanan Putrajaya juga turut memeriahkan suasana persekitaran KJH sepanjang dua hari tersebut. 

Pengunjung memang ternanti-nantikan acara sebegini dan KJH muncul tepat pada waktunya. Rata-rata pengunjung kelihatan teruja apabila dapat bertemu secara berhadapan dan bergambar dengan barisan pelakon Drama Sangat iaitu Meerqeen, Anna Jobling, Fimie Don, Ummi Nazeera, Zara Zya, Sophia Albarakbah, Nazeera Sardi, Ruzana Ibrahim dan Salina Saibi.  Kegembiraan berganda apabila pengunjung berpeluang untuk berkaraoke bersama-sama dengan artis jemputan antaranya Sharifah Shahira, Fiza Thomas, Amelina dan Aiman Wynne. Pengunjung cilik juga berpeluang merakamkan memori indah bergambar dengan maskot Alif & Sofia dan Hang Omar Timor, dan menyertai pelbagai aktiviti menarik di booth DidikTV dan NSTP.

Keseronokan KJH tidak berhenti di situ sahaja! Konsert Jom Heboh yang dibawakan oleh Hot FM, Molek FM dan Buletin FM selama dua malam berturut-turut bermula pada pukul 9.00 malam telah dikerumuni hampir 10,000 pengunjung setiap malam. Walaupun hujan rintik mulai membasahi bumi, mereka tetap berada di hadapan pentas dengan ditemani payung. Antara pengacara terlibat adalah AG, Ally Iskandar, Hawa Rizwana dan Haiza. Sementara penyanyi terkenal tanah air pula adalah Siti Nordiana, Ara Johari, kumpulan Masdo, Insomniacks, Amsyar Lee, Ezad Lazim dan ramai lagi.

OMwww.jomheboh.com.my.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

MPO Mempersembahkan Buat Julung Kalinya ‘Three Nations Chamber Concert’

Kenapa Tak Tegur Bila PM Pakai Batik Keluaran Tempatan?