Dalam usaha mengangkat kepentingan penjagaan kulit sebagai sebahagian daripada kesihatan masyarakat, KAO Malaysia melalui jenama penjagaan kulit terkenal mereka, Bioré, telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Universiti Malaya (UM). Perkongsian ini hadir selepas kejayaan kempen “Skin Protection, Life Perfection”, sekali gus menandakan buat julung kalinya KAO menjalinkan kerjasama akademik di Malaysia.
Dengan dana sebanyak RM50,000, dua inisiatif utama akan dilaksanakan bersama UM. Pertama ialah program komuniti “Beautiful Change Begins with Us” yang diterajui oleh UMCares. Program ini memberi fokus kepada kesedaran kebersihan, kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan mental melibatkan golongan remaja, dewasa dan kanak-kanak. Inisiatif kedua pula adalah penyelidikan bertajuk “Innovative Clean Skincare Formulations for Skin Protection and Healthy Living” oleh Fakulti Sains UM, yang akan meneliti formulasi inovatif untuk penjagaan kulit bersih dan sihat.
Fokus Kepada Penyelidikan Saintifik Dan Tanggungjawab Sosial
Menurut Mr. Yamazaki Hirobumi, Presiden KAO Malaysia:
“Kerjasama ini mencerminkan komitmen KAO untuk melangkaui inovasi produk semata-mata. Kami mahu mencipta kesan bermakna berasaskan sains dalam komuniti yang kami layani. Perlindungan kulit bukan hanya pilihan peribadi tetapi juga satu tanggungjawab kesihatan awam. Bersama Universiti Malaya, kami berbangga dapat memajukan visi ini demi manfaat rakyat Malaysia.”
– Mr. Yamazaki Hirobumi
Kenyataan ini menggariskan misi KAO – bukan sekadar mengeluarkan produk, tetapi menjadi peneraju dalam usaha pendidikan penjagaan kulit dan kesejahteraan masyarakat. Melalui dana 1% daripada jualan produk Bioré, KAO mahu memastikan hasil keuntungan mereka juga disalurkan semula untuk penyelidikan tempatan.
MoU Bersejarah Yang Satukan Dunia Industri Dan Akademik
MoU ini menjadi penanda aras baharu kerana ia adalah kerjasama akademik pertama KAO dengan sebuah institusi pengajian tinggi tempatan. Dengan UM sebagai rakan strategik, fokus diberikan untuk menghubungkan dunia sains dengan kesedaran masyarakat, menjadikan penjagaan kulit sebagai asas kepada kesihatan komuniti jangka panjang.
Associate Professor ChM. Dr. Noraini Ahmad, Pengarah UMCares berkata:
“Kami benar-benar berbesar hati dapat bekerjasama dengan KAO Malaysia dalam merapatkan jurang antara sains dan masyarakat. MoU ini adalah langkah bermakna yang membuka jalan untuk mengubah penyelidikan akademik kepada penyelesaian dunia sebenar – daripada pembangunan formulasi bersih sehinggalah kepada penglibatan komuniti yang lebih mendalam.”
Kempen Skin Protection Life Perfection Kukuhkan Keyakinan Masyarakat
Kempen “Skin Protection, Life Perfection” yang dilancarkan pada Mei 2025 bersama Watsons menekankan bahawa perlindungan kulit adalah kunci kepada keyakinan diri. Dengan falsafah “Cleanse. Protect.”, kempen ini menggabungkan pendidikan pakar, pengalaman pengguna yang menyeronokkan dan ganjaran eksklusif untuk ahli Watsons. Malah, melalui kempen ini, 1% daripada jualan Bioré disalurkan kepada penyelidikan tempatan.
Kini, dengan termeterainya MoU ini, ia bukan lagi sekadar kempen sementara tetapi menjadi komitmen jangka panjang. Universiti Malaya akan menerajui kajian baharu, melaksanakan program pendidikan awam dan menggerakkan kesedaran mengenai penjagaan kulit secara lestari dengan sokongan penuh daripada KAO dan Watsons.
Apa Kata Budiey?
Bagi Budiey, kerjasama antara KAO Malaysia dan Universiti Malaya ini adalah contoh terbaik bagaimana sebuah syarikat global boleh memainkan peranan penting dalam membina masyarakat yang lebih sihat. Penjagaan kulit bukan sekadar isu kosmetik atau kecantikan luaran, tetapi ada kaitan rapat dengan kesihatan awam, kesejahteraan mental dan kelestarian alam sekitar.
Kalau selama ini ramai melihat produk kecantikan hanya sebagai cara untuk tampil cantik, kerjasama ini membuktikan ada dimensi lebih besar iaitu ilmu sains dan kesedaran komuniti. Dana RM50,000 mungkin nampak kecil berbanding keuntungan tahunan syarikat gergasi, tetapi ia boleh menjadi benih yang mencetuskan perubahan jangka panjang.
Budiey rasa inilah masa yang sesuai untuk lebih banyak syarikat lain mencontohi langkah KAO – memindahkan sebahagian keuntungan kepada penyelidikan tempatan dan inisiatif komuniti. Bukan sahaja membina jenama lebih kukuh, tetapi juga mewujudkan legasi positif untuk generasi akan datang.