in , ,

“Kami Akui Keterlanjuran, Mahu Minta Maaf Sejak Awal,” – Lan Solo

Lan atau nama sebenar, Mohd Razlan Mohamed Yusof mengakui khilafnya dan bersedia menyelesaikan kes berkenaan sejak awal, namun terdapat syarat ditetapkan Siti Nordiana yang membuatkannya terpaksa melawan di mahkamah.

“Kami akui khilaf dan keterlanjuran kami. Sebagai manusia biasa, kami tiada masalah membuat permohonan maaf sejak awal lagi.

“Mungkin kes ini tidak akan berlanjutan sehingga kini. Namun, usaha kami memohon maaf disekat dengan beberapa syarat.

“Antaranya, kami perlu membuat permohonan maaf secara terbuka pada satu sidang media dan perlu membayar sejumlah wang besar nilainya kepada plaintif,” kata Lan pada sidang media di kediamannya, di sini, hari ini.

Semalam, Siti Nordiana atau Nana bersetuju menyelesaikan secara baik kes saman fitnah sebanyak RM2.5 juta yang difailkan terhadap Lan dan isterinya, Nur Sheila Hassim, 38, serta penyanyi Syura Badron, 37.

Saman itu turut membabitkan dua individu lagi iaitu Pegawai Perhubungan Awam syarikat rakaman, FMC Music, Sam Musyadzafar Samin, 45, dan jurusolek artis bebas, Razidah Ahmad Senusi, 43.

Lan yang pernah menyanyi sepentas dengan Nana berkata, atas dasar profesional, dia tidak ada masalah membuat permohonan maaf selepas mendapat nasihat daripada peguamnya, Azlan Abdul Razak.

“Permohonan maaf atas cadangan peguam masing-masing dan kami akur dengan cadangan ini. Dari awal kes bermula, kami akui kekhilafan dan keterlanjuran kami.

“Sebagai manusia biasa, kami tiada masalah untuk mohon maaf. Cuma, apabila ia diutarakan dengan beberapa syarat lain, ia tersekat,” katanya kepada BH Online.

Ditanya bagaimana hubungan Nana selepas ini, masing-masing terbuka untuk bertemu di mana-mana majlis dan tiada masalah kembali bekerjasama.

“Kami pernah bertemu di belakang pentas. Tak pernah bermusuhan. Malah, pernah berkongsi pentas sama.

“Kami akan bersikap profesional demi kerjaya. Malah, sebelum ini, kami sering digandingkan bersama,” katanya.

Sementara itu, Syura atau nama sebenar, Zuraidah Badron menyangkal dakwaan netizen menyifatkan dia dan rakan-rakan mempunyai ego tinggi untuk memohon maaf kepada Nana.

“Kami sebenarnya bersedia sejak awal lagi. Tak pernah rasa ada ego seperti persepsi orang ramai yang mengatakan kami buat salah, tetapi tak mahu minta maaf.

“Ada yang berkata kalau kami minta maaf sejak awal pasti tidak akan disaman RM2.5 juta.

“Tetapi seperti yang diberitahu, saya dan rakan-rakan merasakan syarat yang ditetapkan untuk membuat permohonan maaf agak melampau untuk dituruti.

“Bukan minta maaf itu melampau, tetapi jumlah wang diminta sangat besar. Bukan RM10, RM20 atau RM1,000,” katanya.

Isteri yang juga pengurus Lan, Nur Sheila berkata, perbuatan mereka yang mengadakan sesi siaran langsung di Instagram (IG) sehingga mencetuskan kontroversi bukanlah perkara baik, malah tidak berbangga dengan perbuatan itu.

“Kami tak pernah mengatakan perbuatan kami itu betul dan tak pernah bangga dengan perbuatan kami.

“Pengajaran yang saya dapat, andai perkara ini boleh diselesaikan secara baik, teruskan. Kalau bertangguh, akan mencetuskan lebih banyak spekulasi yang tidak benar.

“Apa yang kami bualkan pada malam itu, kami tak terfikir ke arah mana ia akan pergi seterusnya,” katanya.

Terdahulu, dalam pernyataan tuntutan Nana pada 20 Julai 2021, penyanyi itu mendakwa melalui siaran langsung di IG dikendalikan Nur Sheila yang disertai empat defendan lain menyiar, mengeluar dan menerbitkan kata-kata berunsur fitnah terhadapnya.

Peserta All Stars Gegar Vaganza (ASGV) itu mendakwa, fitnah itu membawa maksud antaranya dia bukan artis yang bersih dan dihormati, ego, tidak mendengar nasihat dalam segala perkara dan menggunakan wang serta populariti bagi memastikan dirinya dihormati.

Penyanyi Cinta Hanya Sandaran itu turut mendakwa kelima-lima defendan memadam siaran langsung daripada akaun IG masing-masing, namun ia tular dan dimuat naik semula ke laman YouTube dan masih boleh ditonton orang ramai.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Roborock

Jualan Roborock Sempena 12.12, Nah! Tawaran Diskaun Sehingga 60%

Sweetnya! Isteri Sedut Air Dari Mulut Aiman Tino, Netizen Kata Sweet Betul