in

Joe Flizzow

HAMPIR empat tahun selepas album terakhir, Rebirth Into Reality, kumpulan hip hop jenama Too Phat yang berdarah daging dan menjadi sebahagian daripada jasad Joe Flizzow seakan-akan hidup segan mati tak mahu.

Rakan duonya, Malique sekejap menghilang, sekejap timbul dan tahun lepas, Malique muncul dengan album solo pertama berjudul OK. Itu petanda bahawa Too Phat sendiri seolah-olah tinggal nama, walaupun belum berkubur tetapi kedua-dua anggota, Joe dan Malique, masing-masing sudah bergerak solo.

Apa sudah jadi dengan Too Phat? Joe bagaimanapun masih mempertahankan jenama yang mengangkat namanya sehingga pernah digelar duta menjaja identiti Malaysia dan etnik Timur ke persada Asia menerusi muzik hip hop.

Selepas dua tahun projek album solonya digerakkan, Joe Flizzow turut mengikuti jejak Malique dan kini memulakan perjuangan baru atas nafas The President, album solo pertamanya yang mula dipasarkan oleh Warner Music Malaysia pada 31 Disember 2008.

Joe sendiri tidak kecewa dengan keadaan yang berlaku terhadap Too Phat kerana dalam dirinya, muzik, Too Phat dan hip hop, tiga rangkaian yang tidak pernah dikesampingkan.

 Walaupun masing-masing sudah bergerak solo, sebagai pemilik syarikat rakaman sendiri, Kartel Records, tidak mustahil Joe dan Malique akan berkolaborasi. Namun dalam tempoh setahun dua ini, fokus Joe tertumpu terhadap The President.

“Kami masih berhubung bahkan Malique antara orang pertama yang saya SMS apabila kulit album saya siap.

“Kami tak pernah berpecah tapi selama ini saya banyak bergerak solo. Sebagai pemilik syarikat rakaman, sudah tentu saya ada rancangan untuk bekerjasama, tapi tidak dalam masa terdekat, mungkin tahun depan lagipun Malique dah kahwin dan nak jadi ayah tak lama lagi,” ujar Joe yang ditemui selepas pelancaran album solo sulungnya The President di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur, Khamis lalu.

Matang dalam banyak segi termasuklah dari segi imej serta adunan muzik dan lagu yang terisi dalam The President, Joe bukan lagi anak-anak remaja yang baru mengenali hip hop.

Dia tidak lagi bertopi senget, berkemeja-T mahupun berseluar londeh, sebaliknya segak dalam sut mahal bercampur elegan.

“Ya, saya dah matang. Umur pun dah masuk 30 tahun,” katanya ringkas.

Keluar daripada topik muzik, Joe ditanya tentang masa depan, memandang sudah mempunyai teman istimewa, apakah dia akan mengikat jodoh dalam masa terdekat?

“Kalau album saya jual dua juta unit baru saya kahwin,” ujar Joe spontan yang menyimpan banyak agenda demo gerakan solonya yang sedang membara.
MATANG. Tiada lagi topi senget, kemeja-T dan seluar londeh pada penampilan Joe.

Dengan nama The President, penampilan terbaru daripada Joe Flizzow ini membayangkan bahawa hip hop akan terus berkuasa dalam diri Joe walaupun iklim muzik sudah sekian kali bertukar musim.

Ketika anak-anak muda meraikan kemunculan band-band yang berpaksikan muzik indie, jalur muzik Joe masih hip hop bahkan hip hop yang diperindahkan dengan banyak elemen baru.

Kata Joe: “Saya boleh katakan, secara teknikal dan muzik yang digunakan menerusi The President adalah apa yang terbaru dan relevan dengan apa yang berlaku dalam suasana muzik sekarang terutama di luar negara. Saya fikir album ini untuk semua orang.”

Menjurus kepada ungkapan bahawa album itu untuk semua, mungkin maksud Joe terarah kepada Isabella, lagu rock paling popular sekitar 90-an dendangan Search yang masih menjadi siulan sehingga kini.

Lantaran Isabella merupakan lagu Melayu yang paling digemari Joe, Joe telah mendapat keizinan 100 peratus daripada Amy Search sendiri untuk menggunakan Isabella secara interpolasi untuk dimuatkan semula ke dalam The President.

“Untuk bahagian lagu Isabella, saya guna vokal dan muzik yang dirakamkan bukannya menjalani rakaman semula di studio.

“Ketika itu saya kekurangan masa tapi untuk projek istimewa nanti saya merancang untuk merakamkan semula lagu tersebut bersama-sama dengan Amy Search.

“Untuk lagu yang dimuatkan dalam album saya, Amy sendiri dah dengar, dan dia sendiri tak ada masalah dengan lagu itu,” jelas Joe yang kini berada di Jakarta untuk menjayakan satu persembahan sambil membina rangkaian untuk memecah pasaran ke Indonesia tahun ini.

Anak kelahiran Kuala Lumpur ini mengakui, pasaran Indonesia juga antara pencetus idea kepadanya untuk menyelitkan Isabella ke dalam The President.

“Ya, saya akui. Di Indonesia nama Search antara yang masih menjadi sebutan dan lagu Isabella sendiri ada pengaruh besar di sana,” katanya.

Selain Isabella yang meninggalkan kesan romantik, The President sebenarnya sarat elemen house music, pop serta R&B yang sangat mendekatkan Joe dengan penyanyi-penyanyi hip hop popular seperti Jazzy dan Puff Daddy.

Apa yang mengujakan Joe, album terbitan syarikatnya sendiri itu adalah hasil kolaborasinya bersama teman-teman seperjuangannya dari pelosok benua seperti Hardi Mirza dan Terry Tye Lee dari Singapura, Thaitanium (Thailand), Joeniar Arief (Indonesia), Jin (Amerika Syarikat) dan Phlowtron dari Malaysia.

Kolaborasi yang paling bermakna buat Joe adalah gandingan bersama pelopor muzik hip hop bertaraf legenda, iaitu Lawrence Krisna Parker atau lebih dikenali sebagai KRS-One.

“Tapi untuk lagu Get It Done kolaborasi bersama KRS-One, kami hanya gunakan teknik mastering secara internet (e-mastering).

“Lagu Mengapa Harus Kita Bercinta kolaborasi Hardy pula dibikin sebelum dirakamkan sebelum Hardy memenangi Singapore Idol,” cerita Joe tentang pengalaman penghasilan The President yang mengambil masa selama dua tahun.

What do you think?

73 points
Upvote Downvote

Comments

Leave a Reply

Loading…

0

Written by Budiey (Admin)

Penggemar filem seram yang sentiasa mengemaskini pengetahuan tentang gajet & teknologi masa kini dan masih tegar menjadi penulis portal hiburan & gaya hidup sepenuh masa sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber yang aktif menemubual selebriti dan menerbitkan video Buletin Viral di Budiey Channel.

David Teo: Personaliti Dunia Hiburan 2007

Malique Too Phat Keluar Album Baru Solo?