in ,

“Jika Tiada Bajet, Jangan Buat Drama” – Nabila Huda

Pelakon Nabila Huda meluahkan rasa kesal terhadap sikap segelintir syarikat produksi yang disifatkan ‘keras’ serta tidak bertimbang rasa dalam soal bayaran para pelakon.

Dipetik daripada laporan BH Online, Nabila berkata seharusnya mempunyai peruntukan yang cukup sebelum memulakan sesuatu projek.

Katanya, sebagai salah seorang pelakon senior yang berpengalaman luas dalam industri lakonan tanah air pasti mengharapkan bayaran setimpal dengan kualiti kerja yang dicurahkan.

Nabila Huda

“Sesetengah pengurus produksi apabila berurusan dengan artis, kalau boleh mahu kurangkan bayaran. Tolonglah, sekarang sudah 2018, tetapi bayaran kami masih sama seperti 10 tahun lalu. Harga barang naik, tetapi gaji kami semakin kecil.

“Jika tiada bajet, jangan buat drama. Kumpul dahulu dana, baru rancang buat drama atau filem. Ini duit tiada, tetapi ada hati mahu mendapatkan pelakon hebat. Setiap kali berurusan, pasti minta ‘harga kawan-kawan’.

“Sudah berbelas tahun saya terpaksa berdepan ayat yang sama. Sebagai pelakon, banyak perkara yang perlu saya fikir. Bayar dan saya akan berikan hasil kerja berkualiti kerja. Fikirlah sendiri.

“Jika mahu harga kawan-kawan, tanya agensi pencarian bakat atau ambil pelakon baharu,” luahan Nabila menerusi Instastory miliknya, baru-baru ini.

Sehubungan dengan itu, pelakon yang terkenal menerusi watak Aurora drama Dendam Aurora itu berharap agar pihak syarikat produksi lebih telus ketika menawarkan peluang berlakon.

Pada masa sama, dia turut menggesa agar pihak produksi tidak sewenang-wenangnya membatalkan tawaran pada saat akhir tanpa sebarang alasan.

“Saya tidak berkecil hati jika produksi berterus-terang kerana ini memudahkan saya mengambil tawaran lain. Jika tidak bersetuju dengan harga yang saya tetapkan atau bajet kecil, berterus-terang saja.

“Jika tidak jadi ambil berlakon atau mempunyai pelakon pilihan lain, beritahu. Jangan suruh saya kosongkan jadual, selepas itu diam. Saya juga ada kerja lain.

“Jangan biarkan saya terkapai-kapai menanti kerana saya juga ada bil yang perlu dibayar,” katanya dalam luahan itu.

Dalam satu insiden, Nabila mengakui terkilan apabila ada syarikat produksi tidak memberi sebarang makluman mahupun menghubuginya apabila tawaran untuknya dibatalkan.

Memetik sumber, Nabila bagaimanapun mengakui kesilapannya kerana tidak meminta wang pendahuluan agar tidak mengambil kesempatan oleh pihak berkenaan.

Sumber: Berita Harian

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Muzik Video HARAM – Hael Husaini & Dayang Nurfaizah Trending di Youtube

Peraduan Tayangan Premiere With Budiey Filem BAD SAMARITAN