in ,

JEMSON & FARASU Opening Act Konsert Loudness di The Bee, Publika

Jemson Dan Farasu – Dua ‘Supergroup’ Metal Negara Akan Membuka Persembahan Loudness Di Kuala Lumpur

Berita baik untuk para peminat muzik metal negara apabila dua ‘supergroup’ tempatan, Jemson dan Farasu, telah diumumkan baru-baru ini sebagai band pembuka bagi kumpulan Loudness dari Jepun yang bakal membuat persembahan di The Bee, Publika pada 10 November 2019 ini bersempena konsert jelajah Rise to Glory 2019.

Dengan kerjasama yang serasi, duo ini telah mengeluarkan single bertajuk “Rock N’ Roll Sampai Mati” yang kemudiannya telah digunakan sebagai lagu tema siri televisyen kembara Myo yang amat popular iaitu, Ride Hensem. 

Berasal dari Kuala Lumpur, Jemson dianggotai oleh Najmi (dulunya ahli kumpulan brutal metal dari Alor Setar, Malaysia yang dinamakan Incarnation) dan Myo, yang juga merupakan anggota utama fenomena rock tempatan, Oh Chentaku. Sebaik sahaja Incarnation dibubarkan pada tahun 2015, Najmi, yang juga produser kumpulan tersebut, terus sahaja memulakan projek solo dengan nama The Jameson Project – satu outlet kreatif baginya untuk bereksperimen dengan gaya penulisan lagu yang berlainan termasuklah secara berkolaborasi dengan Myo.

Jemson
Jemson

Persefahaman ini telah membawa kepada progres yang sangat organik dan mereka membuat keputusan untuk menubuhkan Jemson (sebagai penghormatan kepada nama projek asal yang dimulakan oleh Najmi). Baru-baru ini, Jemson telah mengeluarkan EP yang berjudul “Balada Cinta Kosmos” di bawah Oh Chentaku Records, yang mengandungi lima lagu sarat dengan pengaruh rock 80an dan juga elemen-elemen punk dan pop moden. 

Farasu
Farasu

Farasu, ditubuhkan asalnya oleh Nahak, Bull dan Fidaiyyin pada tahun 2012 di Serdang, Selangor, Malaysia. Ianya merupakan gabungan bekas ahli-ahli kumpulan Brave in Vision dan Iron Storm, dan bersama-sama mereka telah membuat persembahan pertama pada tahun 2013 di gig Eastern Loudness bertempat di Old House Pub dan mula mencipta nama sebagai band metal Malaysia yang amat popular di kalangan peminat-peminat muzik ‘underground’. 

Sejak itu, Farasu telah melahirkan beberapa album termasuk “Against the Tyranny” dan “Menongkah Arus”, dan bereksperimen dengan pelbagai genre muzik termasuk ‘Eastern trash’ dan ‘black metal’. Farasu juga berani mengetengahkan muzik tradisional Melayu di dalam hasil kerja mereka yang menghidangkan kelainan dan keunikan melodi di dalam lagu-lagunya. 

Tatkala banyak band tempatan lain tekad untuk terus memperjuangkan cara-cara lama untuk kekal ‘old school’, Farasu memilih untuk berevolusi. Ini menjadikan Farasu terus relevan dan mendominasi ‘scene’ metal di Malaysia malah turut menerima undangan membuat persembahan di luar negara seperti di Singapura, Indonesia, Taiwan dan China. Tahun lepas, Farasu telah mengeluarkan album mereka yang paling berjaya setakat ini iaitu ‘Sulalatus Salatin’ – yang penuh dengan unsur-unsur Metal Nusantara. 

Dipilih untuk membuat persembahan pembukaan bagi Loudness adalah satu penghargaan buat Jemson dan Farasu yang juga akan membuka peluang visibiliti di peringkat antarabangsa untuk kedua-dua band ini. Lagenda gergasi metal Jepun yang mula menempa nama menerusi Jelajah Amerika Utara dan Eropah pada 1983 ini merupakan band Jepun pertama di bawah label antarabangsa, Atlantic Records. Band yang dianggotai oleh Akira Takasaki (Gitaris), Minoru Niihara (Vokalis), Masayoshi Yamashita (Gitaris Bass) dan Masayuki Suzuki (Pemain Dram) ini telah berulang kali berjaya menembusi carta Billboard Amerika dan turut mencipta sejarah apabila menjadi artis Jepun pertama menggamatkan arena berprestij antarabangsa, Madison Square Garden.

Tiket konsert boleh dibeli di talian www.galactix.asia/loudnessKL dan bermula dengan RM178.00 (early bird – sold out), RM208.00 (advance), RM288.00 (VIP) dan RM238.00 di pintu masuk. Harga tiket tidak terkecuali fi ekstra. 

Lokasi rasmi adalah The Bee di Publika KL.

What do you think?

73 points
Upvote Downvote

Comments

Leave a Reply

Loading…

0

Written by Budiey (Admin)

Penggemar filem seram yang sentiasa mengemaskini pengetahuan tentang gajet & teknologi masa kini dan masih tegar menjadi penulis portal hiburan & gaya hidup sepenuh masa sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber yang aktif menemubual selebriti dan menerbitkan video Buletin Viral di Budiey Channel.

Che Ta Kecewa Ramai Penggiat Seni Tinggalkan Tempat Duduk di Anugerah Skrin 2019

Viu Menerbitkan Semula Sitcom Ikonik Malaysia KOPITIAM