in

Jebat & Mmmmm Juara Minggu Di Saingan Kedua Bintang Mencari Bintang

Saingan kedua Bintang Mencari Bintang musim ke-2 (BMB2) telah menyaksikan anak didik Adlin Aman Ramlie, JEBAT berjaya menjuarai Kumpulan A dengan 68.3 markah manakala anak didik Afdlin Shauki, MMMMM pula muncul sebagai juara dalam Kumpulan B dengan 78.2 markah. Malahan, JEBAT dan MMMMM juga menduduki carta tertinggi dalam Kumpulan A dan B selepas berlangsungnya 2 saingan. Lebih menarik, saingan kedua BMB2 ini juga memperlihatkan pola baharu dalam carta kedudukan Kumpulan A dan Kumpulan B kerana jurang markah antara semua pesaing tidak jauh.

Minggu lalu, kesemua anak didik dikehendaki mempersembahkan sebuah sketsa komedi bertemakan ‘silent comedy’ selama 3 minit dan nyanyian selama 2 minit. Pada malam konsert saingan kedua Kumpulan A (25 April 2014), TOKAN, anak didik kepada Faizal Ismail tampil sebagai peserta pertama dengan menyampaikan sketsa bertemakan bola iaitu uji bakat Mencari Ramlee. Seterusnya, persembahan LAMPU (Saiful Apek) pula mengambil ilham daripada cerita dongeng Aladdin dan lampu ajaib.

TAKTIH (Harun Salim Bachik) menyusuli dengan sketsa yang mengisahkan gelagat di dalam pawagam manakala JEBAT (Adlin Aman Ramlie) pula menggamitkan studio dengan persembahan mereka yang bertemakan Pertandingan Golf Sedunia. OOOOO (Afdlin Shauki) pula mempersembahkan sketsa tentang bapa tunggal mengambil lesen memandu dan PK (Ebby Yus) muncul sebagai peserta terakhir dengan sketsa keselamatan jalan raya.

Bagi saingan kedua Kumpulan B pada 27 April 2014 (Ahad) pula, SUMBU (Ebby Yus) membuka tirai dengan persembahan sketsa tentang tragedi malam raya yang melibatkan mercun. Seterusnya, KEPOH (Adlin Aman Ramlie) menyusuli dengan sketsa pertandingan gusti antara 2 wakil negara. Anak didik Saiful Apek, 2AZ (Saiful Apek) mempersembahkan sketsa yang berlatarbelakangkan zaman purba. Konsert saingan kedua BMB2 dihangatkan lagi dengan MMMMM (Afdlin Shauki) yang berlakon sebagai 2 pencuri yang ingin mencuri potret Monalisa di Muzium Kesenian. Persembahan EHAH (Harun Salim Bachik) pula gelagat kanak-kanak selepas menerima hadiah patung Superman dari ibu bapa. Satu-satunya peserta solo dalam BMB2, GBOB (Faizal Ismail) mengakhiri konsert malam tersebut dengan sketsa menerima kejutan sambutan hari jadi di perpustakaan.

JEBAT yang menduduki tangga tercorot semasa saingan pertama berjaya membuktikan kemampuan mereka sehingga dinobatkan sebagai juara minggu di saingan kedua. MMMMM pula menyaksikan peningkatan daripada saingan pertama dan menjadi juara minggu saingan 2 Kumpulan B dengan mendapat markah penuh dari kategori juri awam (20 markah) dan juri tetap (50 markah). Juara minggu ini menerima hadiah berupa sebuah mini iPad setiap orang ditaja oleh Radiglow.

Menurut Penerbit Eksekutif Bintang Mencari Bintang 2, Muhamad Sufian Isa:

“Tugasan saingan ke-2 telah memberikan cabaran besar kepada anak didik yang masih baharu dalam menguasai teknik-teknik untuk menjayakan sebuah ‘silent comedy’. Tanpa dialog, para peserta perlu pandai menggunakan bahasa tubuh, mimik muka dan juga props untuk menghidupkan sketsa masing-masing.

Mereka perlu ingat kerana barisan juri tetap telah meletakkan piawaian yang lebih tinggi untuk musim ke-2 ini, maka sifu dan anak didik perlu meningkatkan usaha untuk mencorakkan persembahan supaya lebih kemas dan kreatif. Mereka masih ada ruang untuk memperbaiki kelemahan masing-masing sebelum minggu penyingkiran yang akan diadakan pada konsert ke-4 nanti.”

Seramai 23 anak didik yang terdiri daripada 1 peserta solo dan 11 peserta kumpulan dipilih untuk menggamatkan saingan BMB2 kali ini. Setiap Sifu akan mempunyai dua anak didik yang bertanding iaitu satu dari Kumpulan A dan satu lagi dari Kumpulan B. Bagi saingan peringkat pertama, anak didik akan berentap mengikut kumpulan selama empat minggu dan anak didik yang mendapat markah terendah akan disingkirkan. Kemudian bagi peringkat kedua, anak didik dari Kumpulan A dan B yang belum tersingkir akan bertemu untuk bersaing di peringkat separuh akhir. Sebelum tiba minggu terakhir, hanya lima kumpulan, layak berentap di peringkat akhir BMB2 untuk merangkul gelaran juara sekaligus membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM200,000 berserta trofi.

Sepanjang 16 episod, BMB2 menampilkan Adibah Noor dan Achey sebagai pengacara program. Selain itu, BMB2 turut menampilkan nama besar di dalam industri tanah air, ikon yang cukup berpengalaman dan sememangnya ‘otai’ di dalam bidang hiburan iaitu Fauziah Ahmad Daud (Ogy) untuk mengisi kerusi juri pada setiap minggu. Manakala, dua lagi juri tetap bagi musim ini iaitu A.R Badul akan menjadi juri untuk konsert Kumpulan A dan Ahmad Idham juri untuk konsert Kumpulan B. Minggu ini, Hazama tampil sebagai juri jemputan untuk Kumpulan A manakala Maya Karin untuk Kumpulan B.

Untuk musim kedua ini, format permarkahan dibahagikan kepada 3 bahagian iaitu 50% daripada juri profesional, 30% melalui undian SMS dan 20% daripada juri awam yang terdiri dari kalangan pelajar seni persembahan, wartawan, golongan semi-profesional dalam industri sketsa komedi dan nyanyian. Juara BMB2 akan membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai RM200,000 berserta trofi.

Buat penonton dan peminat setia BMB2 bolehlah menghantar undian melalui dua cara iaitu melalui SMS dengan menaip BMB Nama Kumpulan dan hantar ke 33399 atau undian secara pukal, BMB5 Nama Kumpulan dan hantar ke 33399 atau melalui undian di akaun WeChat_BMB2014.

Di samping itu, penonton turut boleh menilai persembahan anak didik BMB semasa persembahan konsert berlangsung menerusi ‘Skala Bintang’ yang boleh didapati di www.tv3.com.my/bintang. Kemudian gerakkan skala bintang untuk mengundi persembahan anak didik. Keputusan penilaian ‘Skala Bintang’ akan muncul di kaca televisyen semasa konsert BMB2 bersiaran secara langsung.

Sementara itu, penonton berpeluang untuk mengenali dengan lebih dekat kesemua anak didik BMB2 menerusi KOMIK BMB yang akan disiarkan selama 30 minit pada setiap hari Ahad jam 5.30 petang. Program yang dihoskan oleh bekas anak didik BMB musim pertama iaitu kumpulan Titan ini juga akan membawa penonton melihat gelagat anak didik serta perkara-perkara yang bakal terjadi ketika mereka menghadiri kelas latihan dan juga perkara-perkara yang berlaku semasa mereka membuat persiapan untuk berentap di pentas BMB2.

Ikuti konsert mingguan BMB2 yang diterajui oleh Penerbit Eksekutif, Muhamad Sufian Isa yang disiarkan secara langsung dari Studio Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral Shah Alam pada setiap hari Ahad bermula jam 9.00 – 10.30 malam. Acara kemuncak BMB2 dijangkakan berlangsung pada 22 Jun 2014.

Untuk mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini tentang BMB2, penonton boleh melayari sesawang rasmi BMB2 di www.tv3.com.my/bintang dan laman sosial Facebook, Instagram & Twitter TV3Malaysia. Pengguna laman sosial Twitter boleh menggunakan ‘hash tag’ (#BMB2014) untuk menghangatkan lagi bahang BMB2! Selain itu, penonton yang terlepas menyaksikan program ini boleh menontonnya melalui laman sesawang Tonton di www.tonton.com.my.

BMB2 menampilkan D’HERBS sebagai penaja utama, WeChat sebagai penaja media sosial rasmi, Hot FM sebagai radio rasmi dan Hotel De Art sebagai penginapan rasmi peserta.

Berikut adalah carta kedudukan markah anak didik BMB2:

Sifu & Anak Didik Konsert 1 Konsert 2 Konsert 3 Konsert 4 Markah Terkumpul
Kumpulan AOOOOO (Afdlin Shauki)

TAKTIH (Harun Salim Bachik)

TOKAN (Faizal Ismail)

JEBAT (Adlin Aman Ramlie)

PK (Ebby Yus)

LAMPU (Saiful Apek)

47.1

56.2

54.7

41.6

57.5

61.9

49.8

42.4

54.8

68.3

38.5

47.1

96.9

98.6

109.5

109.9

96

109

Sifu & Anak Didik Konsert 1 Konsert 2 Konsert 3 Konsert 4 Markah Terkumpul
Kumpulan BMMMMM (Afdlin Shauki)

EHAH (Harun Salim Bachik)

GBOB (Faizal Ismail)

KEPOH (Adlin Aman Ramlie)

SUMBU (Ebby Yus)

2AZ (Saiful Apek)

63.6

49.8

66.0

52.3

71.3

60.9

78.2

62.3

43.6

62

49.1

36.9

141.8

112.1

109.6

114.9

120.4

97.8

Persembahan TOKAN pada 25 April

Hazama menyertai barisan juri untuk saingan kedua Kumpulan A pada 25 April

Persembahan TAKTIH pada 25 April

Persembahan JEBAT pada 25 April

Persembahan OOOOO pada 25 April

Persembahan PK pada 25 April

JEBAT juara minggu konsert saingan 2 kumpulan A

Persembahan SUMBU pada 27 April

Persembahan KEPOH pada 27 April

Maya Karin sebagai juri jemputan di konsert saingan 2 Kumpulan B

Persembahan 2AZ pada 27 April

Persembahan MMMMM pada 27 April

Persembahan EHAH pada 27 April

Persembahan GBOB pada 27 April (2)

MMMMM menjadi juara minggu untuk konsert saingan 2 Kumpulan B

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Sekitar Karnival Raudhah Di Hatiku 2014 di Ipoh Perak

Filem The Journey Dapat Anugerah Malaysia Book of Records