in , ,

Jangan Bunuh Matahariku Siri 2 Lakonan Rita Rudaini

Jangan Bunuh Matahariku Siri 2 Lakonan Rita Rudaini Kembali di TV2

Pastinya berita baik buat pengikut setia drama bersiri yang pernah singgah di hati penonton TV2 bertajuk Jangan Bunuh Matahariku lakonan pelakon cantik Rita Rudaini apabila Radio Televisyen Malaysia (RTM) bakal menyiarkan kesinambungan drama rantai tersebut mulai 7 Disember depan, setiap Rabu, jam 9.00 malam di TV2.

Mengekalkan 13 episod siarannya, Jangan Bunuh Matahariku siri 2 kali ini mengekalkan pelakon Rita Rudaini sebagai Suri di samping kemunculan Aqasha (Rahas), Azlee Khairi (Urwah), Geofrey Williams (Owen) dan Siti Fazurina dalam menghidupkan watak-watak penting dalam drama kekeluargaan, percintaan, pengkhianatan dan persahabatan ini.

Babak dalam Jangan Bunuh Matahariku Siri 2

Ia mengisahkan selepas kekasihnya Rahas meninggalkan Cameron Highland, Suri hidup dalam kemurungan. Saban hari dia hanya menantikan kepulangan kekasihnya itu. Pada masa sama suasana di Cameron Highland juga berubah. Ramai pekerja Tuan Micheal yang meninggalkan ladang itu dan Pak Darip, ayah Suri adalah di antara orang yang risau dengan keadaan kampung mereka. Dia juga marah terhadap Rahas yang telah memporak-perandakan kawasan itu dan menghilangkan diri.

Rahas sebenarnya melarikan diri ke kawasan pekan dan berkenalan dengan Ajak dan Urwah. Rahas kemudiannya menumpang tinggal bersama Ajak dan isterinya. Rahas begitu mempercayai Urwah hingga sanggup menceritakan segala-galanya termasuklah tentang cintanya pada Suri. Urwah pula mula menyiasat tentang Suri yang dimaksudkan Rahas dan dalam diam, Urwah menyintai Suri. Laila, tunang Urwah cemburu terhadap Urwah kerana selalu memerhatikan Suri.

Tuan Michael pula menyarankan agar Owen segera berkahwin dengan Suri memandangkan kesihatan dia yang tidak menentu. Hanya pada Ana, tempat Suri meluahkan perasaannya. Ana berpakat membantu Suri mencari Rahas di pekan kerana Ana pernah terdengar orang kampung ternampak Rahas di sana. Suri membuat alasan ke rumah kakaknya, Dahlia tetapi tidak berjaya apabila Pak Darib mengetahui Suri menipunya. Pak Darib mahukan yang terbaik buat Suri lalu mendesak Suri mengahwini Owen.

Urwah mencerobohi bilik Rahas lalu menemui beg yang mengandungi diari Rahas. Dia rupanya memiliki niat jahat untuk mendapatkan Suri dengan cara mudah. Melalui diari itu, Urwah belajar jadi seperti Rahas. Suri terpedaya apabila Urwah mengaku dirinya adalah Rahas kerana Suri yang dulunya buta tidak pernah melihat wajah Rahas.

Suatu hari, Suri melarikan diri apabila Pak Darib sibuk menguruskan majlis perkahwinannya dengan Owen. Dalam perjalanannya, Suri terjumpa Urwah yang baginya Urwah itu adalah Rahas. Urwah menyelamatkan Suri dengan membawa Suri ke rumahnya. Lalu berjayakah Urwah mahu mengahwini Suri? Bagaimana pula situasi Suri apabila mengetahui penyamaran Urwah?

Gandingan Aqashah dan Rita Rudaini

antara babak dalam Jangan Bunuh Matahariku 2

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Travelogue Dakwah Skuad Imam Muda

Merlin New Season