in , ,

Izara Aishah Mandy Chong dalam Drama KERANAMU LAILA

Setiap insan wajar dihargai dan dikasihi. Sekiranya anda telah dikhianati oleh orang tersayang, hilang tempat bergantung dan arah tujuan hidup, sentiasa ingatlah kepada Tuhan. Usah putus harapan kerana pegangan agama yang kuat pastinya dapat membimbing ke arah jalan yang betul.

Terbaru di slot Zehra, TV3 mempersembahkan sebuah drama bersiri terbitan Radius One Sdn Bhd, KERANAMU LAILA mulai 8 April 2011, setiap hari Jumaat, jam 9.00malam.

Diarahkan oleh sutradara Heykal Hanifah, drama bersiri 13 episod ini membariskan pelakon-pelakon handalan tanahair seperti Mandy Chong, Norman Hakim, Shahrul Nizam, Wan Elyas, Juhara Ayob dan Eyzendy serta kemunculan bakat baru Ixara Aishah. Berbekalkan cerita asal Rohizan Ramli dan olahan serta skrip nukilan Zuraidah Ramli, KERANAMU LAILA mengisahkan konflik hidup Tan May Ling (May), wanita naif yang dirundung malang setelah dikhianati dan ditinggalkan suaminya.

Ixara Aishah (Laila)

KERANAMU LAILA Drama Baru Sarat Dengan Konflik Agama, Cinta & Keluarga

[dropcap]H[/dropcap]idup May bagaikan pusingan roda. Dia yang berasal daripada sebuah keluarga yang berada telah jatuh cinta dengan pekerja ayahnya, Fendi, namun ketika mereka sedang diulit bahagia, May menjadi mangsa rogol oleh sekumpulan lelaki yang disangka musuh papanya. Apa yang berlaku telah memberi tamparan yang hebat pada May, namun Alex mampu menarik nafas lega apabila Fendi menyuarakan kesanggupannya untuk mengahwini May. May kemudiannya memeluk Islam dan menjadi isteri Fendi yang sah.

Namun, kebahagiaan yang dimpikan oleh May untuk hidup bersama Fendi berkecai apabila Fendi mula meragui kandungan May. Fendi menganggap kandungan May bukan anaknya, sebaliknya hasil haram dari kejadian rogol tempoh hari. Fendi mendesak May untuk menggugurkan kandungan namun May enggan.

Hubungan mereka mula berantakan. Kemelut semakin meruncing apabila Kamal tiba-tiba muncul dan mengakui yang anak di dalam kandungan May adalah hasil hubungan cinta mereka berdua. Kamal mengakui kononnya dia dan May adalah pasangan kekasih. Fendi rasa tercabar dan bertindak meninggalkan May ketika dia sedang sarat mengandung.

Rupa-rupanya, Fendi telah mengatur segalanya dan hanya mempergunakan May sebagai alat untuk membalas dendam terhadap Tauke Alex, ayah May yang dianggap sebagai penyebab kematian kedua-dua orang tuanya. May bertambah kecewa apabila mendapat tahu yang Fendi sebenarnya sudah berkeluarga sebelum mengahwininya. May nekad meninggalkan bayi di hadapan rumah Fendi kerana dia tidak mampu menyara anaknya, Laila. Walaupun Laila dibesarkan dengan penuh kasih sayang oleh isteri Fendi, Mazni, namun dia tidak dapat memaafkan ibu kandung yang sanggup membuang anaknya sendiri.

Norman Hakim (Fendi)

Norman Hakim (Fendi)

Masa telah berlalu dan kini, May menyara diri dengan hasil yang diperolehi dengan mengutip tin-tin kosong dan barang terpakai lain di lorong-lorong. May menerima simpati daripada seorang pemuda, Qayyum yang berkerja secara sambilan di sebuah cafe. Qayyum sering menyimpan tin-tin kosong untuk diserahkan kepada May. Setiap kali terdengar laungan azan dari masjid berdekatan, May tertarik mendengarnya. May merahsiakan pegangan agama daripada pengetahuan kawannya, Salimah kerana dia berasa malu pada dirinya yang jahil tentang agama Islam.

Fendi pula telah berjaya dalam perniagaannya setelah menerima sejumlah wang daripada Tauke Alex. Di sebalik aktiviti amal yang rancak dijalankan, Fendi sebenarnya mengharapkan penganugerahan pangkat dan bukannya ikhlas untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik. Fendi juga pandai menyembunyikan hubungannya bersama May daripada pengetahuan isterinya, Mazni. Mazni hanya mengenali May sebagai anak Tauke Alex yang telah menghilangkan diri selepas tragedi keluarganya.

Laila yang kini dewasa mengharapkan cinta daripada Qayyum tetapi Qayyum hanya menganggapnya sebagai kawan. Laila mula kecil hati dengan May kerana Qayyum lebih memberikan perhatian kepadanya. Apa yang Laila tidak tahu ialah May sebenarnya merupakan ibu kandungnya. May pula telah membuka hatinya kepada Allah dan mula mempelajari agama Islam daripada Salimah. May sentiasa berdoa agar dapat bertemu dengan anaknya suatu hari nanti tanpa mengetahui Laila ialah bayi yang ditinggalkan olehnya. Rahsia yang terpendam bertahun lamanya kini akan terbongkar apabila Fendi bertemu semula dengan May. Dapatkah Laila memaafkan dan menerima May sebagai seorang ibu? Apakah yang akan terjadi kepada Fendi, May dan Mazni? Adakah Qayyum akan menerima cinta Laila?

Jangan lupa untuk menyaksikan suka duka kehidupan seorang wanita muallaf yang terabai dan kisah sedih gadis muda naif yang hanya inginkan kasih sayang di dalam KERANAMU LAILA di slot Zehra, setiap hari Jumaat jam 9.00malam mulai 8 April 2011.

Mandy Chong (May)

Mandy Chong (May)

What do you think?

73 Points
Upvote Downvote

Comments

Leave a Reply

Loading…

0

Written by Budiey (Admin)

Penggemar filem seram yang sentiasa mengemaskini pengetahuan tentang gajet & teknologi masa kini dan masih tegar menjadi penulis portal hiburan & gaya hidup sepenuh masa sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber yang aktif menemubual selebriti dan menerbitkan video Buletin Viral di Budiey Channel.

Pertandingan Karaoke Interpretasi Kisah Cinta

Pesawat Lancar Single Terbaru HITAM