in ,

Isu Pendakwah Selebriti, Polis Terima 5 Lagi Laporan, Dakwaan Guna Ilmu Pengasih

Shah Alam: Polis Selangor menerima kira-kira lima lagi laporan polis terhadap pendakwah selebriti yang ditahan baru-baru ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, semua laporan itu diterima di dua daerah iaitu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam dan juga IPD Petaling Jaya dan siasatan masih berjalan. 

“Jumlah laporan terkini kira-kira empat hingga lima, jadi kita menyeru pada mangsa-mangsa agar tampil ke hadapan sekiranya mereka mangsa kepada pendakwah ini,” katanya selepas menerima sumbangan pelitup muka dan cecair pembasmi kuman daripada bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun selaku Pengerusi Bebas dan Bukan Eksekutif Inix Technologies Holdings Bhd di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini hari ini. 

Noor Azam berkata, berdasarkan siasatan awal, kebanyakan mangsa berusia 21 hingga 25 tahun dan pihaknya tidak menolak kemungkinan mangsa mudah tertarik dengan cara pendakwah terbabit meyakinkan mereka. 

“Apabila dia menggambarkan diri dia sebagai pendakwah yang boleh menenangkan dan meyakinkan mangsa terutamanya bercakap lebih menjurus kepada keagamaan, ini menjadi tarikan kepada mangsa. 

Berhubung dakwaan pendakwah terbabit menggunakan ilmu pengasih katanya, setakat ini pihaknya tiada maklumat mengenainya. 

Beliau berkata, semua laporan yang dibuat mangsa akan disiasat dan dikumpulkan dari pelbagai sudut, termasuk bagaimana perkenalan mereka juga medium apa yang digunakan. 

“Kalau siasatan lengkap, kita akan ambil tindakan. Kita akan kemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya dengan fakta-fakta dan bukti. Sama ada boleh dakwa atau tidak, keputusan itu terpulang kepada pihak pendakwaan,” katanya. 

Ketika ditanya mengapa kebanyakan mangsa mengambil masa lama untuk membuat laporan polis, katanya, berkemungkinan mangsa malu kerana ia membabitkan maruah diri. 

“Kadang-kadang mangsa malu, kita tidak boleh salahkan mangsa sebab ini melibatkan maruah tetapi apabila seorang keluar, mesti dua tiga orang mangsa akan keluar lagi.

“Jadi saya menyeru, yang pernah jadi mangsa datanglah ke balai dan buat laporan polis, kita akan ambil tindakan, tidak perlu takut,” katanya.

*Sumber: Harian Metro

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Tony Fernandes Airasia 2020 | 23

Tahniah! Santan Rai Ulang Tahun Pertama Dengan Pencapaian Membanggakan

Fattah Amin | 24

Fattah Amin & Fazura Belum Sedia Dedah Wajah Nur Fatima Aisya, Harap Peminat Bersabar