Setelah 10 tahun mengemudi arus muzik tempatan dengan lagu-lagu yang mencuit hati dan mengusik jiwa, akhirnya kumpulan Insomniacks bakal meledakkan pentas dengan konsert solo pertama mereka, Insomniacks: Echoes Of A Dream pada 12 Julai 2025 di Zepp, Kuala Lumpur. Wah, ini bukan calang-calang berita, geng! Lepas bertahun-tahun membina nama, inilah hadiah mereka untuk peminat yang setia menyokong dari awal.
Gandingan Trio Padu Yang Tidak Pernah Mengecewakan
Buat yang belum tahu (kalau tak tahu, memang ketinggalan zaman sikit la kan), Insomniacks dianggotai oleh Syed Mir Iqbal (Iqie) sebagai vokalis utama, Wan Arif Iskandar di posisi pemain bes, dan Danial Lee Hashim di posisi pemain gitar. Nama-nama ini dah lama jadi bualan peminat, bukan saja di Malaysia, tapi juga merentas sempadan ke Indonesia, Singapura, dan Brunei. Mereka bukan sekadar band ‘syok sendiri’, tapi benar-benar jadi suara generasi!
Lagu-Lagu Meletup Yang Menjadi Siulan Ramai
Tak sah cerita pasal Insomniacks kalau tak sebut lagu-lagu hits mereka. Siapa je yang tak kenal Pulang, Reminisensi, Sempurna, dan Igauan Malam? Ditambah pula kolaborasi mantap bersama Nabila Razali menerusi Cerita Kita, dan lagu duet Belum Mulai dengan Nabila Taqiyyah dari Indonesia yang berjaya menyambar Video Muzik Tergempak di Anugerah Gempak Most Wanted 2024. Senang cerita, mereka bukan band ‘biasa-biasa’.
Konsert Bersejarah Dengan Harga Tiket Paling Mesra Poket
Menurut Sufi Rashid, Pengarah Urusan SAH Entertainment, “Ini akan menjadi satu detik bersejarah buat Insomniacks kerana ia adalah konsert solo pertama mereka. Untuk jualan tiket pula, kami sepakat menawarkan harga mampu milik supaya peminat-peminat Insomniacks dapat bersama-sama mencipta detik bersejarah tersebut dan ia paling murah pernah dijual di Zepp KL selepas sekian lama.” Jujur cakap, ini langkah yang bijak dan menyentuh hati. Bukannya semua hari peminat boleh ‘lambung tangan’ depan pentas tanpa kempiskan dompet!
Perjalanan Dari YouTube Ke Carta Muzik Dan Spotify
Jangan lupa, perjalanan Insomniacks bermula dari bawah. Dari YouTube, mereka memuat naik cover lagu-lagu popular, hingga kini menjadi nama besar dengan empat lagu Top 10 dalam RIM Domestic Chart – Pulang, Sempurna, Reminisensi, dan Igauan Malam. Mereka juga mencipta sejarah sebagai artis pertama dengan empat lagu serentak di carta dan menjadi artis Malaysia kelima paling banyak distrim di Spotify pada 2024. Memang power!
Harga Tiket Dan Cara Pembelian
Untuk korang yang dah tak sabar:
- RM138 (Maniacks, berdiri)
- RM168 (Sempurna, tempat duduk)
- RM228 (Reminisensi, tempat duduk)
- RM6888 (Pulang, VIP box – ini confirm untuk yang nak feeling sultan)
Tiket mula dijual 5 Mei 2025 di laman Ticketmelon. Kalau terlepas, jangan nangis tepi bucu katil ya!
Apa Kata Budiey?
Bagi Budiey, konsert ini bukan sekadar persembahan muzik, tapi satu simbol penghargaan dan perjalanan panjangInsomniacks yang penuh liku. Dengan tiket mesra poket, ini peluang emas untuk peminat semua generasi berkumpul dan meraikan dekad pertama band ini.
Tapi jangan lupa, industri muzik kita perlukan lebih banyak konsert dengan semangat begini – meraikan muzik lokal sambil menjaga hati peminat. Kalau inilah standard baru konsert Malaysia, Budiey sokong seratus peratus!