in

Imam Muda Perkenal Mursyid Baru

Imam Muda perkenalkan empat Mursyid pelbagai bidang untuk bantu lahirkan Imam Muda terunggul

Setelah mengumumkan Dato’ Hassan Mahmud Al-Hafiz yang sekali lagi dipilih sebagai Mudir (pengetua) untuk menerajui Imam Muda musim yang kedua, Astro dengan berbesar hati memperkenalkan pula barisan Mursyid (guru) yang akan berperanan sebagai pembimbing dan penasihat serta tenaga pengajar untuk musim ini.

Pengurus Saluran Astro Oasis, Tuan Hj Izelan Basar bersama mudir dan mursyid-mursyid Imam Muda musim yang ke-2

Pengurus Saluran Astro Oasis, Tuan Hj Izelan Basar bersama mudir dan mursyid-mursyid Imam Muda musim yang ke-2

Imam Muda musim kedua menampilkan empat orang Mursyid yang kesemuanya merupakan muka baru sebagai tenaga pengajar untuk program ini. Mempunyai latar belakang dalam bidang pengkhususan masing-masing dan mereka adalah Ustaz Ikmal Zaidi, Ustaz Tuan Asmawi, Ustaz Izhar Ariff dan Ustaz Zulkefli Hamat.

Menurut Pengurus Saluran Astro Oasis, Hj Izelan Basar, “Imam Muda amat komited dengan usaha untuk menonjolkan golongan muda yang berpotensi untuk memikul tanggungjawab bukan saja sebagai seorang imam yang serba boleh tetapi juga pemimpin yang berwibawa. Justeru itu, kami amat serius dalam memastikan calon Imam Muda ini mendapat didikan terbaik daripada pelbagai bidang keagamaan sebagai pelengkap ke arah menjadi seorang Imam Muda.

Jika pada musim pertama kami memperkenalkan dua orang Mursyid untuk menjadi penasihat dan pembimbing kepada 10 Imam Muda, pertambahan kepada empat individu ini menunjukkan kekuatan azam kami untuk meningkatkan lagi kualiti Imam Muda yang akan dilahirkan daripada program ini. Secara tidak langsung juga calon Imam Muda musim ini perlu bersedia dari segi mental dan fizikal terhadap cabaran yang pastinya akan lebih hebat bakal dilalui oleh mereka sepanjang berada dalam program ini nanti.”

Bagi merancakkan lagi perubahan untuk musim ini, Mursyid bukan sahaja berperanan sebagai penasihat dan pembimbing kepada calon Imam Muda, malah akan turut serta sebagai tenaga pengajar dalam bidang masing-masing. Mereka ini juga yang akan menjadi tulang belakang dan bersama-sama dengan Mudir membentuk Imam Muda yang terunggul.

“Perubahan yang dilakukan ini menggalakkan lagi penglibatan Mursyid dan Mudir secara langsung dalam pengajaran dan pembelajaran Imam Muda. Ini akan menambahkan lagi keakraban mereka seterusnya memudahkan proses perkongsian ilmu. Bakal Imam Muda yang terpilih nanti perlu menggunakan peluang ini sebanyak mungkin untuk mencedok ilmu daripada mereka yang lebih berpengalaman,” ujar Izelan lagi

Sebelum ini, pihak Astro telah pun mewujudkan beberapa nilai tambah untuk memantapkan lagi program Imam Muda musim kedua. Antaranya dengan membuka peluang kepada Muslimin dari seluruh dunia untuk datang ke ujibakat serta menambahkan jumlah lokasi uji bakat untuk memberi lebih peluang kepada golongan muda untuk menyertai program ini.

“Sepanjang hampir dua bulan produksi Imam Muda musim kedua menjelajah ke enam buah lokasi Imam Muda di seluruh negara iaitu Johor Bahru, Kota Bharu, Alor Setar, Kuantan, Kota Kinabalu dan Kuala Lumpur. Sambutan yang diterima amat baik bukan sahaja daripada peserta, malam kaum keluarga dan masyarakat setempat. Lebih membanggakan, kualiti peserta yang hadir pada sesi temu duga juga meningkat berbanding tahun lalu.

Rata-rata peserta yang hadir pada tahun ini terdiri datang daripada bidang yang pelbagai. Selain mereka yang mempunyai latar belakang agama, kami turut menerima penyertaan daripada golongan profesional seperti pensyarah institut pengajian tinggi (IPT), jurutera, jurutera aero-angkasa, peguam dan pelajar bidang perubatan. Ini jelas menunjukkan penerimaan positif golongan profesional muda terhadap sebuah program keagamaan yang ditayangkan di Astro Oasis ini.”

Tambah Izelan, “Kami juga amat berbesar hati dengan penyertaan calon antarabangsa.. Walaupun kami tidak mengadakan sesi temu duga di negara luar, mereka sanggup datang ke negara ini semata-mata untuk menyertai program Imam Muda. Selain itu, penyertaan kumpulan pelajar Malaysia yang pulang dari Mesir turut merancakkan lagi sesi temu duga musim ini. Faktor-faktor inilah yang akan mewujudkan persaingan sengit pemilihan calon Imam Muda musim kedua yang sedang dijalankan sekarang.”

Siri pencarian IMAM MUDA musim kedua ini bakal bersiaran di saluran rasmi; Astro OASIS (saluran 106) bermula 1 April 2011. Butir-butir lanjut mengenai program-program dan barisan calon Imam Muda musim kedua akan diumum pada sidang media akan datang.

Mudir Imam Muda musim yang ke-2, Dato' Hassan Mahmud Al-Hafiz bersama mursyid-mursyid Imam Muda musim yang ke-2

Mudir Imam Muda musim yang ke-2, Dato’ Hassan Mahmud Al-Hafiz bersama mursyid-mursyid Imam Muda musim yang ke-2

What do you think?

73 Points
Upvote Downvote

Comments

Leave a Reply

Leave a Reply

Loading…

0

Written by Budiey (Admin)

Penggemar filem seram yang sentiasa mengemaskini pengetahuan tentang gajet & teknologi masa kini dan masih tegar menjadi penulis portal hiburan & gaya hidup sepenuh masa sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber yang aktif menemubual selebriti dan menerbitkan video Buletin Viral di Budiey Channel.

Yang Best Tentang LIFE UNEXPECTED Season 2

Fleetwood Mac