in , ,

Ideal & Thrive Well Jalin Kerjasama Tingkat Kesejahteraan Pekerja

Inisiatif Baharu Fokus Kepada Keseimbangan Fizikal Dan Mental Pekerja Korporat Demi Produktiviti Lebih Mantap

Dalam dunia korporat moden yang semakin mencabar, isu kesejahteraan pekerja kini menjadi keutamaan utama. Menyedari hakikat itu, Pusat Kesihatan, Fisioterapi dan Rehabilitasi Bersepadu, IDEAL, telah mengorak langkah dengan menjalin kerjasama strategik bersama perusahaan sosial Thrive Well. Kedua-dua pihak menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di IDEAL Bangsar, menandakan permulaan kepada program menyeluruh yang merangkumi aspek fizikal dan juga psikologi untuk pekerja korporat.

Tekanan Kerja Dan Burnout Jadi Cabaran Sebenar Dunia Korporat

Mengulas tentang kerjasama ini, Pengasas IDEAL, Dr. Faizi Rosli, menegaskan bahawa pekerja adalah aset paling bernilai dalam sesebuah organisasi. Katanya, tujuan utama inisiatif ini adalah untuk membantu warga korporat menguruskan tekanan kerja dengan lebih sistematik.

“Inisiatif ini dijangka mampu mengurangkan ketidakhadiran pekerja, mencegah keletihan melampau atau burnout, serta meningkatkan produktiviti tenaga kerja di seluruh Malaysia. Pekerja yang sihat adalah tulang belakang sesebuah organisasi yang berjaya. Kerjasama ini diwujudkan kerana saya percaya gabungan kepakaran kedua-dua pihak dapat membantu pekerja korporat menguruskan tekanan kerja dengan lebih berkesan,” jelas beliau.

Pernyataan ini seakan membuka mata banyak pihak bahawa isu burnout bukan lagi perkara remeh. Ia boleh menjejaskan bukan saja individu, malah prestasi keseluruhan syarikat.

Dr. Faizi Rosli menjelaskan dalam satu temubual media, pendekatan mereka berbeza kerana tidak hanya menumpukan kepada rawatan perubatan semata-mata.

Kami ingin menggabungkan penjagaan perubatan dengan rehabilitasi, latihan fizikal, dan latihan klinik bersama. Jadi, kami mempunyai pendekatan yang lebih holistik untuk menjaga pesakit,

Pengasas IDEAL, Dr. Faizi Rosli

Beliau menegaskan, pendekatan menyeluruh ini memastikan pesakit bukan sekadar dirawat dari sudut fizikal, tetapi juga diajar untuk mengubah gaya hidup serta rutin harian mereka bagi mencegah penyakit tidak berjangkit.

IDEAL & THRIVE WELL JALIN KERJASAMA

Beliau turut berkongsi bagaimana setiap cawangan IDEAL mempunyai fokus tersendiri mengikut keperluan masyarakat setempat. “Di Setiawangsa, perancang utama kami menumpukan kepada geriatrik iaitu rehabilitasi untuk warga emas, termasuk latihan untuk penyakit-penyakit belakang. Di Taipan, USJ pula lebih kepada aspek sukan kerana ramai atlet negara juga datang ke sana. Jadi, setiap lokasi sebenarnya melengkapi keperluan masyarakat di sekitarnya,” jelasnya. Dengan cara ini, IDEAL bukan sahaja menjadi pusat rawatan, tetapi juga tempat rujukan untuk golongan pekerja, warga emas, malah atlet profesional.

Namun, Dr. Faizi mengakui bahawa fokus yang terlalu tertumpu kepada rawatan fizikal dan perubatan mendedahkan satu kelompongan besar. “Pesakit kami sering datang bukan hanya untuk rawatan fizikal, tetapi mereka juga bercerita tentang masalah kerja, tekanan hidup, dan stress yang dialami. Kami sedar kami bukan profesional dalam bidang psikologi, jadi ada kekurangan di situ,” ujarnya. Dari sinilah timbul idea untuk memperluaskan program sedia ada dengan kerjasama pihak yang lebih pakar dalam sokongan psikologi.

“Kebetulan, salah seorang pesakit kami adalah pengarah urusan NSHR, dan dari perbualan itulah lahir cadangan untuk bekerjasama. Jadi, kami fikir kenapa tidak kami gabungkan kepakaran? IDEAL akan fokus kepada pendekatan fizikal dan kesihatan, manakala Thrive Well akan membantu dari sudut sokongan psikologi. Dengan itu, barulah lengkap satu pakej kesejahteraan untuk pekerja korporat,” katanya lagi.

Melalui pendekatan ini, pekerja bukan sahaja dapat aktiviti fizikal berkala, malah mereka juga akan bertemu dengan pakar psikologi dan menerima sokongan terapi mental secara langsung.

IDEAL & THRIVE WELL JALIN KERJASAMA

Dr. Faizi Rosli berkongsi pemerhatiannya terhadap majikan di Malaysia sepanjang 13 tahun beliau mengendalikan program kesejahteraan pekerja. Katanya, ada dua jenis majikan yang beliau jumpa.

Ada yang buat program kesejahteraan kerana terpaksa, sebab nak cukupkan KPI yang dah di-allocate. Tapi ada juga yang datang sendiri, approach kami dan kata, ‘Dr., saya sangat risau dengan keadaan pekerja saya,’” jelasnya. Menurut beliau, majikan yang benar-benar prihatin biasanya lebih terbuka dan mudah bekerjasama, berbeza dengan yang hanya menganggapnya sebagai satu kewajipan.

Beliau menambah lagi bahawa tahap kesedaran majikan di Malaysia masih boleh diperbaiki jika dibandingkan dengan negara maju lain. “Kalau tanya saya, kita masih boleh improve dari segi employers’ awareness tentang wellness pekerja, sama ada fizikal atau mental. Kita punya environment sekarang sangat demanding, sampai kadang-kadang kita lupa yang employees ni bukan sekadar human resources, tapi mereka manusia juga,” tegasnya.

Kata-kata ini mengingatkan kita bahawa kesejahteraan pekerja seharusnya dilihat sebagai keperluan asas, bukan beban tambahan.

Dalam menerangkan pendekatan yang lebih berkesan, Dr. Faizi menekankan bahawa setiap syarikat mempunyai keperluan berbeza. “Kita customize ikut company. Ada yang nak program mingguan, ada yang dua minggu sekali, ada pula yang nak sebulan sekali. Ada yang minta health screening dulu, ada yang terus nak exercise. Ada juga syarikat yang minta kita bahagi pekerja kepada 2 atau 3 kumpulan sebab tahap kecergasan mereka sangat berbeza,” ujarnya. Fleksibiliti ini penting supaya semua lapisan pekerja dapat merasai manfaat mengikut kemampuan masing-masing.

Namun begitu, Dr. Faizi mengakui bahawa program sebegini memang menuntut sumber tenaga kerja yang besar. “Bila kita kena bahagi kepada beberapa kumpulan, itu bermakna kita perlukan manpower yang lebih ramai. Tapi semua ni kita ambil kira kerana matlamat utama ialah pastikan program ini benar-benar memberi kesan positif kepada pekerja dan juga syarikat,” katanya. Baginya, kejayaan projek ini bukan hanya terletak pada angka atau laporan, tetapi pada sejauh mana pekerja merasakan hidup mereka lebih seimbang dan dihargai di tempat kerja.

Thrive Well Tegaskan Kepentingan Keseimbangan Fizikal Dan Mental

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Thrive Well, Ellisha Othman, pula menekankan bahawa kesihatan pekerja tidak seharusnya dilihat daripada sudut fizikal semata-mata. Katanya, elemen psikologi dan mental turut memainkan peranan penting dalam membentuk suasana kerja yang harmoni.

“Syarikat-syarikat korporat perlu lebih peka dalam menguruskan kesejahteraan pekerja agar organisasi dapat berkembang dalam suasana kerja yang positif.

Mereka yang melabur dalam program kesejahteraan fizikal dan mental pekerja secara tidak langsung akan lebih bersedia menghadapi cabaran perniagaan, khususnya dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu,”

Ellisha Othman

Kenyataan ini jelas menunjukkan bahawa pelaburan dalam kesejahteraan mental pekerja adalah strategi jangka panjang, bukan lagi pilihan sampingan.

Dalam satu temubual bersama media, Ellisha Othman, berkata Thrive Well bukan sekadar sebuah syarikat, tetapi sebuah organisasi yang lahir dengan misi sosial. “Kami adalah sebuah perniagaan yang mempunyai kesan sosial di mana kami ingin menyediakan perkhidmatan mental yang lebih mudah dicapai oleh masyarakat. Ramai orang tahu tentang mental health ini, tetapi sebenarnya ada banyak cabang-cabang dalam bidang ini,” jelasnya. Fokus utama mereka adalah melindungi dan menyediakan perkhidmatan kesihatan mental bukan sahaja kepada individu, terutamanya wanita, tetapi juga memastikan sokongan ini dapat diakses melalui sistem seperti sekolah dan juga tempat kerja.

Beliau turut menekankan bahawa salah satu cabaran besar adalah akses terhadap perkhidmatan kesihatan mental yang masih terhad dan mahal. “Ramai individu mahu mendapatkan rawatan, tetapi servisnya terhad dan kosnya tinggi. Sebab itulah kami percaya pekerja juga mempunyai tanggungjawab menyediakan perkhidmatan ini kepada staf mereka.” Katanya lagi, isu kesihatan mental tidak boleh dipisahkan daripada kesihatan fizikal. “Sewaktu saya mula bekerja sebagai psikolog, saya melihat pesakit kronik yang bukan sahaja perlu menguruskan penyakit mereka, tetapi juga emosi mereka. Bila emosi dapat diuruskan dengan baik, kualiti hidup pesakit kronik juga akan berubah,” katanya penuh yakin.

Ellisha memberi contoh bagaimana kesihatan mental mempengaruhi kehidupan seharian. “Pesakit yang sebelum ini mampu buat kerja rumah selama tiga jam, bila ada penyakit kronik mungkin hanya mampu bertahan sejam sahaja sebelum terpaksa berehat. Situasi ini bukan sahaja memerlukan penyesuaian diri, tetapi juga komunikasi dengan keluarga dan tempat kerja. Di sinilah sokongan psikologi memainkan peranan untuk beri motivasi dan bimbingan supaya mereka faham emosi, fikiran, serta pengaruh orang sekeliling terhadap kesihatan mereka,” jelasnya. Thrive Well mahu individu bukan sekadar ‘survive’, tetapi benar-benar belajar untuk menyesuaikan diri dengan realiti hidup.

Selain perkhidmatan individu, Thrive Well juga menawarkan tiga cabang utama dalam kerja mereka. “Kami ada latihan peribadi, perkhidmatan kesihatan mental khusus seperti untuk kanak-kanak neurodivergen atau orang dewasa yang berdepan depresi, dan juga program kesihatan korporat. Program korporat ini adalah pakej kepada syarikat di mana fokusnya ialah memastikan pekerja bukan sahaja sihat tetapi juga produktif,” kata Ellisha. Baginya, pelaburan dalam kesihatan mental pekerja adalah strategi bijak kerana ia memberi pulangan berganda – pekerja lebih sihat, lebih bahagia, dan lebih fokus dalam pekerjaan mereka.

Sokongan Syarikat Korporat Ternama Jadi Petanda Positif

Majlis menandatangani MoU ini turut mendapat perhatian besar daripada syarikat-syarikat korporat ternama. Antara yang hadir termasuk PETRONAS, DELEUM, KUB Holdings, Gadros Holdings, dan Energise Sdn. Bhd. Kehadiran wakil daripada syarikat-syarikat besar ini menandakan bahawa dunia korporat semakin sedar tentang kepentingan mengutamakan kesihatan pekerja.

Keterlibatan mereka memberi gambaran bahawa isu kesejahteraan fizikal dan mental bukan lagi hal remeh, malah sudah menjadi sebahagian daripada strategi pengurusan syarikat moden.

IDEAL & THRIVE WELL JALIN KERJASAMA

Kerjasama Ini Dijangka Jadi Penanda Aras Baharu

Kerjasama antara IDEAL dan Thrive Well ini bukan sekadar program sekali lalu. Ia dijangka menjadi penanda aras baharu dalam kesejahteraan korporat di Malaysia, di mana pekerja yang sihat dari segi fizikal dan mental akan dilihat sebagai pelaburan strategik syarikat.

Dengan gabungan kepakaran kedua-dua pihak, inisiatif ini mampu menjadi model rujukan kepada organisasi lain yang mahu membangunkan sistem kerja lebih mampan, mesra pekerja, dan produktif dalam jangka panjang.

Apa Kata Budiey?

Pada pandangan Budiey, kerjasama seperti ini sebenarnya datang tepat pada masanya. Dunia kerja hari ini semakin kompetitif, tekanan makin tinggi, dan ramai pekerja terpaksa mengorbankan kesejahteraan diri demi mengejar sasaran syarikat. Bila ada program sebegini, ia bukan sahaja membantu pekerja berfungsi dengan lebih baik, malah memberi pulangan terus kepada organisasi melalui peningkatan produktiviti dan pengurangan isu kesihatan mental.

Budiey rasa syarikat-syarikat lain juga wajar mencontohi langkah ini. Jangan tunggu sampai pekerja jatuh sakit atau berhenti kerja baru nak ambil tindakan. Pelaburan dalam kesejahteraan pekerja adalah pelaburan untuk masa depan syarikat. Soalnya sekarang, adakah organisasi lain berani membuat langkah sama demi memastikan pekerja mereka terus cemerlang dalam jangka masa panjang?

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Muaz Exclusive Lancar Koleksi Premium Mampu Milik Untuk Semua