in , , ,

Ida Nerina, Rashidi Ishak, Faezah Elai dan Diana Rusdi @ Drama Hartamas

SIRI KOMEDI HEBAT KINI MENEMUI ANDA

Semalam (3 Februari), satu sidang media pelancaran drama terbaru di NTV7 iaitu Hartamas telah diadakan di Modestos Desa Sri Hartamas telah diadakan. Mentang-mentang drama pun berjudul Hartamas, sidang media pun kena buat la dekat di Hartamas. Ramai pelakon yang datang…

SINOPSIS DRAMA HARTAMAS

Dua keluarga menjadi satu dan berlakulah babak-babak lucu akibat personaliti yang bercanggah namun berakhir dengan kasih sayang antara mereka

Apa yang akan berlaku apabila seorang akauntan yang lurus bertemu dengan seorang pereka fesyen yang tegas?  Bagi ibu-bapa tunggal seperti Johari dan Amelia, ia merupakan kisah cinta klasik antara dua hati yang berbeza umpama langit dan bumi. Sementara keduanya dilamun angin cinta, kedua anak perempuan mereka – Juita seorang gadis feminin dan Edrina seorang gadis gothik merupakan musuh ketat di kolej mereka. Di bawah bumbung yang sama, percanggahan personaliti mereka yang ketara itu menerbitkan banyak unsur lucu dalam siri drama komedi terbaru ntv7, Hartamas, bersiaran setiap Ahad, 8.30 malam mulai 8 Februari 2009.

Macam biasa, kalau drama arahan Khabir Bhatia memang tidak menghampakan.

Sebuah lagi ciptaan pengarah dan penerbit ternama Kabir Bhatia, Hartamas memperkenalkan barisan pelakon yang mantap seperti Ida Nerina, Rashidi Ishak, Faezah Elai dan Diana Rusdi. Ida memegang watak Amelia, pereka fesyen yang bersemangat tinggi dan berwibawa dari butik Lucci dan ibu tunggal kepada Edrina (Faezah Elai). Rashidi ialah Johari, seorang akauntan yang lurus dan bapa tunggal Juita (Diana Rusdi). Dari kisah cinta siber ke pertemuan pertama yang janggal, perhubungan antara Amelia dan Johari berkembang dari tahap ke tahap dan berakhir dengan jinjang pelamin.

Johari dan Juita kemudiannya berpindah ke rumah Amelia dan Edrina di sebuah kawasan elit di Hartamas. Sarat dengan saat pahit manis, bermulalah perjalanan hidup sebuah keluarga baru yang mencuit hati sementara mereka berusaha keras untuk menyesuaikan diri dan menyayangi antara satu sama lain. Ketaksuban Edrina pada  gitar elektrik Fender beserta imej gothiknya itu cukup berlawanan dengan sifat Juita yang sangat feminin, bergaya dan pandai menambat hati orang ramai, lantas membuatkan mereka musuh yang paling cocok.  Dalam pada itu, ibu-bapa mereka turut mempunyai masalah sendiri yang harus diselesaikan dalam mengenali dan mencapai persefahaman antara mereka sebagai suami dan isteri di samping terpaksa mengadili pertelingkahan antara anak-anak. 

“2009 menandakan sebuah lagi tahun yang hebat untuk ntv7, terutamanya dengan tumpuan yang lebih atas drama tempatan berkualiti seperti Hartamas,” kata Airin Zainul, Pengurus Besar ntv7. “Dikemudi oleh pengarah terkenal Kabir Bhatia, Hartamas merupakan sebuah drama komedi yang dinanti-nantikan di samping didokong kuat oleh barisan bintang ternama dan jalan cerita yang menarik. Pastinya, ia sesuatu yang akan membuat penonton terhibur.”

Tambahnya lagi, “Sebagai sebuah stesen yang dikenali sebagai Saluran Ceria Anda, kami amat berbangga untuk memaklumkan kepada penonton mengenai siri komedi tempatan yang menjanjikan hiburan yang terbaik untuk seisi keluarga. Kami juga turut berterima-kasih kepada sokongan Panasonic sebagai penaja utama dalam usaha terbaru ini. Juga, sekalung terima kasih pada penaja utama lokasi, Taman Tasik Prima Resort Living – Prima Nova.”

Sebagai Penaja Utama, Pengurus Besar Panasonic, Unit Peralatan Rumah, Cheng Chee Chung berkata, “Panasonic amat berbangga kerana dapat bekerjasama untuk drama ini selain berpeluang mempersembahkan barangan peralatan rumah yang ditawarkan. Kami turut berharap penonton akan lebih memahami tentang bagaimana produk kami boleh meningkatkan gaya hidup mereka melalui drama ini.”

Selain dari babak menarik, kemas dan canggih hasil rakaman video definisi tinggi yang banyak mencirikan karya Kabir, Hartamas turut mempersembahkan format split screen, teknik yang jarang sekali digunakan di siri TV tempatan, kaedah visual yang berjaya menampilkan unsur komik yang lebih mantap pada rancangan.

Kemunculan Hartamas tentunya menceriakan dan membahagiakan penonton di hujung minggu. Siri komedi ini memberikan hiburan keluarga terbaik, bersiaran setiap Ahad, 8 Februari 2009 pada jam 8.30 malam. Musim pertama rancangan ini dijangka akan bersiaran untuk 13 episod. Untuk maklumat lanjut atau menonton siaran ulangan di Catch-Up TV, layarilah www.ntv7.com.my

Rashidi Ishak sebagai Johari

Diana Rusdi sebagai Juita

Ida Nerina sebagai Amelia

Faezah Elai sebagai Edrina

What do you think?

73 Points
Upvote Downvote

Comments

Leave a Reply

Leave a Reply

Loading…

0

Written by Budiey (Admin)

Penggemar filem seram yang sentiasa mengemaskini pengetahuan tentang gajet & teknologi masa kini dan masih tegar menjadi penulis portal hiburan & gaya hidup sepenuh masa sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber yang aktif menemubual selebriti dan menerbitkan video Buletin Viral di Budiey Channel.

Stacy, Bunkface, Aizat, Faizal Tahir Meriahkan ASTRO FEST 2009

Ning Baizura Jadi Puteri Gunung Ledang Dalam Filem MAGIKA